Gelora dan survival UMNO - Utusan Malaysia

Gelora dan survival UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAK kiralah bila mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO, hari ini atau minggu depan.
Tapi yang pasti MT selepas perhimpunan agung partinya 28 Mac lalu menjadi tumpuan parti-parti pesaingnya dan pemerhati politik. Dipercayai MT UMNO akan memutuskan dua perkara besar.
Pertama, tarikh pemilihan parti – sebelum atau selepas pilihan raya umum ke-15 (yang tidak ketahuan pula tarikhnya)? Kedua, tempoh untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Kita tinggalkan kepada MT untuk memutuskan dua agenda utama mesyuaratnya.
Yang pasti UMNO kini berdepan cabaran yang bergelora sejak kehilangan kerajaan 9 Mei 2018. Anta­ra­nya, soal untuk MT pertim­bang meletakkan mana satu aras paling penting, kepentingan parti atau individu?
Juga, isu integriti yang membadai kepimpinan, institusi presiden yang dipersoal sehinggalah cakap-cakap mengatakan kewujudan kem-kem yang cuba menggugat kepimpinan.
Jika tidak ditangani secara bijaksana, isu-isu ini mungkin membawa perpecahan, kelemahan dan hilangnya erti tiga “B” yang dilaungkan selama ini: Bersatu, Bersetia, Berkhidmat.
Adakah UMNO perlukan revolusi dalamannya? Dan UMNO kena catch up the bull by the horns? Maknanya, terus berani dan yakin berdepan dengan kesusahan, bahaya dan hal-hal sukar.
Bercakap tentang revolusi, ada orang UMNO melayangkan kepada Mingguan Malaysia, parti itu mesti bersedia dan tidak hanya ‘mengambil pisau tetapi gergaji berantai untuk potong apa sahaja yang patut dipotong’.
Kata orang UMNO itu lagi, lihat sahaja Pakatan Harapan tempoh hari. Tidak perlu cawangan, bahagian atau ahli hingga 3.6 juta atau barisan Kabinet yang melebihi 30 orang. Tetapi cukup hanya menggerakkan beberapa ikon – Tun Dr. Mahathir Mohamad, Rafizi Ramli, Mohamed Azmin Ali dan Nurul Izzah Anwar untuk menumbangkan Barisan Nasional.
UMNO perlu melihat realiti. Tidak perlu kosmetik sangat. Apa lagi berdepan cabaran PRU-15. Medan baharu sebenarnya sudah dibuka untuk UMNO, PH dan PN mengenai siapa yang boleh meyakinkan pengundi kelak.

BERTUKAR DUA PENGGAL
Dalam pilihan raya umum ke-14 lalu, sejumlah 46.29 peratus pengundi Melayu menyokong BN (79 kerusi Parlimen). Di 54 kerusi Parlimen yang dimenangi UMNO sahaja, terdapat 2.56 juta atau 21.15 peratus pengundi yang menyokong kuat parti itu.
Cuma, mana-mana parti politik pun hari ini mesti beringat. Rakyat bukan sahaja cerdik, tetapi memantau mereka. Kalau di Amerika dan England, rakyatnya menukar kerajaan setiap dua penggal. Di England, ada kerajaan baharu setiap 10 hingga 15 tahun. Dua atau tiga pilihan raya sudah berganti kerajaan yang baharu. Walaupun kerajaan itu memiliki prestasi baik, tetap ditukar. Sistem dua parti seperti itu tidak akan berikan 100 tahun untuk satu-satu parti memerintah.
Mana-mana revolusi tidak akan berlaku melainkan ma­sya­­rakat yang mulakan. Ia ti­dak akan berlaku jika ahli po­litik ingin melakukannya. Tunjukkan satu revolusi yang dimulai oleh ahli politik? Tidak ada.
Sejarah revolusi semuanya dimulakan oleh rakyat. Ahli politik hanya ‘rampas’ revolusi ini. Daripada revolusi Perancis sehingga ke Perang Dunia Pertama, revolusi dicetuskan oleh rakyat. Dan kebanyakan revolusi ini dimulakan sebab rakyat kelaparan.
Leon Trotsky dan Vladimir Ilyich Lenin tiada di dalam negara. Mereka dalam buangan. Apabila askar tidak dibayar gaji, mereka marah dan keluar memulakan revolusi. Trotsky dan Lenin kembali ke tanah air dan menjadi pemimpin revolusi di negara mereka.
Di negara ini, kita kena fa­ham lebih 70 peratus rak­yat melayari Internet. Kanak-kanak dari lapan ke 10 tahun sudah ada Facebook, Instagram dan macam-macam lagi aplikasinya. Mereka menggunakan telefon bermacam jenama. Mereka jauh lebih pintar dari zaman kita dahulu.
Bagaimana hendak menipu generasi ini? Mereka well informed. Bagaimana kita hendak memperbodohkan generasi ini hanya dengan perubahan kosmetik. Tidak, perubahan ini semua kena nyata dan drastik.
Rule of law, not rule by law, akauntabiliti, ketelusan, kebebasan dan kehakiman, kini berada di tangga nombor satu rakyat.
Barangkali ada beberapa perkara yang rakyat tidak suka, tetapi ia ada dalam tangga teratas di peringkat Persekutuan. Mereka bukan nak cipta semula wheel (roda). Cuma kata mereka, wheel kena berputar.
Sebilangan rakyat mungkin masih perlu ‘bayar bawah meja’ untuk selesaikan sesuatu hal. Itu hal yang perlu diperangi habis-habisan.

