Media Barat, Amerika Syarikat (AS) atau Rusia akan terus menerus memanipulasi dan bersikap pilih kasih dalam menulis atau menerbitkan sesebuah laporan dan berita berkenaan umat Islam, negara-negara Asia, Afrika, golongan pelarian dan imigran. Jika ada serangan yang dilakukan oleh seorang Muslim, media-media mereka dengan pantas menggelar si pelaku tersebut sebagai pengganas Islam sekalipun masih belum terbukti, apatah lagi mengetahui motif sebenar di sebalik serangan tersebut.
Berbeza tatkala serangan dilakukan oleh kaum kulit putih, media Barat dengan serta-merta melaporkan si pelaku sama ada seorang pesakit mental atau gila. Begitu sukar untuk mereka mengungkapkan perkataan ‘pengganas’ bagi pelaku sejenis mereka.
Saya melihat perkara ini perlu diketengahkan supaya kita peka dengan isu semasa sebegini dan yang paling penting, tidak boleh membiarkan mereka terus menerus membuli dan menghina kita.
Antara pengganas kulit putih yang tidak mendapat publisiti media Barat ialah Anders Behring Breivik berasal dari Norway yang sering menerima jolokan sebagai negara paling aman dan toleransi. Pada 2011, lelaki ini membunuh seramai 77 orang, lapan mangsa di Oslo dan 69 mangsa di Utoya. Motif serangan semata-mata untuk melampiaskan kebencian terhadap umat Islam yang dilihat sebagai barah di Eropah.
Pada 2019, dunia dikejutkan dengan serangan di dua masjid di Christchurch, New Zealand oleh pengganas nasionalis kulit putih, Brenton Tarrant. Serangan dahsyat tersebut mengakibatkan 51 umat Islam terbunuh sementara 40 lain tercedera. Lebih menjengkelkan, serangan tersebut dibuat secara langsung menerusi Facebook.
Barat seharusnya sedar, lambakan kemasukan umat Islam ke negara-negara mereka merupakan hasil daripada penjajahan orang putih pada zaman dahulu. Malah, imigrasi secara beramai-ramai orang Islam dan Afrika ke benua Eropah pun disebabkan konflik dan perang saudara yang berpanjangan tanpa henti hasil tajaan Barat khususnya AS dan Rusia sama ada secara langsung atau tidak. Justeru, sekiranya mereka ingin memastikan dunia Barat hanya sentiasa didiami oleh kaum kulit putih, maka hentikanlah segala penaklukan ke atas Afrika dan Timur Tengah serta hentikan segala campur tangan ke atas masalah politik di negara-negara luar.
NAZI
Pilih kasih adalah barah yang begitu sukar untuk dibendung dan ia wujud di mana-mana sahaja. Dunia tatkala bercakap tentang kekejaman Nazi Jerman, mereka melupakan kekejaman Kesatuan Soviet. Sungguh aneh apabila terdapat begitu banyak buku memuji Kesatuan Soviet yang kononnya telah menyelamatkan dunia daripada kerakusan Nazi tetapi mendiamkan diri untuk berbicara tentang jenayah Soviet Rusia yang membunuh 22,000 tentera Poland di hutan Katyn pada 1940, pembantaian umat Islam Afghanistan di Laghman pada 1985 dan peristiwa kebuluran di Holodomor, Ukraine dari 1932 hingga 1933 yang menyebabkan hampir 3.5 juta orang mati.
Itu belum lagi kezaliman Rusia terhadap Chechnya dan pencerobohan negara terbesar dunia ini ke atas negara-negara jiran mereka seperti Georgia pada 2008 dan Ukraine pada 2014. Begitu juga sikap Barat yang mendiamkan diri daripada melaporkan tentang kezaliman Zionis Israel yang berterusan membantai Palestin sejak 1967. Menghina Yahudi digelar sebagai anti-Semetik tetapi apabila menghina Islam disebut sebagai hak kebebasan bersuara. Begitu lucu sekali fahaman ini!
Ideologi white supremacy atau ketuanan kulit putih merupakan antara faktor utama setiap serangan yang dilakukan oleh kaum kulit putih. Fahaman melampau ini melihat hanya orang kulit putih yang paling mulia di atas muka bumi, sementara bangsa-bangsa lain begitu hina dan tiada nilai. Fahaman ini jugalah yang telah menghalalkan negara-negara Barat untuk menakluki dan menjajah negara-negara Asia dan Afrika dengan rakus.
Konsep master race yang dianuti fahaman Nazi melihat orang kulit putih sahaja selayaknya memerintah dunia. Bahkan mereka mengetengahkan konsep bangsa Aryan iaitu orang yang berkulit putih, berambut perang dan bermata biru. Tapi yang anehnya, rupa paras si pemimpin Nazi Jerman mereka, Adolf Hitler yang mengangkat konsep itu sendiri pun tidak kelihatan seperti bangsa Aryan!
Selain itu, sebahagian kaum kulit putih menjadi begitu ekstrem disebabkan fahaman far-right politics atau dalam bahasa Melayu, politik kanan jauh yang mengimani ideologi kebangsaan melampau. Kumpulan ini turut dijoloki sebagai fasis, cauvinis, rasis dan xenofobia yang sering menggunakan kekerasan dan penindasan dalam mencapai matlamat.
Menjadi seorang yang patriotik tidak boleh sehingga menganggap bangsanya sahaja hebat dan mulia dalam segala aspek. Bukankah pemahaman seperti ini sangat ditegah dalam ajaran Islam? Semoga Malaysia dijauhkan dengan segala fahaman songsang yang boleh merosakkan perpaduan negara.
PENULIS ialah pengkaji hubungan Malaysia dan dunia luar.










