Kaum India dan sastera kebangsaan - Utusan Malaysia

Kaum India dan sastera kebangsaan

Karya kreatif yang dihasilkan penulis kaum India mampu membantu pembaca pelbagai kaum mengenali dan memahami budaya komuniti India yang disajikan secara penuh seni.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Salah satu cara untuk mengenali budaya, kehidupan dan pandangan dunia sesuatu masyarakat adalah dengan membaca karya kreatif yang dihasilkan. Hal ini terpakai bagi karya klasik dan moden di seluruh pelosok dunia.

Dalam konteks negara kita, Bapa Kesusasteraan Melayu Moden, Abdullah Abdul Kadir (Munsyi Abdullah) memberi kita peluang memahami budaya, permasalahan dan pemikiran masyarakat pada zamannya. Tambahan pula, Munsyi Abdullah berani mengkritik pelbagai pihak menerusi tulisannya yang bercorak realisme dan gaya kewartawanan.

Jurutulis, penterjemah dan pengarang berkaliber itu turut menguasai bahasa Inggeris, Hindi, Arab dan Tamil. Bapanya keturunan Arab-Yemen manakala ibunya keturunan India. Tidak hairanlah kaum India di Malaysia turut berbangga dengan kejayaan dan sumbangan Munsyi Abdullah sebagai seorang pengarang yang mengangkat martabat penulisan moden.

Kemampuan individu Jawi Peranakan (India-Muslim) itu menguasai bahasa Melayu dan seterusnya mendokumentasi pemikiran, kritikan dan realiti kehidupan masyarakat sezaman seharusnya menjadi contoh kepada generasi muda.

Dalam konteks perbincangan ini, saya tumpukan kepada sumbangan penulis kaum India terhadap sastera kebangsaan, iaitu karya kreatif yang ditulis menggunakan bahasa kebangsaan dan mengangkat budaya masyarakat yang diwakili golongan penulis itu.

100 TAHUN

Walaupun kita berbangga dengan kejayaan Munsyi Abdullah menghasilkan karya hebat seperti Kisah Pelayaran Abdullah (1838) dan Hikayat Abdullah (1849), kita juga sedih kerana jejak langkahnya tidak menjadi ikutan penulis kaum India selama hampir 100 tahun kemudian.

Sebenarnya, sumbangan golongan Jawi Peranakan bukan sesuatu yang baharu dalam perkembangan bahasa dan sastera Melayu. Contohnya, Munshi Mohd. Said Dada Mohyddin menerbitkan akhbar Melayu pertama di negara ini, Jawi Peranakan pada 1876.

Akhbar mingguan Sekolah Melayu pula diterbitkan seorang lagi India-Muslim bernama Munshi Mohd. Ali Ghulam Al-Hindi pada 1 Ogos 1888. SPSK Kader Sahib menerbitkan akhbar Tanjong Pengeri pada 1893 manakala Syed Abdul Kadir Al-Hindi yang mengarang beberapa buku sekolah pula menguruskan akhbar Taman Pengetahuan mulai 1 Jun 1904.

Mohamed Yusoff Sultan Maidin pula menulis buku Boria dan Bencananya (1922), Syair Boria (1922) dan Kejatuhan Kaum-Kaum Islam dan Pergerakan Baharu (1931).
Selain melakukan kerja-kerja terjemahan, golongan India-Muslim turut menulis karya sastera Melayu. Usaha mereka mulai berkurangan pada 1930-an berikutan kritikan berterusan daripada penulis Melayu seperti Ishak Muhammad dan Abdul Rahim Kajai yang memiliki definisi tersendiri terhadap makna ‘Melayu’ dan nasionalisme Melayu.

Walaupun golongan Darah Keturunan Keling (DKK) dan Darah Keturunan Arab (DKA) sudah berasimilasi dengan penduduk Melayu tempatan sejak dahulu, mereka tetap tidak diterima sebagai orang Melayu. Semangat anti-DKK dan DKA amat jelas dalam karya-karya Abdul Rahim Kajai pada 1930-an.

Gelaran ‘perintis’ kepada pembabitan kaum India dalam bidang penulisan bahasa kebangsaan di negara ini sering diberi kepada seorang individu yang dikenali dengan nama Nagalingam. Cerpennya yang tersiar secara bersiri di Bahtera (17 dan 24 Mei 1932) sering dirujuk sebagai titik permulaan penglibatan pengarang bukan Melayu dalam arus sastera kebangsaan.

Selepas Nagalingam, penglibatan kaum India dalam penulisan kreatif bahasa kebangsaan hanya kelihatan berlaku pada 1960-an dan awal 1970-an. Ignatius Dev Anand, seorang penulis yang prolifik pada pertengahan 1960-an. Beliau menghasilkan beberapa buah buku penceritaan semula dongeng Melayu tempatan.

UNIVERSITI

Joseph Selvam pula antara penulis kaum India yang mula menulis sajak bahasa Melayu pada akhir 1960-an dan mula tersiar di Balai Muhibbah pada 1970-an. Kumpulan puisi persendirian beliau berjudul Nadi Perpaduan (1972), Merintis Jalan Ke Bahagia (1973), Dalam Perjuangan (1974), Dalam Sinar Matamu (1975) dan Penerimaan (1978).
N.S. Maniam @ Superamaniam mengikuti bengkel anjuran Persatuan Penulis Negeri Melaka, lalu aktif menulis berita dan rencana sebelum mula menulis sajak. Puisi, rencana dan berita tulisan beliau turut tersiar di Berita Harian, Utusan Malaysia, Watan, Medan Rakyat, Balai Muhibbah dan Jiran.

Namun begitu, sehingga 1990-an, sastera kebangsaan belum menjadi media pengucapan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia, sebaliknya masih hanya menjadi sastera milik kaum Melayu. Hakikat ini diakui para pengkaji serta dapat diperhatikan sendiri oleh sesiapa yang mengikuti perkembangan bidang penulisan tempatan.

Pada 1983 menjadi penanda masa yang penting kerana pada tahun itu, semua universiti tempatan mula menggunakan sepenuhnya bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar, sekali gus melengkapkan Dasar Pelajaran Kebangsaan yang dilaksanakan secara serius mulai 1970.
Hasil carian di akhbar, majalah dan buku menemukan hampir 60 penulis kaum India yang pernah menghasilkan sebuah karya bahasa kebangsaan dari 1985 hingga 2020.

Majoriti hanya menghasilkan satu atau dua karya. Kebanyakan daripada mereka tidak meneruskan penglibatan dalam bidang penulisan.

Menjelang 2015, terdapat sekitar lima penulis kaum India yang masih aktif menulis karya bahasa kebangsaan. Hasil usaha Kumpulan Sasterawan Kavyan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pada masa kini ada sekitar 20 penulis kaum India yang aktif berkarya.

Karya kreatif yang mereka hasilkan mampu membantu pembaca pelbagai kaum mengenali dan memahami budaya komuniti India yang disajikan secara penuh seni.

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN