Longgar syarat, lihatlah sudut positif - Utusan Malaysia

Longgar syarat, lihatlah sudut positif

Jumlah orang Cina dan India yang berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya sekitar lima peratus. – Gambar hiasan/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tindak balas masyarakat terutama orang Melayu kepada kelonggaran syarat gred kepujian pada mata pelajaran Bahasa Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia untuk pengambilan khas konstabel polis, memperlihat rasa terkilan terhadap etnik bukan Melayu yang tidak cekap berbahasa Melayu sedangkan ia bahasa negara ini. Sehubungan itu, ramai menyelar Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana dianggap tidak menghormati bahasa Melayu dan golongan bukan Melayu yang masih tidak berjaya menguasai bahasa kebangsaan dengan baik walaupun sudah sekian lama tinggal di negara ini.

Dari satu segi, memang kelonggaran syarat ini memperlihat beberapa gejala yang tidak sepatutnya berlaku kepada bahasa Melayu. Antaranya sikap acuh tidak acuh dalam kalangan bukan Melayu serta ketidakupayaan sekolah vernakular membekalkan pendidikan bahasa Melayu yang berkesan. Kelonggaran ini juga dipandang sebagai penghinaan kepada bahasa Melayu kerana menjatuhkan martabatnya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Selain itu, soal nasionalisme dan patriotisme turut dibangkitkan kerana sebagai warganegara, seseorang itu harus mempunyai pengetahuan baik dan penguasaan tinggi terhadap bahasa negaranya.

Sebenarnya tidak ada satu pun dalil sah untuk warganegara tidak mengetahui dan menguasai bahasa negara. Jika ada, kerakyatan yang dipegang itu hendaklah dipertikai. Oleh itu, masalah tidak tahu dan fasih berbahasa Melayu ini hendaklah tidak boleh dipandang remeh setelah berlarutan berdekad lamanya. Tidak dapat dinafikan, ia menjejaskan pelbagai ehwal kenegaraan, antaranya identiti nasional dan jati diri kebangsaan.

Dari segi lain, kelonggaran ini hendaklah dilihat sebagai tindakan afirmatif, iaitu dasar kerajaan untuk mempertingkat perwakilan sesuatu etnik dalam bidang yang kurang diwakilinya. Etnik Cina dan India yang berkhidmat dalam PDRM ialah sekitar lima peratus sahaja. Jumlah kecil ini perlu ditambah untuk mewujudkan perimbangan sosial yang lebih baik. Lebih penting daripada ini ialah penguatkuasaan perundangan jenayah memerlukan anggota PDRM yang bukan sahaja boleh berbahasa ibunda, tetapi daripada etnik itu sendiri agar tugas kepolisan dapat dilaksanakan dengan lebih baik apabila membabitkan kegiatan jenayah etnik tertentu.

Sebenarnya, kelonggaran ini bukan perkara baharu dalam perkhidmatan awam di negara ini. Oleh sebab tertentu yang mendesak sifatnya, sebilangan rakyat diambil berkhidmat juga walaupun tanpa mempunyai kelayakan mata pelajaran bahasa Melayu. Mereka ini diberikan tempoh secukupnya untuk memperoleh kelayakan itu dan akan ditamatkan perkhidmatan apabila tidak dapat dipenuhi setelah enam tahun berlalu.

Sudah tentu tindakan afirmatif ini dan lain-lain perlu bersifat sementara. Sehubungan ketidakcekapan bahasa Melayu ini, ia perlu diatasi secara struktur, iaitu ditangani sebab asas yang menyebabkannya untuk penyelesaian jangka panjang. Yang dilakukan dalam kes pengambilan konstabel ini ialah secara situasi, yakni melalui kelonggaran syarat yang hanya baik bagi jangka pendek.

NEPOTISME

Tidak dapat dinafikan, tindakan afirmatif menurunkan piawai dalam erti kata tiadanya meritokrasi, iaitu pemilihan berdasarkan kelayakan. Ini dapat dilihat pada rungutan banyak pihak tentang nepotisme, iaitu pemberian jawatan secara tidak adil tanpa adanya kelayakan asas. Oleh itu, tindakan afirmatif tidak boleh wujud selama-lamanya kerana mereka yang menerimanya akan distereotaipkan secara kekal sebagai lemah dan perlu dibantu. Ini bukan sahaja tidak baik bagi maruah mereka, ia juga akan menjadikan mereka tidak ada keyakinan diri.

Kelonggaran syarat bahasa Melayu ini hendaklah dilihat pertama-tamanya sebagai langkah proaktif untuk mewujudkan akses seimbang kepada peluang pekerjaan bagi melahirkan tenaga kerja PDRM yang lebih mencerminkan kependudukan sebenar negara ini. Ia juga hendaklah dilihat sebagai langkah positif sementara untuk melakukan sesuatu yang patut dilaksanakan bagi mempertingkat kewajipan polis dari segenap segi dan pada setiap masa.

Kes kelonggaran oleh PDRM ini tidak seharusnya dipolitikkan sehingga boleh menyulitkan lagi hubungan etnik kita yang tidak berapa baik semenjak sekian lama. Ia hendaklah dilihat sebagai usaha PDRM untuk ikut memupuk perpaduan dalam kalangan tenaga kerjanya yang rata-rata terdiri daripada etnik Melayu. Inilah juga matlamat utama pengambilan khas ini untuk cuba menarik etnik bukan Melayu, khususnya Cina yang secara umumnya didapati tidak mahu bekerja dalam persekitaran monoetnik Melayu kerana bimbang akan kejutan budaya yang bakal dialami.

Tindakan afirmatif yang wujud di negara ini kesemuanya bersifat positif, walaupun kekadang ia berbentuk khusus kepada hanya satu kelompok tertentu, misalnya etnik Melayu dan bumiputera. Ia dilakukan sedemikian untuk mengatasi masalah kurangnya penglibatan mereka dalam bidang tertentu seperti ekonomi dan pendidikan. Jauh lebih penting ialah ia dapat mempelbagaikan persekitaran etnik sesuai dengan hasrat kita untuk bersatu dalam kepelbagaian.

Dengan ini, ia menganjurkan interaksi dalam kalangan rakyat pelbagai etnik yang boleh kemudiannya mengurangkan dan akhirnya menghapuskan buruk sangka, salah konsep, stereotaip, sikap perkauman dan etnosentrisme antara satu sama lain. Tindakan PDRM ini perlu dialu-alukan kerana ia cuba mengangkat filsafat pada peribahasa, tak kenal maka tak cinta, iaitu kita akan lebih mudah menerima sesuatu itu setelah kita mula mengenalinya, yang merupakan prasyarat penting untuk perpaduan negara.

PROFESOR Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan wMalaysia dan Majlis Profesor Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN