Keluhan yang diluahkan menteri beramanah berhubung program suntikan vaksin tentang negara kaya membolot penggunaan vaksin, bukannya sesuatu yang baharu atau menghairankan. Sejak bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump lagi melalui slogan Amerika Dahulu (America First) ini telah diduga malah dirasai.
Terdapat bukti yang kontrak ditandatangani ketika itu tidak membenarkan penjualan vaksin kepada pihak dan negara lain selagi AS belum memenuhi kepentingannya selaras dengan dasar yang dianuti Trump. Malah sebelum itu pun beliau telah berusaha membolot pembelian pelitup muka di pasaran antarabangsa dan mengetepikan negara-negara lain untuk mendapatkan bekalan masing-masing.
Sementara itu, di Kesatuan Eropah tiada bezanya. Mereka bertelingkah sesama sendiri sehingga ada ura-ura mengharamkan eksport vaksin demi menampung kegunaan warga sendiri terlebih dahulu. Masing-masing saling membantah kerana ada negara didakwa menyimpan vaksin lebih daripada keperluan semasa.
Dalam hal ini, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada satu ketika ada menegur yang 100 negara maju telah menggunakan 75 peratus bekalan vaksin, sedangkan 130 negara lain belum pun memulakan sebarang suntikan untuk rakyat mereka. Malangnya kedudukan ini tidak banyak berubah sejak teguran tersebut dibuat kerana amalan pembolotan terang-terangan.
Ada pihak yang menggelarkan hal ini umpama ‘nasionalisme’ vaksin sempit yang diamal negara maju umumnya. Sekali gus membayangkan seolah-olah amalan ala ‘aparteid’ vaksin dijadikan asas pilih kasih dan diskrimasi kaum atau kelompok tertentu. Namun, ini juga bukannya baharu dalam dunia kesihatan awam umumnya. Di mana-mana negara sahaja di dunia, jurang perbezaan seumpama ini agak lumrah berlaku termasuk di Malaysia sendiri. Jelasnya, rakyat marhaen sering ketinggalan.
Kita mungkin bicarakan tentang vaksin dewasa ini, tetapi sebelum pada itu berbagai lagi bekalan mahupun kemudahan serta perkhidmatan profesional mengalami kemelut yang sama berbanding di kawasan rakyat serba mewah sekitar pusat-pusat bandar di seluruh negara. Vaksin pun akan terjerumus kelak jika tidak berhati-hati terutama apabila melibatkan pusat-pusat suntikan swasta nanti. Cadangan ini sedang hangat diperhitungkan kebelakangan ini yang mampu membuka ruang ‘loncatan’ untuk melariskan lagi vaksin jika wang ringgit menjadi pertaruhan utama. Ia merupakan satu lagi bentuk pembolotan yang tidak asing daripada apa dikhuatiri berlaku di pentas dunia dengan mempertartuhkan duitan sebagai segala-galanya.
Keadaan ini didesak lagi oleh rebakan virus Covid-19 yang tidak terduga sejak munculnya seawal tahun lalu. Apa lagi kini dengan muncul pula jenis-jenis gubahan virus Covid-19 baharu yang kurang terkesan oleh vaksin yang ada dewasa ini. Apatah lagi apabila negara-negara maju adalah antara yang paling banyak terlibat mengikut beberapa unjuran yang ada berdasarkan perilaku masyarakat yang tidak dapat dikawal. Maksudnya oleh kerana tingkah-laku rakyat tidak berdisiplin lagi degil, maka mereka lebih terhimpit dengan ancaman serangan wabak, sekali gus tuntutan vaksin turut melambung naik. Sedangkan aliran bekalannya masih terhad dan tidak terjamin oleh rangkaian penyampaian dunia sekalipun.
Ini semua akan mendorong kepada tindakan pembolotan yang bersinambungan sebagai penghalang jangkitan wabak yang hebat menunai. Apa lagi dengan harapan mencapai ‘pelalian kelompok’ secepat mungkin sebagai matlamat terakhirnya. Sementara itu, tidak mengapa jika nyawa rakyat melata terus diabai dan dimangsakan.
Yang aneh sekali adalah kesatuan pendapat bahawa wabak Covid-19 merupakan suatu cabaran sejagat yang memerlukan setiakawan tidak berbelah bagi untuk mengatasinya. Di pelbagai persidangan dan kemuncak, pernyataan ini dilaung-laungkan untuk tontonan ramai. Namun, di sebalik tabir, lain pula yang dihidangkan mengikut puak, fahaman politik atau semata-mata kerana pulangan ekonomi serta keuntungan kebendaan belaka.
Nyawa bagaikan barang dagangan yang boleh dijual beli sewenangnya untuk kepentingan lain. Oleh itu kedengaran suara sumbang serta rintihan mereka yang tersisih kerana tiada tanda penamat dalam percaturan yang berpaksikan kuasa dan duitan. Slogan Black Lives Matter – yakni dakwaan yang nyawa orang berkulit hitam masih berharga menjadi asas kekejaman serta kezaliman di AS yang dikiaskan oleh wabak Covid-19. Ia meremehkan lagi nilai-nilai kemanusiaan ataupun keikhlasan untuk memakmurkan kesejagatan yang hanya merupakan omong kosong semata.
Dengan kata lain, pentas dunia terus dikuasai segelintir satu peratus penduduk dunia berbanding 99 peratus yang lain. Inilah kenyataan sebenarnya yang memerlukan semacam keberanian dalam memenuhi amanah serta pertanggungjawaban untuk mencari keadilan dan kesaksamaan menentang apa sahaja bentuk kehalusan serta pembolotan oleh siapa sahaja, di mana sahaja, malah apa sahaja yang mana vaksin adalah satu antara beribu dalam rantaian tamak haloba untuk memelihara kepentingan diri mengatasi nasib rakyat teramai.
Hakikat ini paling penting diakui dan dikenal pasti seawal mungkin kerana jika tidak kesudahan, ia boleh membawa kepada satu lagi bentuk penjajahan dan penaklukan minda secara halus sama ada disedari atau tidak. Sejarah telah banyak membuktikan, syarikat ubat-ubatan kepunyaan negara-negara maju mempunyai strategi dan matlamat tersendiri terlebih dahulu berbanding kesihatan keafiatan manusia umumnya.
Tidak kurang juga antara para pemain yang membangunkan vaksin-vaksin Covid-19 dewasa ini mempunyai rekod skandal perdagangan yang telah dihukum kerana kecurangan melalui tindakan pembolotan tertentu yang membawa kepada pelbagai aneka kekecohan. Ini adalah antara hakikat yang tidak ramai mengetahui ataupun ambil peduli tetapi kini sedang berlaku. Kita perlu bertindak tegas selain daripada hanya mengeluh.
Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