BERUBAH ATAU MATI
Mana-mana parti politik, tidak kira UMNO, Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PKR, DAP, Amanah, Pejuang, Muda, Putra atau apa sahaja nama partinya, sudah sampai ke peringkat “change or die” (berubah atau mati) demi untuk meraih sokongan rakyat.
Bukankah kerajaan PH tempoh hari sekadar bertahan 22 bulan sahaja? Walaupun ada melihat kejatuhannya akibat taktik politik dinamakan “Langkah Sheraton”, namun tidak dina­fikan berlaku banyak flip flop dalam kerajaan yang ditadbir setakat Februari 2020 itu.
Di England, penduduknya tidak bercakap tentang pemimpin mereka. Mereka bercakap tentang Buruh-Konservatif. Di Amerika pula tentang Republikan-Demokrat. Pemimpinnya tak penting. Tetapi di Malaysia, kita bercakap tentang Dr. Mahathir, Anwar Ibrahim, Najib Razak, Ahmad Zahid Hamidi, Lim Kit Siang dan Muhyiddin Yassin. Hanya kalau tak boleh perform, letak jawatan.
Rekod BN (termasuk Pe­ri­ka­tan) sebagai parti pemerintah antara yang paling cemerlang dalam kalangan parti politik nasionalis yang memperjuangkan ke­mer­dekaan. Malah boleh dianggap setanding dengan LDP di Jepun dan Kuomintang di Taiwan.
Cuma, seperti mana LDP dan Kuomintang, BN menjadi leka akibat kuasa dan kejayaannya. Kepemimpinannya menjadi birokratik dan feudalistik.
Jadilah, seorang statesman, tidak sekadar seorang ‘warlord politik’ semata-mata. Pewarisan menjadi sukar dan kerap disabotaj oleh ‘warlord’ di peringkat cawangan dan bahagian. ‘Barangkali’, ramai pemimpin naik kerana senioriti, main selamat, mengampu dan dinasti. Bersihkan diri daripada panglima perang, kayu reput dan kayu hanyut, paku karat dan paku longgar.
Bertindak tegaslah terhadap rasuah, salah guna kuasa, pilih kasih dan campur tangan anak bini dalam pentadbiran dan urusan dari cawangan, bahagian sehinggalah ke peringkat tertinggi parti.
UMNO mesti teguh dengan prinsip perjuangannya. Hak-hak istimewa dan khas orang Melayu/Bumiputera, hak Raja Per.38 dan 181, kedudukan bahasa Melayu sebagai baha­sa kebangsaan (Per.159), kedudukan agama Islam dan lain-lain agama (Per.3), siapa itu Melayu di bawah Per.160, semua ini dan lain-lain telah berakar tunjang kira-kira 60 tahun dalam parti itu.
Mana-mana parti politik mesti sanggup menjawab tohmahan yang dilemparkan. Bila kita kuat, orang segan. Bila kita lembut, orang sudu. Mesti pakai falsafah ‘kendur berdenting-denting, tegang berjela-jela’. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN