Apabila tiba bulan Ramadan, ibu bapa akan melatih anak masing-masing untuk menunaikan ibadat puasa. Sememangnya, tindakan itu tepat dalam membiasakan anak-anak melaksanakan rukun Islam ketiga itu.
Cumanya, sebagai ibu bapa, kita perlu memastikan bahawa pelaksanaan puasa bagi anak-anak yang belum baligh jangan sampai memudaratkan mereka. Janganlah anak-anak kecil kita sampai melepek kehausan tetapi dipaksa juga puasa.
Ulama sepakat tentang kanak-kanak yang belum baligh tidak wajib berpuasa. Ia berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud: Tiga golongan yang amalan mereka tidak dicatat: seorang kanak-kanak sehinggalah dia baligh, orang yang tidur sehinggalah dia terjaga dan seorang yang hilang akalnya sehinggalah dia kembali waras. (riwayat Abi Daud)
Bagaimanapun, puasa kanak-kanak yang telah mumaiyiz walaupun belum mencapai akil baligh adalah sah. Menurut Imam al Qalyubi, (dan salah satu syarat sah puasa itu) ialah berakal, dalam erti kata tamyiz iaitu mampu membezakan antara baik dan buruk; maka sah puasa seorang kanak-kanak yang sudah mumayiz. (Hasyiyata al-Qalyubi wa ‘Umairah 2/76)
Adapun syarat wajib puasa adalah Islam, baligh, berakal, sihat, bermukim (tidak musafir), suci daripada haid dan niifas. Sementara, syarat sah puasa adalah Islam, berakal dan mumayiz, suci daripada haid dan nifas dan nyata masuknya bulan Ramadan.
Rukun puasa pula ada dua iaitu berniat dan menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa.
Ulama menyebut umur yang sesuai bagi melatih anak-anak berpuasa adalah tujuh tahun. Ia sebagai mengambil qias daripada perintah menyuruh anak menunaikan solat pada umur tujuh tahun.
Ia sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud: Ajarlah kanak-kanak untuk solat setelah dia berusia tujuh tahun. Jika dia enggan apabila berumur 10 tahun, pukullah dia (dengan pukulan yang tidak menyakitkan dan melukakan dengan tujuan untuk mendidik). (Riwayat Abi Daud dan Ahmad)
Benar bahawa iman itu tidak dapat diwarisi. Sebab itu Allah SWT mentakdirkan anak Nabi Nuh misalnya turut enggan beriman kepada ajaran bapanya. Dalam sisi yang lain, Mashitah yang bekerja sebagai tukang sikat rambut anak Firaun, dihidayahkan oleh Allah SWT dengan iman.
Kepentingan mendidik anak dengan ilmu agama memang tidak dinafikan. Ia dijelaskan oleh sabda Nabi SAW yang bermaksud: Setiap anak itu ibarat seperti kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkannya menjadi Yahudi, Nasrani ataupun Majusi. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Cuma, ibu bapa perlu mengutamakan ibadat solat terlebih dahulu. Ini supaya anak-anak dipasak dengan asas Islam yang kukuh. Sementelahan solat adalah rukun Islam kedua dan ia adalah amalan pertama yang dipersoalkan di hadapan Allah di padang mahsyar.
Jika kita perhalusi, rukun Islam itu sendiri telah meletakkan aulawiyat (keutamaan) berdasarkan turutan. Hal ini dijelaskan dalam peristiwa Malaikat Jibril diutus kepada Nabi SAW untuk mengajar makna Islam dan iman.
Peristiwa ini sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis riwayat Muslim yang bermaksud: Sedang kami duduk di dalam majlis bersama Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba muncul di dalam majlis itu seorang lelaki yang berpakaian serba putih, berambut terlalu hitam, tiada kesan bahawa ia seorang musafir, dan tiada antara kami yang mengenalinya, lalu dia duduk bersama Rasulullah SAW dan ditemukan kedua-dua lututnya dengan kedua-dua lutut Rasulullah SAW, serta diletakkan kedua-dua tapak tangannya ke atas kedua-dua paha Rasulullah SAW, lalu ia berkata: Ya Muhamad, khabarkan kepadaku tentang Islam?
Rasulullah SAW bersabda: Islam itu ialah kamu bersaksi (bersyahadah) bahawa tiada ilah melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad itu adalah Rasul Allah dan hendaklah kamu mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa Ramadan dan menunaikan haji ke Baitullah jika kamu mampu mengerjakannya. Lelaki itu berkata: Benar katamu.”
Dalam bab syahadah itu pun ia bukan sekadar ucapan di bibir. Sebaliknya ada empat perkara syarat sahnya iaitu diketahui maksudnya, diikrarkan dengan lidah, ditasdiqkan dalam hati dan hendaklah diamalkan dengan anggota.
Untuk itu, tahun ini kita berharap tidak lagi berlaku orang yang puasa tetapi tidak solat fardu atau meninggalkan kefarduan zakat dan fitrah.
Logik akal, hairan juga melihat orang yang sanggup menahan diri daripada makan dan minum selama lebih 13 jam sehari tetapi tidak mampu menunaikan solat fardu yang hanya 10 minit masanya.
Namun, inilah realiti yang masih berlaku dalam masyarakat kita. Dan ia mesti dibetulkan kerana kedua-dua ibadat, baik solat dan puasa waima zakat itu semuanya adalah fardu dan terkandung dalam rukun Islam.
Benarlah solat itu amat berat kecuali bagi mereka yang beriman. Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan (solat) itu sungguh berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk, (yaitu) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya, dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya.” (al-Baqarah: 45-46)
Amalan yang mula-mula dihisab daripada seseorang hamba pada hari kiamat ialah solat jika sempurna solatnya. Jika tidak, Allah berfirman: Lihatlah kepada solat-solat sunat yang dikerjakan oleh hambaku ini jika ada yang sunat sempurnakanlah solat-solat fardu itu dengan solat-solat sunat.
Bagi memahami konsep tersebut perlu diterapkan melalui pendidikan sebagaimana yang diasaskan oleh Luqman al-Hakim.
Ini dirakam menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya. (Luqman: 17)










