Lubnan menunggu masa - Utusan Malaysia

Lubnan menunggu masa

Seandainya kemelut politik dan ekonomi Lubnan berterusan dan menjerumuskan semula negara itu ke kancah perang saudara, ke mana lagi pelarian Syria akan berlindung?
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Negara yang kaya dengan tinggalan sejarah dan pesisir pantainya yang cantik menghadap Laut Mediterranean pernah hampir hancur akibat perang saudara selama 15 tahun (1975 hingga 1990).

Ia menjadi titik hitam Lubnan yang suatu ketika dahulu mengecapi zaman kegemilangan sehingga ibu negaranya, Beirut digelar Paris of the Middle East.

Usaha bersungguh-sungguh masyarakat antarabangsa untuk menghentikan sengketa itu menemui jalan penyelesaian dan bagi memperingatinya, pada setiap 13 April, ia disambut dalam pelbagai bentuk.

Namun kini, kerana ketidakstabilan politik dan ekonomi ditambah dengan dengan sentimen lalu, bunga-bunga lama konflik semakin nampak jelas.

Meskipun sengketa boleh dikatakan berakhir lebih 30 tahun lalu, ketegangan antara kumpulan bertelagah sama ada ideologi politik, fahaman agama dan mazhab tidak pernah susut.

Sebelum ini, usaha damai yang disepakati pernah diuji apabila tokoh utama yang berusaha keras meletakkan asas perdamaian kumpulan bertelagah dan bekas perdana menterinya, Rafik Hariri mati dibunuh dalam serangan bom kenderaan di tengah bandar Beirut pada 14 Februari 2005.

Bermula dari saat itu, segalanya kembali rapuh. Ketidakstabilan politik, kejatuhan ekonomi dan ditambah masalah sedia ada sebagai negara penampan kepada kewujudan Israel, ia begitu sukar bagi sesiapa yang memimpinnya.

Sepanjang tempoh berkenaan, Kabinet yang dibentuk silih berganti dan tiada satu pun pemimpin dapat meneruskan legasi yang ditinggalkan Hariri untuk kembali memakmurkan Lubnan.

Semangat nasionalisme Arab tidak mampu mengikat kesefahaman pelbagai ideologi, fahaman agama, mazhab dan puak-puak sehingga penganalisis politik menyifatkannya sebagai failed state.

Sehingga ke saat ini, Lubnan tidak mempunyai perdana menteri yang mempunyai kuasa untuk menentukan hala tujunya dan kini dipangku secara sementara oleh Hassan Diab.

Calon Perdana Menteri, Saad Hariri yang kembali semula ke jawatan itu selepas meletak jawatan pada 29 Oktober 2019 masih bertelagah dengan Presiden Michel Aoun berhubung jumlah dan jawatan menteri Kabinet.

Curiga mencurigai antara satu sama lain masih kuat dan kejadian letupan gudang bahan kimia, ammonium nitrat di Pelabuhan Beirut pada 4 Ogos tahun lalu yang mengorbankan lebih 200 nyawa dan mencederakan sekurang-kurangnya 5,000 orang masih menjadi tanda tanya.

COVID-19

Selepas lebih lapan bulan, laporan mengenai punca kejadian tidak pernah disahkan dan hanya berstatus dalam siasatan.

Ditambah pandemik Covid-19, ia menjadi tugasan berat kepada sesiapa yang dipilih menjadi perdana menterinya.

Dalam tempoh ketidaktentuan, ia hampir memusnahkan ekonomi negara yang mempunyai 6.8 juta penduduk itu.

Lubnan yang bergantung sepenuhnya dengan produk import, terkesan dengan kejatuhan nilai mata wangnya, LBP yang telah memberi impak besar terhadap aspek kehidupan rakyatnya.

Menurut The Lebanon Crisis Observatory, kejatuhan mata wang dan kenaikan harga barang-barang menyebabkan pendapatan sebahagian besar rakyatnya tidak lagi dapat menampung keperluan.

Ia menjadikan dalam tempoh lebih 18 bulan, lebih separuh penduduknya berada di bawah paras kemiskinan dan ia semakin kritikal.

Dalam kenyataan The World Food Programme pada November lalu, harga makanan di Lubnan meningkat kepada 423 peratus sejak Oktober 2019, kenaikan ketara sejak 2007.

Tiada petanda yang ia akan berakhir dalam tempoh masa terdekat kerana penyelesaian politik tidak menampakkan sebarang kesudahan.

Kesukaran itu turut dirasai ketika umat Islam menyambut Ramadan.

Bulan puasa kali ini benar-benar memberi impak kepada rakyat negara itu dan jika sebelumnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memberi keutamaan kepada pelarian Syria dan Palestin, tetapi kini ia juga perlu mengutamakan warga tempatan. Separuh daripada keluarga di Lubnan terpaksa berhempas pulas untuk menyediakan bekalan makanan bagi berbuka puasa.

Di beberapa kawasan seperti di Lembah Bekaa, sebahagian daripada penduduknya begitu terdesak sehingga mereka terpaksa merayu bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mendapatkan makanan dan keperluan asas.

Jika pada tahun sebelum ini, Sawa For Development and Aid menyediakan makanan kepada 4,000 keluarga di lembah itu, tetapi pada Ramadan 1442 Hijrah, ia meningkat kepada 7,000 keluarga dan dibuat tanpa henti bagi menampung keperluan termasuk pelarian dari Syria.

Sejumlah 1.5 juta rakyat Syria yang berstatus pelarian di Lubnan telah lama berdepan dengan pelbagai kesukaran dan diskriminasi di negara berkenaan. Dalam keadaan negara yang mereka tumpang pun kucar-kacir, nasib mereka di sana ibarat terlepas dari mulut buaya masuk ke mulut harimau.

Kini nasib 1.5 juta pelarian Syria bergantung sepenuhnya dengan keprihatinan masyarakat antarabangsa kerana dengan purata pendapatan AS$25 sebulan, mereka tidak mampu untuk membeli sekilogram ayam yang dijual sekitar AS$60 sekilogram atau LBP23,000.

Pendapatan itu hanya cukup untuk membeli minyak masak yang dijual dengan harga LBP31,000 atau AS$20.3 sen bagi 1.5 liter yang mana pada tahun ini ia mencatatkan kenaikan 16 kali ganda berbanding sebelumnya.

Kesengsaraan pelarian Syria di negara itu ada di mana-mana dan semua agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta badan kemanusiaan antarabangsa sedia maklum dengan diskriminasi yang berlaku.

Apa pun, mereka masih selamat daripada serangan rejim Bashar al Assad dan kumpulan bersengketa di negara sendiri.

Apa yang menjadi persoalan, seandainya kemelut politik dan ekonomi Lubnan berterusan dan menjerumuskan semula negara itu ke kancah perang saudara, ke mana lagi pelarian Syria akan berlindung?

Penulis ialah bekas wartawan perang dan bencana TV3 yang sekarang bertugas sebagai Perunding Media Syria Care.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN