Masya-Allah, peliknya mayat ini - Utusan Malaysia

Masya-Allah, peliknya mayat ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kisah yang ingin saya ceritakan ini berlaku beberapa tahun lalu. Namun ia masih segar dalam ingatan. Bila difikirkan kembali cukup menginsafkan. Semoga kisah ini akan menjadi pengajaran dan pedoman buat kita semua sebelum dijemput sakaratul maut nanti. Begini ceritanya.
Petang itu saya terima panggilan telefon dari seorang rakan kariah di kawasan perumahan mengatakan ada seorang lelaki meninggal dunia. Tapi yang peliknya rakan saya itu tidak memberitahu nama si mati kerana tidak kenal. Hatta waktu si mati meninggal pun dia tidak tahu. Dia sekadar suruh saya datang segera dan uruskan jenazah.
Selepas bersiap saya bergegas ke alamat yang diberi. Lokasi perumahan tersebut terletak bersebelahan dengan taman saya. Memang cukup mewah dan elit. Sebaik sampai saya lihat jiran-jiran sudah berkumpul di hadapan rumah termasuklah beberapa anggota polis dan forensik. Saya bertambah musykil. Nampak seperti ada yang tidak kena.
Bau busuk dari luar rumah sudah cukup membuatkan tekak saya mual. Ia menusuk kuat sehinggakan ada beberapa orang di situ yang menekup hidung dengan tangan.
Setelah pihak polis menjalankan sisasatan barulah saya dibenarkan masuk ke dalam. Sebaik sampai di ruang tamu saya tersentak. Jelas kelihatan si mati berada dalam keadaan terlentang di sofa panjang sambil kedua tangannya terjuntai ke bawah.
Tubuhnya sudah busuk dan kehitaman, perutnya juga sudah kembung seperti ingin pecah. Mengikut apa yang saya dengar mayatnya sudah tiga hari terbiar di situ. Namun yang paling menyentuh hati apabila saya lihat kepalanya sudah tidak menyerupai kepala manusia biasa. Kepalanya sudah mengelembung bulat dan besar seperti topi keledar.
Masya-Allah! Pelik benar mayat ini. Setelah saya perhatikan betul-betul barulah saya teringat akan seseorang. Rasanya saya mengenali arwah kerana acap kali terserempak dengannya ketika menunaikan solat di masjid berdekatan.
Pihak polis dan forensik mengesahkan kematian arwah tiada sebarang unsur jenayah. Mereka syak arwah meninggal dunia akibat serangan jantung, namun keputusannya akan terjawab apabila selesai bedah siasat nanti.
Saya dan beberapa penduduk di taman itu bersama-sama membantu polis mengangkat jenazah tersebut untuk dimasukkan ke dalam kenderaan dan seterusnya di bawa ke hospital.
Sebaik kenderaan membawa jenazah arwah bergerak pergi, saya bertanyakan kepada beberapa orang di situ tentang keluarga si mati. Ini kerana saya lihat tidak ada seorang pun anggota keluarganya di rumah tersebut.
Menurut cerita mereka, arwah baru sahaja membeli rumah di situ sejak setahun lalu. Namun tidak tahu sama ada arwah sudah berumah tangga atau belum. Ini kerana selama ini hanya dia seorang yang kelihatan di rumah itu.
“Patutlah dalam tiga empat hari ni saya tak nampak kelibat arwah. Biasanya setiap petang dia akan bersenam atau keluar berjogging di sekitar sini. Saya syak sesuatu yang tidak kena pun setelah isteri mengadu ada bau busuk ketika dia siram bunga pagi tadi.” celah seorang lelaki di situ.
Menurutnya lagi sepanjang setahun berjiran dia langsung tidak pernah tahu nama arwah. Pernah juga dia cuba ingin berbual, namun arwah seakan mengelak. Kalau berselisih pun dia hanya senyum tanpa bercakap walau sepatah.
Arwah memang suka menyendiri. Dia memang tidak bercampur gaul dengan jiran tetangga lain.
Sebaik sahaja saya ingin beransur pulang, tiba-tiba seorang pemuda berusia lewat 30-an memberi salam. Lelaki tersebut memperkenalkan diri sebagai anak saudara arwah yang tinggal di taman berdekatan.
Saya tarik nafas lega. Akhirnya ada juga waris arwah yang tahu. Jadi mudahlah urusan untuk kebumikan arwah nanti.
“Saya dah beritahu pada ahli keluarga lain. Insya-Allah nanti mereka akan sampai.” kata pemuda yang memperkenalkan dirinya sebagai Amir itu.
Kami yang berada di situ tarik nafas lega. Sekurang-kurangnya ada sanak saudara yang akan berikan penghormatan terakhir di upacara pengebumian nanti.
“Ustaz, boleh tak temankan saya ke hospital untuk uruskan jenazah arwah. Maklumlah saya bukannya pandai sangat. Kalau ustaz ada legalah saya sikit.” kata Amir kepada saya.
Saya serba salah. Hendak ditolak rasa macam tak manis pula. Akhirnya atas rasa tanggungjawab saya bersetuju. Saya menaiki kereta Amir dan menuju ke hospital.
Dalam perjalanan saya sambung berbual dengan Amir. Cerita kami banyak berkisar tentang arwah.
“Pakcik saya memang pelik sikit ustaz. Dia memang tak suka bercampur gaul dengan orang. Masa dia pergi umrah tahun lepas pun dia langsung tak beritahu sesiapa. Kami tahu pun selepas dia balik,” kata Amir.
Melalui cerita Amir saya sudah tahu sedikit sebanyak tentang arwah. Rupa-rupanya arwah tidak pernah berkahwin kerana katanya dia lebih selesa hidup seorang diri dari berkeluarga.
Terfikir juga saya bagaimanalah agaknya saat akhir arwah ketika malaikat Izrail datang menjemputnya. Hanya seorang diri tanpa ada ahli keluarga di sisi.
Saya beritahu Amir di mana saya selalu bertembung dengan arwah ketika sama-sama menunaikan solat di masjid. Amir angguk perlahan. Katanya sejak pulang dari mengerjakan umrah, arwah memang kerap ke masjid.
Tapi yang saya pelik arwah memang suka menyendiri. Ketika awal dahulu saya pernah cuba menegurnya memandangkan dia kariah baru di situ, namun dia seakan mengelak dan tidak mahu berbual. Jadi sejak itu jika saya bertembung dengannya saya hanya tersenyum dan mengangkat tangan sahaja.
“Itu yang peliknya ustaz. Saya pun tak tahu apa masalahnya. Dia memang tak suka bercampur dengan orang. Usahkan dengan orang yang dia tak kenal, kami saudara mara yang selalu buat kenduri kendara pun dia tak pernah datang,” kata Amir perlahan.
Saya tiada jawapan. Mungkin arwah ada sebab tersendiri sehinggakan dia tidak suka bercampur gaul dengan orang lain.
Namun yang menjadi persoalan saya mengapakah tubuh arwah tidak seperti jenazah-jenazah lain yang pernah saya lihat sebelum ini. Adakah berpunca dari kemurkaan Allah SWT? Saya tidak pasti. Hanya Allah SWT sahaja yang ada jawapannya.
Dari sudut baiknya arwah memang tidak lupa menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang hamba Allah, tetapi dalam urusan sesama manusia dia lupa untuk mengimarahkan ‘kawasan’ kejiranan dan orang di sekitarnya.
Rasullullah sendiri pernah berpesan agar berbuat baik kepada jiran tetangga.
Wallahualam.

Daripada Abdillah bin ‘Amar RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Sebaik-baik teman di sisi Allah adalah seseorang yang terbaik terhadap temannya manakala sebaik-baik jiran di sisi Allah adalah seorang yang paling baik dengan jirannya. (Riwayat al-Tirmizi (1944)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN