Bagi kita rakyat biasa bukan anak Kedah, isu Bukit Malut di Pulau Langkawi seumpama satu misteri yang sukar diketahui status sebenarnya. Setelah meneliti isu ini, saya temui dua naratif berbeza, bertentangan antara satu dengan lain.
Mengikut naratif pertama seperti ditulis dalam sebuah portal, perkampungan setinggan Bukit Malut dihuni oleh orang Burma yang duduk berselerak di kampung itu. Pada satu ketika, kebakaran amat besar berlaku menyebabkan perkampungan Burma di Bukit Malut ini hangus. Atas dasar simpati, kerajaan negeri Kedah memberi masyarakat Burma di situ rumah kos rendah di Taman Nilam dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuah.
Portal itu seterusnya menyatakan, selain diberi kerakyatan sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan, warga Burma di situ juga diberi keistimewaan melebihi warga tempatan, misalnya pinjaman TEKUN Nasional.
Kenyataan itu disangkal oleh seorang pembaca, Nazri Razak dalam komennya bertarikh 16 Ogos 2014 yang dimuat naik dalam portal tersebut. Katanya, “Bila saya pergi ke tempat tu, saya tengok penduduk tak nampak pun macam orang Myanmar, dan cara mereka cakap pun loghat Kedah lama. Jadi, saya tak beranilah nak tuduh mereka bangsa Myanmar.”
PENDUDUK ASAL
Kenyataan Nazri Razak itu selaras dengan penjelasan Tun Dr. Mahathir Mohamad (Ahli Parlimen Langkawi). Pada 30 Mac lalu, beliau menulis dalam Facebook, penduduk kawasan penempatan Bukit Malut bukanlah warga Rohingya, Myanmar. Sebaliknya, mereka adalah penduduk asal Kedah yang merantau ke Thailand dan Myanmar, kemudian kembali ke Langkawi.
Dr. Mahathir menambah, isu Bukit Malut sengaja dimainkan tanpa selidik oleh sesetengah pihak dengan tidak mengetahui situasi sebenar.
Beliau turut menjelaskan, sebelum ini sudah ada rancangan mewujudkan satu penempatan lebih teratur dengan bekalan air dan elektrik selain membina jalan lebih sempurna. Rancangan berkenaan disetujui penduduk dan peruntukan kewangan juga telah dipohon. Justeru, beliau berharap kerajaan dapat menyelesaikan isu perkampungan ini.
Pada 21 Mac lalu, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kerajaan negeri akan berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mencari jalan penyelesaian terbaik agar penempatan terbabit tidak terus memberi masalah kepada penduduk tempatan.
KES JENAYAH
Hampir dua tahun lalu (pada 23 Jun 2019), sebuah akhbar tempatan membuat liputan tentang perkampungan ini. Wartawan akhbar itu menyifatkan perkampungan ini sama seperti penempatan haram di Sao Paulo, Brazil atau setinggan di Mexico City, Mexico yang semakin berkembang.
Rencana itu selanjutnya membuat kesimpulan, perkampungan ini adalah satu penempatan haram yang dibina penghuninya secara menceroboh tanah rizab hutan paya bakau.
Yang menjadi masalah besar, mengikut rencana itu lagi, kawasan tersebut seolah-olah kebal daripada tindakan undang-undang hingga menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penduduk Langkawi. Perkampungan ini dikatakan sebagai lokasi paling hitam di pulau peranginan itu disebabkan kes jenayah dadah kerap berlaku.
Rencana itu seterusnya memetik Pengarah Jabatan Imigresen Kedah, Zuhair Jamaluddin sebagai berkata, pihaknya tidak mempunyai kuasa ke atas penduduk Bukit Malut kerana isu perkampungan ini terletak di bawah bidang kuasa MKN.
Zuhair menjelaskan, ramai penduduk di situ memegang kad Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR). Beliau mengesahkan, penduduk kampung ini tidak ada kena mengena dengan etnik Rohingya.
SAH ATAU HARAM?
Hasil tinjauan media di situ, beberapa persoalan kritikal timbul untuk dicari jawapan agar memudahkan kita merangka terma penyelesaian holistik:
-Apakah penduduk Bukit Malut warga asal Kedah atau rakyat negara asing?
-Apakah kemasukan mereka ke Kedah mengikut saluran yang rasmi dan sah atau secara haram?
-Apakah benar mereka telah diberi kerakyatan oleh kerajaan Malaysia?- Apakah benar mereka telah diberi keistimewaan melebihi warga tempatan?
-Apakah benar kawasan ini adalah satu penempatan haram?
-Apakah mereka ini sekarang pemilik/penghuni/ penyewa sah atau setinggan/ penceroboh yang boleh diusir di sisi undang-undang?
-Apakah tanah yang mereka duduki sekarang milik persendirian atau kerajaan negeri?
-Apakah tanah/rumah yang mereka duduki (seperti di Taman Nilam yang disebutkan tadi) itu milik mereka sendiri secara sah di bawah Kanun Tanah Negara?
Jika benar ada dalam kalangan penduduk perkampungan ini terlibat dalam kegiatan jenayah, apakah laporan polis telah dibuat dan tindakan susulan dijalankan terhadap mereka?
Jika benar ada kawasan dalam perkampungan ini yang kotor dan tidak diurus dengan baik, apakah tindakan tidak dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan?
Apakah Pejabat Tanah Langkawi atau Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kedah ada rekod terkini mengenai hakmilik yang telah dikeluarkan kepada penduduk di perkampungan ini?
Sejauh manakah benarnya kenyataan penduduk perkampungan ini terdiri daripada mereka yang dilindungi oleh (memegang kad) UNHCR?
Ada persoalan di atas yang hanya boleh dijawab oleh Kerajaan Persekutuan (seperti isu berkaitan Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara), atau kerajaan negeri sahaja (seperti isu hakmilik tanah, pencerobohan tanah kerajaan, pencerobohan kawasan hutan bakau), dan oleh MKN (isu dasar dan keselamatan negara). Mengenai persoalan sama ada penduduk perkampungan itu orang Melayu asal dari Kedah atau orang asing (Myanmar), pastinya isu ini boleh diselesaikan dengan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Jika semua pihak berkepentingan bersedia bergabung tenaga secara jujur dan penuh komitmen, tidak ada masalah (betapa rumit sekalipun) yang tidak boleh diselesaikan.
Saya ingat pesanan pak tua: “Buat yang betul, Allah akan tunjukkan jalan.”
DATUK Salleh Buang ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).










