Mampukah Noh swing Selangor? - Utusan Malaysia

Mampukah Noh swing Selangor?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERSEMPADANAN semula kawasan pilihan raya yang dilakukan pada 2003 sekali gus memberi impak kepada Pilihan Raya Umum 2004. UMNO yang tiada isu besar waktu itu selepas Mr Clean, Tun Abdullah Ahmad Badawi ambil alih, sapu bersih seluruh 22 kerusi Parlimen di Selangor. Untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), gilang gemilang juga. Sejumlah 54 daripada 56 kerusi didominasi BN kecuali Sungai Pinang dan Sekinchan.

Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU-11) itu momen terbaik BN seluruh Malaysia meskipun orang Melayu berpecah dek kes ‘mata lebam’ (20 September 1998). Di Selangor pada PRU 1999, UMNO masih melakar kejayaan kerusi Parlimen dan DUN. Cuma di Gombak Setia dan Sungai Burong, UMNO kalah kepada dua nama besar Pas, Allahyarham Datuk Ismail Kamus dan Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali.

Masuk 2008, daripada 54 kerusi DUN, tinggal 20. Kerusi Parlimen berbaki lima sahaja. Pergi ke 2013, DUN 12, Parlimen empat. Pada PRU 2018, hanya tinggal dua kerusi Parlimen (tinggal satu selepas wakil rakyat Sabak Bernam lompat) dan kerusi DUN cuma empat.

Inilah laluan penuh berliku buat Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar. Kalah tiga PRU, tetapi terus berjuang mengetuai kali kedua untuk memastikan Selangor kembali ke pangkuan. Jika Noh masih bercita-cita besar, pertembungan UMNO dengan Pas perlu dielak. Jika tiga penjuru, laluannya sukar. Di Selangor, sejak PRU 2008 lagi hinggalah PRU 2018, jika undi dua parti yang kalah dicampurkan, biasanya ia mengatasi parti yang menang. Di seluruh negara, kira-kira 30 kerusi Parlimen sedemikian rupa trendnya.

Di Selangor, waktu ini terdapat 37 kerusi DUN dan 14 kerusi Parlimen yang pengundinya lebih 50 peratus Melayu. Kerusi-kerusi ini jadi rebutan parti-parti Melayu terutama UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Untuk lebih spesifik lagi, Utusan Malaysia difahamkan, daripada 37 kerusi, yang 70 peratus ke atas Melayu ada 18 kerusi, 60 hingga 70 peratus (13) dan 50 hingga 60 peratus (6).

Lebih 70 peratus ini meliputi Sungai Air Tawar, Sungai Ramal, Jeram, Hulu Kelang, Kuang, Sungai Burong, Kota Anggerik, Semantan, Sungai Panjang, Sabak, Selat Klang, Batu Tiga, Morib, Sijangkang, Gombak Setia, Sungai Kandis, Hulu Bernam.

Yang 60 hingga 70 peratus merangkumi Paya Jaras, Semenyih, Batang Kali, Taman Medan, Pelabuhan Klang, Permatang, Taman Templer, Bukit Melawati, Lembah Jaya, Dusun Tua, Ijok, Pandan Indah dan Kota Damansara.

Baki 50 hingga 60 peratus didiami pengundi Melayu pula di DUN Meru, Seri Serdang, Sungai Tua, Tanjung Sepat, Seri Setia dan Sungai Pelek.

Untuk kerusi Parlimen pula, yang lebih 70 peratus pengundi Melayu boleh didapati di Sabak Bernam, Tanjong Karang, Kuala Langat, Gombak dan Kapar.

Antara 60 hingga 70 peratus majoriti Melayu pula di Sungai Besar, Kuala Selangor, Hulu Langat, Sungai Buloh dan Sepang manakala antara 50 ke 60 peratus di Ampang dan Selayang.

Kebiasaannya dalam siri PRU lepas apabila Pas menang di satu kerusi, UMNO pula menguasai empat di semua kawasan lebih 70 peratus Melayu.

PECAH TIGA

Andai Melayu pecah tiga dalam PRU-15, kemungkinan 40 peratus undi Melayu sahaja akan pergi ke BN, 30 peratus untuk Pas dan 30 peratus lagi kepada Pakatan Harapan (PH). Bukan Melayu solid kepada PH.

Di Selangor, isu setiap kali PRU adalah kira-kira 50 peratus kerusi Parlimennya adalah marginal (komposisi pengundi Melayu dan bukan Melayu sama banyak). Bila Melayu berpecah = kalah.

Namun, di kawasan dominasi Melayu bandar seperti Shah Alam dan Gombak, meskipun 70 peratus pengundinya Melayu, UMNO masih kalah juga. Isu politik pembangunan dalam kempen sudah lapuk di mata pengundi. Berjanji baiki longkang, buat jalan raya dan turunkan tarif elektrik tak ‘berapa makan.’ Lebih ambil kisah pula soal integriti dan ideologi.

Lagipun, pengundi-pengundi dalam bandar termasuk di Shah Alam dan Petaling Jaya sudah ‘dijajah’ oleh generasi kedua dan ketiga. Maksudnya, bapa atau ketua keluarga dari luar bandar, berpindah ke Shah Alam. Ini seterusnya ke generasi yang ‘tak ambil peduli sangat.’ Kalau cakap pasal kemiskinan, bapanya yang dalam lingkungan usia 60, 65 tahun ke atas sahaja faham. Anak, cucu buat tak reti.

Kalau cakap pasal hak Melayu, pelajar di luar bandar nak raih keputusan 6A, 7A pun susah. Tapi di bandar, anak Melayu yang skor keputusan itu bukan luar biasa lagi. Kata mereka, “kalau saya bukan Melayu pun saya ada hak dapat asrama penuh (tingkatan 1, tingkatan 4), matrikulasi, asasi atau biasiswa.”

Sebahagian generasi Melayu ini nak mengaku Melayu pun segan. Yang ramai dapat 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melambak. Jadi, dia merasakan apa lagi nak bercakap pasal Melayu.

Orang Melayu terpisah-pisah kawasan tempat tinggalnya. Golongan B40 yang perlu banyak ditinjau ialah di kawasan flat atau pangsapuri kos rendah. Di Lembah Subang sahaja ada 10,000 orang kategori ini. Gombak dan Puchong sudah berapa pula? Ini yang berlaku di Kota Anggerik, Batu Tiga dan Hulu Kelang. BN kalah di kawasan didiami B40 ini.

Di kawasan perumahan berpagar, berpengawal dan privasi (gathered), isu yang menggamit perhatian mereka lebih kepada soal integriti, bersih atau tidak si polan ini.

Baik UMNO Selangor, Pas, Bersatu, waima PKR sekalipun terpaksa akur. Jentera mana-mana parti era ini tidak sebegitu mudah mampu menarik hati pengundi.

Di Selangor, kalau Noh pergi ke satu penempatan flat pun, beliau sukar berjumpa dengan pengundi UMNO. Yang ditemukannya orang luar, dari Kelantan, Terengganu dan Kedah. Di Kota Kemuning, Noh bertemu mereka yang bukan pengundi di situ. Kalau ada rezeki, mungkin pengundinya sendiri dari Tanjong Karang atau berdekatan, Shah Alam.

Mampukah Noh swing atau menghayun sokongan pengundi Selangor untuk kembali semula kepada BN/UMNO Selangor?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN