PADA Ogos 2017, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membongkar kegiatan sebuah kilang haram memproses habuk kayu di Kampung Sungai Lembu, Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang menimbulkan masalah pencemaran kepada penduduk setempat.
Kilang yang dikatakan ‘kebal’ ini beroperasi sejak lebih 10 tahun dan tidak pernah mendapat kelulusan daripada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang kini dikenali sebagai Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Maka timbul persoalan, siapa yang membenarkan serta melindungi pengoperasian kilang berkenaan selama tempoh itu? Lebih ‘panas’, apabila kewujudan dan perlindungan kilang tersebut dikaitkan dengan penglibatan ahli politik.
Namun, persoalan tersebut terjawab apabila SPRM membuat pemeriksaan menyeluruh terhadap tatacara kerja dan prosedur di MBSP. Hasil pemeriksaan mendapati isu tersebut berpunca akibat tiada garis panduan yang jelas berhubung pelaksanaan konsep penguatkuasaan berhemah oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.
Ketika itu, MBSP mengamalkan penangguhan tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana pengusaha kilang, penjaja, peniaga ataupun pemilik bangunan sekali gus memberikan masa dan ruang kepada mereka untuk memohon kelulusan.
Penggunaan budi bicara dalam membuat keputusan oleh pegawai MBSP menyebabkan berlakunya permasalahan terbabit. Perkara tersebut bukan sahaja boleh membuka ruang dan peluang berlakunya rasuah serta salah guna kuasa, malah menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat umum.
Selain itu, semakan SPRM mendapati prosedur operasi standard (SOP) penguatkuasaan seperti terhadap binaan tanpa kebenaran serta pemeriksaan ke atas lesen premis perniagaan dan hiburan tidak mempunyai tempoh yang khusus. Tugasan tersebut dilaksanakan oleh dua bahagian iaitu Direktorat Penguatkuasaan dan Jabatan Bangunan yang menjalankan pemantauan di tapak selepas menerima laporan dan aduan.
Sehubungan itu, SPRM mencadangkan beberapa penambahbaikan kepada MBSP. Antaranya mewujudkan garis panduan yang jelas berhubung pelaksanaan dasar pengkuatkuasaan berhemah dan garis panduan penggunaan budi bicara dalam membuat keputusan penangguhan.
SPRM turut mencadangkan penambahbaikan SOP penguatkuasaan dengan menetapkan tempoh masa untuk sesuatu proses termasuklah tindakan penguatkuasaan dari tarikh kelulusan diberi. Syor penambahbaikan itu disambut baik dan disusuli dengan tindakan-tindakan penguatkuasaan berpandukan saranan SPRM bagi memastikan mencapai kecekapan tertinggi.
Perubahan yang dilakukan dalam tempoh kurang daripada setahun terhadap SOP baharu itu memberikan kesan positif kepada MBSP yang dinaik taraf daripada Majlis Perbandaran kepada Majlis Bandaraya pada 16 September 2019.
Ternyata khidmat nasihat yang dilakukan oleh SPRM diakui berjaya menyelesaikan isu kilang haram tersebut dan kini bangunan berkenaan tidak lagi berada di kawasan terbabit selepas diarahkan berpindah keluar.
SIFAR RASUAH
MBSP juga menjadikan SOP baharu itu sebagai penanda aras kepada setiap pegawai untuk mengambil tindakan penguatkuasaan mengikut tempoh ditetapkan.
MBSP juga mengakui khidmat nasihat dan cadangan SPRM amat membantu dalam menambahbaik dan menangani kelompangan pada satu-satu proses kerja yang membuka peluang untuk aktiviti rasuah. Saranan daripada SPRM juga dipraktikkan dalam membasmi penyalahgunaan kuasa agar rakyat menerima perkhidmatan yang telus dan bersih.
MBSP bukan sahaja mengikuti penambahbaikan yang disarankan oleh SPRM, malah mengambil langkah-langkah proaktif lain dalam usaha menerapkan budaya integriti dan pencegahan rasuah dalam kalangan warga agensinya. Antaranya menubuhkan Unit Integriti di bawah Jabatan Khidmat Pengurusan, menyediakan Pelan Antirasuah MBSP 2021-2025, melaksanakan Bulan Integriti pada November setiap tahun, menandatangani Janji Warga PBT Perangi Pemberi Rasuah pada 3 Disember tahun lalu sempena Hari Antirasuah Antarabangsa dan melaksanakan Bussiness Process Reengineering (BPR) dan Bussiness Process Improvement (BPI) terhadap proses kerja yang berpotensi tinggi berlaku amalan rasuah dengan menghapuskan peringkat kerja yang tidak berkaitan bagi mempercepatkan prosesnya.
Pada masa sama, MBSP telah memperoleh sijil ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) daripada SIRIM Berhad dan menjadi agensi kerajaan pertama memperolehinya. MBSP juga diaudit setiap tahun oleh SIRIM dalam memastikan sistem tersebut dilaksanakan dengan baik.
Buat masa ini, MBSP menyediakan lebih 100 perkhidmatan secara dalam talian sebagai satu usaha menghapuskan gejala rasuah.
Peranan SPRM dalam memberikan rundingan dan khidmat nasihat kepada MBSP mampu menjadi tunjang yang kuat bagi mengelakkan berlakunya kesalahan tatacara kerja di MBSP sekali gus memerangi jenayah rasuah. Berbekalkan keazaman seluruh warganya, sudah pasti memori hitam yang pernah terjadi di MBSP tidak akan berulang lagi.
PENULIS ialah Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).










