Senang, susah bersama rakyat - Utusan Malaysia

Senang, susah bersama rakyat

Wan Rosdy berkali-kali menyebut, dengan hasil negeri yang tinggi, pelbagai lagi usaha akan dilakukan yang akhirnya dipulangkan manfaatnya kepada rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bapa borek, anak rintik. Tetapi, ia terbalik kot dalam hal anak beranak, Datuk Seri Utama Wan Rosdy Wan Ismail dan Wan Mohamad A‘zam Wan Rosdy berkaitan tempoh penampilan kedua-duanya sebagai pembahas pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri menjadi pembahas bagi usul ucapan dasar presiden pada PAU 2020, Ahad lalu. Wan Mohamad A‘zam pula masih seorang pelajar mewakili Kelab UMNO Luar Negara Newcastle dan Sunderland, membahaskan usul sama lebih awal, iaitu 10 tahun lalu pada PAU 2011.

Pada kedua-dua PAU ini, Tan Sri Badrudin Amiruldin ialah Pengerusi Tetap, sangat suka menyakat termasuk menggelar Wan Mohamad A‘zam loklaq ketika beliau (Wan Mohamad A‘zam), anak muda kelahiran Pulau Pinang ketika ayahnya masih seorang pegawai kanan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) di sana, berucap dalam loghat utara yang pekat.

Seluruh perwakilan dalam Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) ketika itu, ketawa terbahak-bahak menyaksikan keletah kedua-dua orang utara ini, khususnya Wan Mohamad A‘zam dengan wajah selambanya.

Pada PAU kali ini, Badrudin mungkin tidak menyedari atau terlupa tentang pertalian keluarga Wan Rosdy dengan Wan Mohamad A‘zam yang diusik dan disakatnya dahulu. Jika ya, tentu ada cuitan mesra mengenainya.

Sungguhpun begitu, isu yang dibawa oleh kedua-dua beranak ini hampir sama, iaitu berkaitan rakyat serta keperluan memahami denyut nadi dan keperluan mereka sambil menghormati sejarah.

‘Kami belajar dengan sejarah, kami bangga dengan bangsa kami,” demikian antara kata-kata Wan Mohamad A‘zam, sepertimana dilaporkan oleh sebuah portal berita mengenai perbahasannya ketika itu.

Wan Rosdy pula memulakan perbahasan sulungnya pada PAU Ahad lalu dengan memberi ‘tabik hormat’ kepada pendahulu-pendahulunya dalam kalangan bekas menteri besar dan pengerusi badan perhubungan UMNO negeri. Ini sangat bertepatan sementelah pada 15 Mei ini, genap tiga tahun beliau dilantik sebagai Menteri Besar Pahang oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj ketika itu menggantikan Datuk Seri Adnan Yaakob.

“Sebagai mewakili ahli-ahli parti akar umbi di Pahang, saya perlu menyatakan penghargaan yang tidak terhingga kepada pendahulu saya, Datuk Seri Adnan Yaakob yang telah ‘mewariskan’ kepada saya, kepemimpinan parti yang kukuh dan negeri yang terus kekal dalam genggaman Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi oleh UMNO selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Inilah apa yang saya sebutkan sebagai ‘warisan diplomasi Pahang yang tinggi,’ yang diperturunkan dari generasi ke generasi oleh kepemimpinan-kepemimpinan parti sejak dahulu termasuklah semasa Pahang dikemudi oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tun Mohd. Khalil Yaakob serta tokoh-tokoh pemimpin sebelumnya.

“Kerajaan negeri Pahang terus menerus berada di bawah kekuasaan BN/UMNO tanpa henti sudah lebih enam dekad, tentunya sesuatu yang menjadi kebanggaan dan perlu kita terus pertahankan, insya-Allah.

“Sudah tentu kita perlu berterima kasih yang teramat sangat ke atas sokongan yang diberikan oleh pelbagai latar belakang rakyat kepada kita, sehingga membolehkan kita terus-menerus mendapat kepercayaan dan kita menang pada setiap PRU diadakan,” katanya.

Oleh itulah juga, bersandarkan hakikat bahawa kepemimpinan UMNO/BN sendiri gagal mempertahankan kerajaan Pusat yang diperintahnya sejak dahulu sehinggalah PRU-14, UMNO/BN negeri turut meminta diberi ‘autonomi’ dalam mempertahankan kerajaan negeri pada PRU-15 kelak.

Ini juga Wan Rosdy sebut dalam ucapan sama. Alasan bukan sahaja bagi memastikan kejayaan dan winning formula yang telah ada pada UMNO/BN negeri dilaksanakan secara berkesan, tetapi juga perjuangan demi membela rakyat, dapat diteruskan. Politik pembangunan dan pentadbiran mementingkan ‘senang dan susah bersama-sama’ yang dibawa oleh UMNO/BN negeri selama ini apatah lagi di bawah kepemimpinan Wan Rosdy, tidak boleh disangkal lagi.

Ini terbukti dengan pelbagai inisiatif dan bantuan yang kerajaan negeri hulurkan kepada rakyat daripada pelbagai latar belakang kaum, usia dan kerjaya bagi meringankan beban kehidupan mereka khususnya yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan prosedur operasi standard (SOP) demi membendung penularan pandemik Covid-19 bermula Mac tahun lalu.

Begitu juga dengan pelbagai lagi inisiatif dan bantuan kewangan termasuk secara one off yang kerajaan megeri sumbangkan kepada rakyat yang terkesan akibat banjir yang melanda hampir seluruh daerah pada awal tahun ini.

Ini semua dapat kerajaan negeri lakukan kerana adanya semangat prihatin yang tinggi dalam kalangan kepemimpinannya terhadap rakyat selain kerajaan negeri mempunyai kemampuan kewangan untuk menjayakannya.

Nilai bajet atau hasil tahunan negeri dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini sudah mencecah RM800 juta dan ia hendak ditingkatkan lagi menjadi kira-kira RM1 bilion dalam tempoh dua, tiga tahun akan datang.

Dalam hal ini, Wan Rosdy sendiri telah pun berkali-kali menyebutkan betapa dengan hasil negeri yang tinggi, pelbagai lagi usaha akan dapat dilakukan yang akhirnya akan dipulangkan manfaatnya kepada rakyat juga.

PENULIS ialah penganalisis isu-isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN