Isteri orang paling ramai ‘cair’ - Utusan Malaysia

Isteri orang paling ramai ‘cair’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUDAH lumrah sifat setiap manusia ingin hidup berpasangan, ingin mencintai dan dicintai malah sukakan pujian, lebih-lebih lagi golongan wanita. Naluri halus dan sifat lemah-lembut mereka membuatkan perasaan untuk dikasihi itu menebal dalam jiwa masing-masing. Bagaimanapun, bukan semua orang ditakdirkan hidup berpasangan, malah ada yang sehingga ke usia emas masih belum bertemu jodoh.

Atas sebab itu, maka tidak hairanlah apabila statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor menunjukkan kebanyakan mangsa Love Scam adalah wanita kesunyian, belum berkahwin dan lanjut usia yang memerlukan teman hidup. Ada dalam kalangan mereka tidak pernah bertemu tetapi perhubungan yang terjalin pada mulanya menerusi Facebook, Twitter dan Instagram menjadi bertambah erat dengan perbualan di telefon.

Di Selangor, jumlah kerugian yang dilaporkan oleh mangsa Love Scam pada 2019 adalah kira-kira RM22 juta diikuti 2020 sebanyak RM16 juta dan untuk tempoh Januari hingga Mac tahun ini, RM2 juta.

Menurut Ketua JSJK Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew, statistik pecahan umur mangsa paling ramai adalah 68 kes berusia 31 hingga 40 tahun sepanjang 2019, manakala 67 kes (21-30 tahun) pada 2020. Bagi tiga bulan pertama tahun ini, sebanyak 25 kes diterima melibatkan mangsa berusia antara 31 hingga 40 tahun). Jangan terkejut apabila bilangan mangsa yang sudah berkahwin adalah lebih ramai iaitu 159 kes berbanding individu bujang (77).

Love Scam merupakan satu penipuan dilakukan oleh suspek yang mengaku menetap di Eropah dan Amerika Syarikat. Pada kebiasaannya, setelah terjerat dengan cinta, suspek mula memperdaya mangsa melalui cara menagih simpati dan meminta pelbagai pertolongan kewangan. Ada juga cara, suspek memberitahu telah menghantar hadiah berupa barangan berharga kepada mangsa melalui kurier.

Mangsa juga menerima panggilan telefon daripada pihak kurier memaklumkan bungkusannya telah sampai dan mengandungi barang berharga atau wang tunai. Mangsa juga diarahkan untuk membayar cukai kastam dan lain-lain kos kononnya untuk mengeluarkan bungkusan tersebut yang ditahan pihak kastam. Setelah jumlah wang dimasukkan ke dalam akaun bank, suspek terus menghilangkan diri.

Bagaimanapun kata Muhammad Yazid, kajian pihaknya mendapati berlaku pengurangan kes iaitu 236 kes pada 2019 manakala tahun lalu menurun kepada 195 kes.

“Ini satu petanda menunjukkan rakyat Malaysia mula sedar dengan sindiket penipuan Love Scam. Kami juga menjalankan siasatan secara terperinci dan berjaya menyelesaikan 170 kes sepanjang 2019 diikuti 95 kes pada tahun lalu dan 20 kes bagi tiga bulan pertama tahun ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat terutama golongan wanita agar tidak mudah terpedaya dengan setiap pelawaan untuk menjadi kenalan di media sosial.

“Jangan mudah percaya dengan panggilan kononnya daripada pegawai kastam atau syarikat kurier yang menyatakan terdapat bungkusan hadiah untuk mangsa dari luar negara dan kini ditahan di lapangan terbang kerana itu adalah satu penipuan.

BUJANG

“Paling penting, jangan ikut apa-apa arahan daripada suspek. Contohnya, memindahkan wang bayaran penghantaran, cukai dan lain-lain kos ke dalam akaun bank yang diberikan suspek. Hubungi balai polis untuk pengesahan dan pihak kastam yang bertugas di lapangan terbang berkenaan,” katanya lagi.

Sementara itu, Pegawai Psikologi Kanan Universiti Sains Malaysia, Fauziah Abdullah memberitahu, sifat wanita bukan sahaja lemah-lembut tetapi mereka merupakan golongan yang mahukan perhatian dan disayangi. Oleh itu, tidak hairan sekiranya statistik di Selangor menunjukkan wanita berkahwin merupakan mangsa paling ramai berbanding individu bujang kerana kehidupan pada masa ini menuntut suami isteri keluar bekerja.

Banyak pasangan suami isteri pada masa ini sibuk sehingga ada yang mengabaikan keperluan pasangan terutama isteri yang semakin mempunyai keyakinan diri yang tinggi, kuasa dari sudut kewangan sehingga membuatkan wanita berkerjaya berasakan diri mereka bebas dan tidak terikat kepada suami untuk membuat keputusan.

“Kesibukan suami isteri membuatkan mereka banyak memberikan tumpuan untuk mencukupkan keperluan fisiologi sahaja seperti ada tempat tinggal, makanan dan status kehidupan tetapi tidak nampak sudut untuk mengharmonikan rumah tangga dari segi keperluan psikologi.

“Jadi, apabila itu mula berlaku, pasangan masing-masing sudah rasa diri mereka terabai, tidak diberi perhatian dan akhirnya mengakibatkan institusi rumah tangga runtuh bukan disebabkan orang ketiga tetapi oleh scammer seperti ini yang mempunyai kepakaran untuk menambat hati kerana mereka sudah terlatih dan akan menawarkan apa yang wanita itu perlukan iaitu perhatian.

“Scammer seperti ini bukan melakukan sesuatu itu secara suka-suka tetapi mereka sangat jelas dengan tujuan mengapa ia perlu dibuat dan matlamat mereka, iaitu mahukan keuntungan,” katanya.

Justeru, tidak kira siapa juga anda, sudah berkahwin mahupun bujang, peluang untuk orang luar mendekati diri anda terletak dalam pertimbangan diri masing-masing.

Mungkin kita fikir untuk suka-suka tetapi awas kerana scammer seperti ini bukan sembarangan, mereka pakar dengan apa yang dilakukan. Jadi, berwaspada agar tidak menjadi penyumbang kepada bilangan statistik mangsa terbaru Love Scam!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN