Apabila media sosial mula diperkenalkan pada awal 2000, dunia melonjak gembira. Khususnya anak muda yang bergelar digital native – yakni generasi dilahir serasi komputer. Kepada mereka, media sosial merupakan satu lagi cara berhubung dan berkomunikasi rentas sempadan dalam apa jua bentuk, terutama sekali sekatan berbentuk fizikal. Ia seakan-akan peranti telefon, hanya ia lebih mudah alih dan peribadi sifatnya. Boleh didampingi setiap masa, di mana sahaja dan bila-bila sahaja. Oleh yang demikian, pada hakikatnya berupaya dihubungi serta berkomunikasi dengan lebih deras untuk dipacu sesuka hati.
Tidak menjadi kehairanan, oleh itu pelbagai jenis media sosial ditawarkan kepada orang ramai melalui berpuluh jenama. Termasuk jenis jaringan sosial, blog dan mikroblog, perkongsian media dan lain-lain lagi. Ada yang bercorak teks, atau visual, ataupun berbagai gabungan antara keduanya. Banyak di antaranya ditawar percuma dan menarik kepada para pengguna di semua peringkat masyarakat. Tidak kurang pula ada yang mengangkatnya seakan-akan suatu simbol seorang terpenting (VIP) yang sibuk dengan panggilan itu dan ini. Sama ada bermanfaat bukan hal.
Gaya lebih diutamakan demi nama dan puja. Maka tidak memeranjatkan jika keadaan terkini menggambarkan peningkatan aktiviti talian atau skrin yang semakin amat popular tahun demi tahun.
Apa lagi dengan keghairahan mengutip tanda likes – yakni tanda kegemaran dalam kalangan para pengguna media sosial walaupun dari segi ilmu mungkin tidak bernilai langsung. Apa pun ini sudah dijadikan satu lagi simbol yang dipentingkan dalam dunia media sosial, khasnya dalam kalangan anak muda yang sedang mencari-cari identiti masing-masing. Persepsi ini digalakkan lagi oleh syarikat berkenaan untuk meraih pasaran dan laba. Sementara itu para pengguna dijadikan mangsa percaturan.
Namun sudah ada tanda-tanda menunjukkan sebaliknya terutama di negara di mana persaingan media sosial agak pesat dengan berbagai pilihan lebih canggih lagi moden. Apatah lagi ramai yang mula menyedari akan beberapa faktor negatif yang mampu mempengaruhi kegunaan media sosial secara langsung. Hal ini kian melebar dan meningkat dalam kalangan yang lebih insaf.
Antara faktor pendorong termasuklah penggunaan kata-kata kasar serta kesat dalam media sosial yang disasar untuk menyakiti perasaan, ada pula yang menyamar apabila berbuat sedemikian penuh kepura-puraan.
Ramai juga merasa terputus hubungan dengan yang lain apabila tidak dapat bersemuka dan kesudahannya mendatangkan berbagai gejala tekanan emosi dan gangguan kesihatan mental. Dalam jangka masa serangan wabak Covid-19 bersemarak di merata tempat hal ini terus meruncing. Diiringi pula berbagai berita palsu serta perkhabaran dusta hampir berharian, sehingga keadaan seumpama ini terus mendalangi media sosial semasa. Walaupun masih diakui terdapat kebaikan bagi media sosial namun ia beransur-ansur dihitami oleh kepalsuan, kebencian malah berbagai konflik remeh yang memecah-belah secara berlarutan.
Kes melibatkan media sosial ternama, Facebook (FB), tidak beberapa lama dahulu adalah antara contoh terbaik yang jelas permasalahannya. Ketika itu FB dituduh oleh ribuan syarikat gergasi global sebagai mendalangi isu berbaur perkauman serta kejelikan yang kononnya menyebelahi Presiden Donald Trump dalam kempen presidennya untuk penggal kedua baru-baru ini. Melalui kempen #StopHateForProfit (#HentiBenciUntukKeuntungan) berbagai kumpulan sivil mendesak agar para pengiklan hentikan langganan FB sebagai langkah bantahan terhadapnya.
Mahu tidak mahu inilah yang sering tidak disenangi memandangkan keluasan pengaruh media sosial sama ada disedari atau tidak. Dengan kata lain terdapat berbagai pihak tertentu menggunakan media sosial untuk kepentingan masing-masing secara tidak disegani. Lebih teruk, ada yang menyamar untuk mengelak dari dikenali. Malah mengikut satu kajian Pusat Penyelidikan Pew pada 2018, kumpulan remaja yang sering terkesan. Termasuk perlakuan buli siber, penyebaran khabar-khabar fitnah, desakan rakan sebaya, juga tekanan yang tidak realistik tentang orang lain. Akhirnya terpupuk sebuah minda sempit yang terus meracuni penggunaan media sosial lantas memburukkan lagi kedudukan mereka sehingga terjebak dalam ancaman kesihatan mental.
Lagi lama mereka bergelumang dengan media sosial dalam konteks tersebut, bertambah buruk pula perlakuannya. Anehnya tidak kurang ramai para pelajar universiti turut terlibat dalam hal yang sama walaupun ramai mengandaikan bahawa para pelajar universiti lebih matang dan pintar mengelak diri mereka, tetapi ini tidak semesti. Malang lagi mereka tidak juga berupaya menyelamatkan diri sebagai mangsa media sosial.
Terbaharu pada awal tahun ini, penggunaan media sosial yang amat kerap didakwa menjahanamkan lagi kesihatan mental anak muda mengikut dapatan Institut Dasar Pendidikan dan Amanah Putra di United Kingdom (UK). Ia tidak ubah seperti kanak-kanak sekolah rendah amnya. Semacam budak-budak sekolah, mereka turut diperbudak-budakan apabila berinteraksi dengan media sosial dalam menyatakan hasrat masing-masing. Oleh itu ternampak yang emosi lebih diutamakan dari fakta, fitnah mendahului kebenaran, individu menghantui kelompok, keangkuhan mengatasi maruah serta sikap berbudi.
Kesudahannya budi bahasa termusnah dalam pembicaraan media sosial di mana budi bicara tidak lagi membawa apa-apa erti dalam mendidik insan yang sempurna. Pada hakikatnya, semua ini ada kena mengena dengan naluri insan yang terlalu mudah dimanipulasi oleh susunan serta atur cara media sosial secara tersembunyi. Tiada bezanya dengan perjudian maya atau atas talian (elektronik) yang sudah lama dikenali mengagihkan pelanggan apabila perasaan dan pemikiran diganggu-gugat oleh teknologi secara halus tidak ubah sepertimana media sosial lazimnya.
Natijahnya, media sosial seperti mana semua jenis rekaan teknologi mempunyai had tersendiri. Dalam keghairahan menggarap kemodenan hidup aspek ini terketepi didesak pasaran global. Yang jelas terkesan adalah kumpulan remaja, namun sering terabai sehingga keadaan menjadi parah. Sementara itu, dunia pandemik sudahpun menampakkan lagi ancaman mendatang. Soalnya, apakah langkah terkehadapan yang wajar ambil demi melindungi semua ala Covid-19.
Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










