Jangan pertikai status halal vaksin - Utusan Malaysia

Jangan pertikai status halal vaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SECARA umum, sekiranya sesuatu vaksin mempunyai atau bercampur dengan unsur haram, maka ia boleh terbahagi kepada dua kategori hukum.

Hukum pertama, jika ada vaksin lain yang lebih suci dan diyakini sumbernya, maka tidak boleh digunakan vaksin yang ada unsur haram. Perkara ini menjadi asas dalam fatwa-fatwa mengenai vaksin.

Hukum kedua, jika tiada vaksin alternatif yang suci tetapi keadaan bersifat darurat bagi menyelamatkan nyawa, maka vaksin yang ada unsur haram dibenarkan kerana menjaga nyawa.

Sekalipun vaksin Covid-19 dikatakan mengandungi unsur haram, terdapat konsep istihalah dan istihlak yang boleh diaplikasikan dan menjadi jalan keluar dalam merungkai isu status kehalalan vaksin.

Istihalah merujuk kepada proses penghasilan vaksin yang telah melalui penyaringan, penyucian dan pemurnian berulang kali sehingga bahan asal itu tidak dapat dikesan pada peringkat akhir vaksin.

Maka, hukum haram pada bahan asal tidak boleh dipakai lagi pada produk akhir bahan tersebut kerana telah bertukar ke bahan yang lain. Menurut para ulama seperti Dr. Yusuf al-Qaradawi dan Dr. Wahbah al-Zuhaili, bahan yang telah melalui proses itu hukumnya halal dan suci.

Istihlak pula ialah bahan haram yang sedikit bercampur dengan bahan suci yang berlipat kali ganda banyak. Bahan berkenaan telah hilang sifat dan ciri asalnya, walaupun zatnya masih kekal seperti mencampurkan setitis arak ke dalam air.

Ini bermakna sesuatu vaksin tidak semudah itu untuk diharuskan tanpa justifikasi yang kuat.

Masyarakat perlu difahamkan, vaksin Covid-19 daripada syarikat Pfizer-BioNTech diperbuat daripada mRNA (vaksin yang tidak menggunakan virus hidup daripada Covid-19) dan tidak terlibat dengan unsur haram.

Justeru, tidak timbul dakwaan vaksin Covid-19 diperbuat daripada unsur haram.

DR. AZRI BHARI
Universiti Teknologi Mara (UiTM),
Shah Alam, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya