Rahsia bilik nombor 8845 - Utusan Malaysia

Rahsia bilik nombor 8845

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kisah seram yang saya ceritakan ini adalah kisah benar yang terjadi kepada seorang rakan. Begini ceritanya.
Tanggal 16 November 2014 merupakan hari pertama Azmir melapor diri bertugas di bahagian housekeeping di sebuah hotel di bandar Kuantan. Kebetulan hari itu dia bermula syif malam, jadi awal petang lagi dia sudah sampai dan berjumpa penyelianya untuk melapor diri.
“Malam-malam tak payah nak kemas bilik pun. Cuma standby kalau-kalau ada guest yang call nak minta tuala ke, ubat gigi ke, sterika ke…,” kata penyelianya, Sarip.
Azmir mengangguk faham. Dia memang sudah masak sangat dengan perangai pelanggan yang menginap di hotel ini sebab sebelum ini pun dia pernah bekerja di bahagian yang sama ketika menunggu keputusan peperiksaan SPM.
Bunyi deringan telefon yang tidak putus-putus di bilik housekeeping sedari tadi memecah kesunyian malam. Azmir menjawab satu persatu dengan penuh sabar. Adakalanya dia rasa bengang juga kerana terpaksa melayan permintaan-permintaan remeh daripada tetamu yang menginap di situ.
Jam sudah menunjukkan 12 tengah malam. Azmir bercadang untuk ke lobi dan berbual dengan staff di situ. Maklumlah dia baru sahaja berkenalan dengan mereka hari ini. Banyak juga yang hendak ditanya nanti.
Sebaik sahaja dia ingin melangkah ke lobi tiba-tiba telefon di mejanya berdering. Lantas dia masuk semula dan menyambut panggilan tersebut.
“Hello… housekeeping, boleh saya bantu?
Sayup-sayup kedengaran suara seorang wanita sedang teresak-esak di hujung talian. Azmir kaget. Dalam hatinya tertanya-tanya. Risau pula jika ada apa-apa yang tidak kena berlaku.
“Encik datang ke bilik saya sebentar boleh tak?” tanya suara di hujung talian.
Setelah meminta nombor bilik, dia bergegas menuju ke lif. Fikirnya mungkin tetamu tersebut berada dalam kesulitan dan memerlukan bantuan.
Sebaik sampai di hadapan bilik bernombor 8845, dia terus menekan loceng. Malangnya tiada sesiapa yang menyahut atau membuka pintu. Dia garu kepala. Hampir seminit juga dia menekan loceng dan memanggil dari luar, namun tetap tiada jawapan. Dan sebaik sahaja dia ingin menuju ke arah lif untuk turun tiba-tiba dia terdengar suara memanggilnya.
“Encik… encik ni housekeeping kan? Yang saya call tadi?
Azmir berpatah balik menuju ke arah bilik tersebut. Nampak wajah seorang wanita berketurunan cina di celah pintu yang sedikit terbuka.
“Iya, tadi puas saya tekan loceng, tetapi tiada siapa yang buka pintu.
“Oh, maaflah. Saya tak berani nak buka sembarangan. Saya takut kalau suami saya yang datang…,” kata wanita tersebut sedikit pelat.
Sekali lagi Azmir pelik. Dalam hatinya tertanya juga kenapa pula wanita ini takut suaminya datang. Namun rasa tidak manis pula kalau dia nak bertanya lanjut. Nampak seolah menyibuk pula.
“Apa yang boleh saya bantu puan?” tanya Azmir.
“Saya nak minta tolong boleh tak encik tukarkan kunci bilik saya ni. Saya takut suami saya masuk,” kata wanita tersebut merayu.
Azmir garu kepala. Sempat dia melihat raut wajah wanita itu dengan jelas. Dari pengamatannya mungkin wanita tersebut berusia lingkungan awal 30-an. Tapi nampak tidak terurus. Rambutnya kusut masai dan wajahnya juga terdapat kesan-kesan lebam.
Wanita itu menundukkan mukanya sebaik sahaja dia perasan yang Azmir tidak berkelip memandangnya.
“Saya minta maaflah kerana susahkan encik. Tapi memang saya tidak mahu suami saya masuk. Encik lihatlah muka saya ini. Habis lebam-lebam dia pukul. Kalau dia mabuk memang teruk dia pukul saya,” kata wanita itu sambil menundukkan wajahnya.
