Ramai terkeliru dengan pendedahan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah mengenai 40 pekerja sektor kesihatan daripada seramai 438,220 individu yang telah melengkapkan kedua-dua dos vaksin Covid-19 telah terjangkit Covid-19.
Lalu digembar-gemburkanlah oleh sesetengah pihak kononnya program pemberian vaksin yang dilancarkan oleh kerajaan menemui kegagalan. Dakwa mereka, tidak ada guna diambil vaksin kerana ia tidak mampu mencegah daripada terjangkit Covid-19 sedangkan sebelumnya didakwa boleh menjadikan pengambilnya imun daripada wabak tersebut.
Walhal, kesemua perkara ini telah dijangka dari awal lagi malah kerajaan sendiri telah berkali-kali menegaskan bahawa vaksin tidak 100 peratus berkesan untuk menghalang jangkitan. Semakin bertambah jumlah mereka yang menerima serta melengkapkan semua dos vaksin, semakin banyak kes jangkitan Covid-19 yang akan dilaporkan.
Tetapi pokok pangkalnya adalah semua kes jangkitan setelah pengambilan vaksin ini masih lagi dalam lingkungan kecil. Jumlah 40 pekerja sektor kesihatan yang telah terjangkit Covid-19, peratusannya amat kecil berbanding ribuan yang telah terjangkit sebelum pemberian vaksin dilakukan.
Perkara ini adalah selari dengan apa yang berlaku di negara-negara yang lebih dahulu melaksanakan program vaksinasi di mana berlakunya penurunan yang signifikan dalam kes jangkitan Covid-19 yang memerlukan rawatan di hospital.
Inilah juga yang berlaku di Amerika Syarikat bila Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) melaporkan beberapa hari lalu bahawa kira-kira 5,800 individu yang telah menerima vaksin Covid-19 mendapat jangkitan berbanding kira-kira 77 juta orang di negara tersebut yang telah melengkapkan semua dos suntikan.
Tanggapan salah sekiranya seseorang itu telah menerima vaksin, maka jangkitan tidak boleh berlaku dan virus yang menyebabkan jangkitan tidak boleh masuk ke dalam badan perlu diperbetulkan dengan segera. Sebenarnya jangkitan boleh berlaku tetapi ketahanan yang terbina (95 peratus sekiranya vaksin keluaran Pfizer) setelah menerima vaksin tersebut akan membantu badan melawan jangkitan.
Perlu diketahui, apabila vaksin diberikan kepada seseorang, ia akan merangsang sel-sel dalam badan membina imuniti atau ketahanan badan. Vaksin ini, sama ada yang dihasilkan secara sintetik seperti Cominarty keluaran Pfizer ataupun jenis virus nyahaktif seperti Sinovac akan bertindak sebagai antigen yang berfungsi merangsang ketahanan badan.
Ketahanan badan ini diperlukan apabila mereka yang telah disuntik vaksin ini mendapat jangkitan. Pendek kata, vaksin ini melawan jangkitan tersebut sekiranya terjangkit. Ini ialah cara vaksin berfungsi.
TALI PINGGANG KELEDAR
Saya lebih suka menggunakan analogi pemakaian tali pinggang keledar untuk menaiki kenderaan dalam penerangan mengenai perlindungan yang diberikan oleh vaksin.
Vaksin bertujuan melindungi kita dengan menghalang jangkitan teruk menerusi imuniti yang dibina bagi melawan jangkitan sekiranya terjangkit. Tali pinggang keledar pula menghalang kecederaan teruk sekiranya kemalangan berlaku.
Tiada jaminan bagi mereka yang memakai tali pinggang keledar tidak akan mengalami kemalangan. Namun, impak daripada kemalangan tersebut sekiranya dialami dengan kelajuan, cara berlanggar dan jenis kenderaan yang sama, tentunya individu yang memakai tali pinggang keledar kurang mengalami kecederaan berbanding individu yang tidak mengenakan tali pinggang keledar.
Pengambilan vaksin tidak menjamin kita daripada terjangkit Covid-19. Ia tidak akan menjadikan kita Superman tetapi komplikasi jangkitan adalah kurang sekiranya kita dilindungi oleh vaksin.
Noor Hisham sendiri menyatakan, individu yang telah menerima suntikan vaksin dilaporkan mendapat jangkitan Covid-19 dengan gejala kurang serius. Berbanding dengan mereka yang belum menerima vaksin, jangkitan boleh menjadi serius terutama dalam kalangan golongan rentan iaitu warga emas, mempunyai penyakit seperti darah tinggi, sakit jantung, kencing manis, hiperlipidemia, obesiti dan mereka yang mempunyai daya tahan yang rendah.
Apakah faktor-faktor yang menyebabkan seseorang mendapat jangkitan walaupun telah menerima suntikan vaksin? Imuniti terhadap Covid 19 tidak terbentuk sejurus selepas dos pertama atau selepas yang kedua. Imuniti penuh memerlukan beberapa minggu selepas dos kedua.
Bagaimanapun, kadar imuniti dipengaruhi oleh beberapa faktor dalaman seperti kebolehan individu tersebut menghasilkan tindak balas terhadap antigen daripada vaksin untuk membina imuniti. Antara faktor luaran yang paling utama adalah kadar jangkitan yang masih tinggi dalam komuniti kita. Sekiranya ramai yang telah mendapat suntikan vaksin, imuniti kelompok akan tercapai dan ramai akan mendapat perlindungan daripada dijangkiti.
Antara sebab lain ialah kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) termasuk pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, kerap mencuci tangan yang harus diamalkan walaupun setelah menerima vaksin.
Laporan dari negara-negara lain yang turut mencatatkan kes-kes baharu dalam kalangan penerima vaksin menyatakan, individu-individu terbabit mempunyai persepsi bahawa mereka telah selamat daripada pandemik. Justeru, ada yang mengambil langkah berani ataupun cuai terhadap amalan SOP biasa untuk mencegah jangkitan.
Antara soalan yang biasa kita dengar, adakah dengan vaksin, kita tidak perlu menggunakan pelitup muka dan bebas bersalaman dengan individu lain? Jawapannya, amalan-amalan pencegahan tetap perlu dilakukan walaupun setelah menerima vaksin. Dengan erti kata lain, tidak ada orang yang selamat melainkan semua orang telah selamat daripada pandemik ini.
Kesimpulannya, jangkitan masih boleh berlaku dalam kalangan mereka yang telah mendapat vaksin, namun kadarnya jauh lebih rendah dan tidak serius berbanding dengan mereka yang tidak mendapat vaksin. Pun begitu, kepatuhan kepada SOP hendaklah diteruskan sehingga imuniti kelompok tercapai.
PROFESOR Madya Dr. Mohd. Dzulkhairi Mohd. Rani ialah Pakar Perubatan Kesihatan Awam di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).










