PETALING JAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan menguatkuasakan keperluan Sijil Analisis atau Certificate of Analysis (CoA) bagi ikan siakap dari Thailand serta melaksanakan sekatan sementara terhadap lima spesies udang dari negara itu berkuat kuasa 1 Jun 2026.
KPKM memaklumkan, lima spesies udang terbabit ialah Penaeus esculentus, Fenneropenaeus merguiensis, Penaeus vannamei, Penaeus monodon dan Penaeus stylirostris.
Katanya, tempoh sekatan terhadap import udang berkenaan akan berkuat kuasa sehingga pihak berkuasa Thailand mengemukakan maklum balas rasmi yang lengkap terhadap soal selidik dikemukakan Malaysia serta tertakluk kepada penelitian lanjut oleh pihak Malaysia.
“Langkah itu dilaksanakan bagi memperkukuh kawalan keselamatan makanan negara khususnya memastikan ikan siakap dan udang yang memasuki pasaran tempatan mematuhi standard keselamatan serta kualiti ditetapkan.
“Pelaksanaan kawalan import tersebut akan dilaksanakan secara bersepadu melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan (PKKM KKM), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (MAQIS) serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di semua pintu masuk negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KPKM berkata, ia akan terus bekerjasama rapat dengan semua agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaan kawalan import berjalan lancar tanpa menjejaskan kestabilan bekalan ikan siakap dan udang dalam negara.
“KPKM dalam masa sama kekal komited memastikan tahap keselamatan, sekuriti dan kualiti makanan negara sentiasa terjamin demi kesejahteraan rakyat.
“Maklumat lanjut mengenai panduan permohonan Sijil Analisis akan dimuat naik di laman sesawang rasmi KPKM dalam masa terdekat untuk rujukan dari semasa ke semasa,” katanya. – UTUSAN