“Oh, tak apa saya faham. Saya minta maaflah puan kerana kalau nak tukar kunci kena melalui kaunter pertanyaan. Saya tak boleh buat,” kata Azmir berterus terang.
Wanita tersebut mengangguk perlahan seakan faham.
“Tak apalah kalau macam tu. Nanti saya tanya staff di kaunter pertanyaan,” sambungnya sebelum meminta diri.
Azmir melangkah ke arah lif. Dalam hatinya berasa kasihan juga melihat wanita tersebut. Walaupun cahaya di koridor tersebut agak suram namun dia dapat melihat dengan jelas keadaan wanita tersebut. Sudahlah wajahnya pucat dan lebam, bibirnya pula ada kesan bengkak dan luka.
Sebaik lif yang dinaikinya sampai di bawah, dia terus melangkah menuju ke kaunter pertanyaan.
“Saya nak tanya ini. Ada guest minta tolong tukarkan kunci biliknya. Dia kata tak nak kasi suaminya masuk. Boleh ke?” Tanya Azmir sambil mengusap mukanya yang sedikit keletihan.
Dua penyambut tetamu yang ada di situ saling berpandangan.
“Guest bilik nombor berapa?” tanya pekerja yang bernama Maria.
“Bilik 8845…” sambung Azmir.
Sekali lagi dua petugas tersebut berpandangan. Raut wajah mereka sedikit cuak.
“Bilik 8845 tiada orang tau. Memang kita tak benarkan sesiapa bermalam di bilik itu,” kata seorang lagi yang bernama Surayam.
Azmir kaget. Matanya tertumpu ke arah dua gadis yang berada di hadapannya ketika itu. Dia berasa pelik.
“Eh, saya baru saja naik jumpa guest tu. Takkanlah saya nak tipu pula. Saya ingat lagi nombor biliknya. Nampak ini saya siap tulis di tapak tangan lagi masa dia telefon tadi,” kata Azmir meyakinkan mereka.
Wajah Maria dan Suraya serta merta bertukar pucat. Mereka saling berpelukan. Azmir semakin pening melihat tingkah laku mereka.
“Mir, bilik itu memang kami tak benarkan sesiapa check in. Dua minggu lepas ada kes di situ. Kau jangan main-main Mir. Aku dah mula tak sedap hati ni..” sampuk Maria dengan gugup.
Azmir lantas menunjukkan tulisan bernombor 8845 yang tertera di tapak tangannya. Dua rakan setugas yang berada di hadapannya ketika itu mula gelisah dan tak tentu arah.
“Kalau kau nak tahu dekat bilik tu ada kes bunuh. Memang ada seorang wanita mati kena bunuh. Mayatnya pekerja jumpa di dalam tab mandi. Polis pun sudah tangkap suspek utamanya. Dengar cerita suaminya sendiri. Kau jangan macam-macam nak takutkan kita orang pula Mir,” kata Suraya menggeletar.
“Eh, takkanlah saya nak tipu. Saya pun baru hari ni start kerja. Saya mana tahu apa yang berlaku di sini,” kata Azmir gugup.
Akibat kejadian tersebut, Azmir tidak berani ke biliknya. Dia akhirnya duduk di kaunter pertanyaan hingga ke pagi.
Dari cerita Maria dan Suraya juga dia dapat tahu ramai pekerja yang bertugas syif malam sering terdengar suara wanita menangis, merintih dan meminta tolong dari bilik tersebut,
Tidak kurang juga tetamu yang menginap di tingkat lapan hotel tersebut. Sering alami kejadian yang menyeramkan.
Kejadian yang menimpa Azmir tersebar dengan cepatnya. Pagi itu penyelianya Sarip datang berjumpanya dan meminta maaf.
“Maaf Mir. Aku lupa nak beritahu pasal apa yang berlaku di hotel ini pada kau semalam,” kata Sarip sedikit kesal.
Akibat kejadian itu Azmir demam seminggu. Dia sudah ambil keputusan berhenti kerja. Walaupun peristiwa tersebut sudah di ketahuinya, namun tidak mungkin akan berulang kembali. Apatah lagi bila dia terpaksa bertugas di syif malam.
Kejadian di bilik bernombor 8845 itu amat menghantuinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN