Lumayankah harum manis tahun ini? - Utusan Malaysia

Lumayankah harum manis tahun ini?

Di Perlis, harum manis seolah-olah sudah menjadi tanaman wajib sama ada berskala besar atau ditanam sepohon dua di laman rumah. – Utusan/Mohd. Hafiz Abd. Mutalib
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEBERAPA minggu lagi, Perlis akan mengeluarkan produk ikonnya, iaitu harum manis. Memang sebut sahaja Perlis, orang akan tahu tentang keistimewaan harum manisnya yang dikatakan manis dan harum. Harum manisnya berbeza dengan yang ditanam di negeri-negeri lain mahupun yang diimport dari luar terutama Kemboja.

Sejarah harum manis Perlis sangat panjang, bermula antara 1979 hingga 1982 menerusi Projek Baik Pulih Dusun. Sampailah sekarang, Perlis mempunyai lebih 2,000 hektar ladang harum manis yang dikendalikan oleh Jabatan Pertanian dan ladang persendirian melibatkan 2,700 pengusaha.

Angka ini bukanlah sedikit dan ternyata harum manis membuka peluang pekerjaan dan merancakkan ekonomi Perlis sejak beberapa tahun lalu. Maka tidak hairanlah ada dalam kalangan pesawah menukarkan sebahagian kecil kawasan tanaman padi mereka dengan harum manis kerana pendapatannya lebih lumayan. Maka tidak hairanlah juga kebanyakan penduduk kampung yang ada tanah lapang menanamnya di sekeliling rumah atau menggantikan tanaman lain dengan harum manis kerana mahu memperoleh pendapatan sampingan yang agak tinggi.

Apa pun, harum manis tetap mempunyai pelbagai risiko. Inilah yang terpaksa ditanggung oleh pemilik ladang yang benar-benar bergantung dengan harum manis. Kos penjagaannya dikatakan bukan sedikit kerana pemilik ladang terpaksa berdepan risiko penyakit.

Harum manis juga bergantung pada cuaca. Pada tahun ini, ramai yang menjangkakan hasilnya akan merosot kerana ketika berbunga pada Disember tahun lalu, kadar hujan sangat tinggi yang mampu menggugurkan bunga dan putik harum manis.

Pemilik harum manis juga terpaksa berdepan dengan kecurian hasil tanaman mereka. Lebih mendukacitakan kerana hasil yang dicuri itu bukanlah buah yang sudah matang dan apabila dijual, kualitinya rendah dan menjatuhkan imej harum manis itu sendiri.

Jika tiada masalah-masalah tersebut, muncul pula lambakan hasil lalu menjejaskan harga harum manis sehingga RM10 sekilogram. Lambakan berlaku kerana ketibaan bulan puasa menyebabkan permintaan terhadap harum manis berkurangan.

Selain itu, pemilik-pemilik ladang juga terpaksa berdepan saingan harum manis dari luar negara terutama Kemboja yang dijual RM5 sekilogram atau kadang-kadang RM10 untuk tiga kilogram. Itu belum lagi dicampur pelbagai jenis mangga dari Thailand yang masuk ke negara kita setiap musim.

Masa depan harum manis ternyata agak kabur. Sesiapa yang mengusahakan tanaman ini sejak awal-awal lagi tentu dapat menikmati pulangan yang lumayan. Maksudnya, ketika kuantitinya sedikit tetapi pemintaannya tinggi, pemilik harum manis mendapat durian runtuh. Maka tidak mustahil sesiapa yang hanya menanam tiga pokok harum manis di sekeliling rumah pun mampu memperoleh RM2,000 semusim. Tetapi sekarang sudah ramai yang menanamnya dan seolah-olah menjadi satu tanaman wajib pula sama ada berskala besar atau menanam sepokok dua di sekeliling rumah. Kita memang tidak boleh menyalahkan sesiapa dalam soal ini kerana rezeki seseorang itu subjektif sifatnya. Sifat tamak pula tidak akan ke mana-mana.

JERUK

Apabila berlaku lambakan harum manis, kerajaan negeri menerusi agensinya mesti mengambil kira nasib pemilik ladang harum manis. Pemilik ladang tidak boleh dibiar tergapai-gapai mencari pelanggan sendiri kerana kemampuan mereka tentulah terbatas. Malah bagi yang memiliki sepokok dua harum manis yang tidak habis dimakan anak-beranak pun mesti diberi perhatian kerana sejak diperkenalkan pada awal 1980-an, tujuannya hendak mempelbagaikan pendapatan penduduk negeri yang kecil itu.

Langkah kerajaan negeri hendak mengeksport harum manis amat dialu-alukan. Sudah tentu pasarannya lebih luas dan dapat meyakinkan pengusaha harum manis. Jika tidak, harum manis akan tinggal sebagai ikon seperti mempelam lain yang tidak ada harga dan layak dibuat jeruk sahaja. Malah ada yang jatuh ke dalam parit atau saliran dan tidak diambil oleh sesiapa pun.

Usaha memperluas pasaran harum manis mesti disertakan dengan komitmen agensi pertanian seperti Lembaga Pertubuhan Peladang negeri atau Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)]. Seeloknya, agensi ini masuk ke kampung -kampung, bawa lori pick-up mencari pemilik ladang sebaik sahaja musim bermula atau mendaftarkan mereka agar hasilnya dapat dijual kepada badan-badan ini.

Bagi yang mahir dalam selok-belok perniagaan, tentu boleh menggunakan khidmat kurier untuk menghantar harum manis ke mana-mana sahaja pelanggan yang menempah menerusi dalam talian dan sebagainya. Khidmat kurier khas sangat penting supaya harum manis tidak dicampur dengan benda-benda lain. Harum manis mesti cepat sampai ke destinasi supaya kualitinya terjamin dan buahnya tidak lebam atau rosak.

Masa depan harum manis Perlis bergantung pada komitmen pelbagai pihak supaya produk ini berjaya mengekalkan keistimewaannya di mata penduduk tempatan mahupun di mana-mana sahaja yang sudah mengenali harum manis.

PENULIS ialah penganalisis sosial dan bekas guru.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN