Perjalanan agung Rasulullah SAW dari Masjid Al-Haram ke Masjid Al-Aqsa, seterusnya ke sidratul muntaha merupakan satu tanda kebesaran Allah SWT dan mukjizat yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad SAW. Peristiwa itu dirakamkan dalam al-Quran di mana Allah SWT berfirman: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” ( surah Al Isra’, 17:1).
Peristiwa Israk Mikraj ini mengandungi terlalu banyak pengajaran yang perlu diamati dan diambil iktibar oleh umat Islam. Ketika menceritakan pengalaman baginda SAW kepada penduduk Mekah, ada dalam kalangan kaum Quraisy Mekah yang mentertawakan dan memperlekehkan. Ada juga segelintir dalam kalangan pengikut Rasulullah SAW sendiri yang murtad kembali. Namun, mereka yang teguh akidahnya tetap utuh di belakang Rasulullah SAW seperti dipamerkan Saidina Abu Bakar As-Siddiq yang tetap tegas dan yakin kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
Seharusnya, Israk Mikraj juga menjadi pengukuh kepada tautan ukhuwah antara umat Islam kerana keteguhan akidah yang terbina melalui mukjizat ini menjadikan kita lebih kuat kerana memiliki keyakinan yang sama. Hubungan antara umat Islam yang saban hari diuji dengan pelbagai bentuk cabaran dan fitnah, jika tidak ditangani dengan baik, mampu menjadi bibit perpecahan dan mendatangkan musibah kepada umat. Perpecahan inilah yang amat diidamkan oleh musuh-musuh Islam.
Asas kepada ukhuwah antara umat Islam ialah akidah. Allah SWT berfirman: “Oleh itu, jika mereka bertaubat (dari kekufuran), dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka mereka itu adalah saudara kamu yang seagama; dan Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui.” (surah At Taubah, 9:11)
ROH
Menurut Abdullah Nashih Ulwan, ukhuwah Islamiah adalah tautan roh yang menghasilkan rasa kasih sayang mendalam dan kukuh, hormat, perlakuan yang santun dan lembut terhadap insan lain atas dasar iman dan takwa. Ia mampu menyatukan hati-hati dalam kalangan umat Islam. Adalah amat penting supaya titik persamaan itu diraikan dan sebarang perkara yang mampu membawa kepada bibit perpecahan ummah dielakkan dan jika ada, perlu diurus dengan sebaiknya agar tidak menjadi barah yang membinasakan ummah dan merosakkan imej Islam itu sendiri. Malangnya, saban hari kita dipamerkan dengan pertelingkahan dan perbalahan dalam kalangan umat Islam. Bukan hanya dalam kalangan pemimpin politik, malahan ahli jawatan kuasa masjid di peringkat kariah pun berbalah sehinggakan masjid yang sepatutnya menjadi tempat memperkukuhkan ukhuwah berubah menjadi medan perpecahan.
Umat Islam perlu sedar, memelihara tali persaudaraan dan memperkukuhkan ukhuwah serta rasa kebersamaan dituntut dalam agama. Allah SWT berfirman: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.” (surah Ali Imran, 3: 103)
HAJAT
Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar r.a menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Seorang Muslim adalah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiayai oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah SWT akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, maka Allah SWT akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat. Sesiapa yang menutupi aib seseorang Muslim, maka Allah SWT akan menutup aibnya pada hari kiamat.” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Di hadis yang merujuk perkara sama, An-Nu’man bin Basyir r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Perumpamaan seseorang mukmin sesama mukmin dalam hal saling mencintai, mengasihi dan menyayangi seumpama satu badan. Apabila ada salah satu anggota badan yang menanggung kesakitan, maka seluruh badannya akan turut terjaga (tidak akan tidur) dan terasa panas (merasakan sakitnya).” (hadis riwayat Al Bukhari dan Muslim).
Tanggungjawab memperkukuhkan ukhuwah terletak di atas pundak setiap umat Islam. Namun begitu, amat penting jika pemimpin-pemimpin Islam itu sendiri menjadi teladan terbaik dalam usaha ini. Pemimpin di pelbagai peringkat, sama ada pemimpin negara atau masyarakat perlu menyahut agenda pengukuhan ini agar Islam dilihat sebagai agama yang mampu menyatukan pengikutnya.
Sebagai individu Muslim, kita seharusnya menyuburkan ketakwaan kita kepada Allah SWT agar kita sedar bahawa apa yang kita zahirkan dalam urusan di dunia ini hanyalah bertujuan mencari reda Allah SWT di akhirat kelak. Binalah rasa kasih sayang dan kebersamaan antara kita agar keutuhan ini mampu menjelmakan kepimpinan Islam yang adil dan dihormati terhadap masyarakat secara keseluruhan. Dengan ini, barulah Islam lebih dihormati oleh orang lain kerana berupaya melahirkan umat yang kukuh persaudaraannya dan kesatuannya berasaskan kekuatan akidah dan nilai-nilai murni dalam agama.
PENULIS ialah Felow, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).










