Lompat parti konon ‘demi rakyat’ hanya retorik - Utusan Malaysia

Lompat parti konon ‘demi rakyat’ hanya retorik

Sejarah Melayu mencatatkan sejak zaman pemerintahan kesultanan Melayu sudah wujud perjanjian antara elit politik dan rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam catatan Sejarah Melayu, terdapat satu perjanjian antara Seri Teri Buana dengan Demang Lebar Daun yang disifatkan sebagai piagam pertama berbentuk hukum dan undang-undang dalam sistem pemerintahan antara elit politik dan rakyat. Catatan tersebut menjelaskan tentang nasib dan kedudukan rakyat serta tanggungjawab yang harus dijalankan oleh elit politik terhadap mereka.

Perjanjian tersebut menetapkan, rakyat tidak boleh menentang elit politik. Elit politik pula tidak boleh menghina atau memalukan rakyat. Elit politik berperanan sebagai pihak yang menjalankan hal ehwal pemerintahan negara.

Masyarakat bawahan diarahkan untuk memberikan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada elit politik. Budaya politik sebegini disifatkan sebagai despotik (kuku besi). Despotik merujuk kepada budaya politik yang melihat hal ehwal bersangkut-paut dengan politik, pentadbiran dan pemerintahan adalah tugas yang berpusat di tangan elit politik sahaja.

Budaya politik seperti ini bersifat satu aliran iaitu elit politik memegang segala urusan pentadbiran dan pemerintahan manakala rakyat hanya menerima perintah dan perlindungan tanpa sebarang bantahan atau persoalan.

Kecenderungan itu melahirkan masyarakat yang patuh pada undang-undang. Hal sedemikian tidak semestinya menjadikan sesuatu masyarakat itu beku dan mundur sebaliknya boleh menjadi dinamik. Tetapi apabila pihak atasan gagal atau asyik dengan kesejahteraan diri, maka rakyat jelata tidak akan mendapat galakan untuk maju. Maka tiadalah harapan lagi bagi rakyat jelata.

Rakyat seharusnya sedar dan tahu kepincangan yang berlaku. Sebahagian masyarakat yang tidak sedar akan terus akur, tunduk dan mengagungkan elit politik masing-masing seolah-olah mereka telah menjalankan peranannya dengan sangat telus dan baik.

Rakyat yang dieksploitasi oleh elit politik sentiasa patuh kerana rakyat tidak mempunyai kuasa untuk bangkit melawan ataupun ditipu oleh propaganda sehingga percaya mereka tidak perlu untuk menentang. Rakyat seharusnya sedar dengan eksploitasi elit politik dan patut bersatu untuk memberikan pengajaran politik.

PENINDASAN

Elit politik sering memainkan sentimen perjuangan untuk rakyat sebagai alat memperkukuhkan status quo. Sebaliknya laungan perjuangan untuk rakyat hanya digunakan bagi melakukan penindasan bila mana hak-hak untuk mempertahankan rakyat daripada dinista, dizalimi dan dikhianati seolah-olah terpadam.

Hal ini seolah-olah menjadikan hak rakyat untuk bersuara seperti terkandung dalam Perlembagaan seolah-olah terpadam. Secara tidak langsung, rakyat terpaksa akur dan menerima sahaja percaturan daripada elit politik termasuklah tindakan melompat parti sehingga membawa kepada ketidakstabilan politik negara dan perdebatan dalam kalangan penyokong-penyokong parti politik.

Tindakan melompat parti atas alasan demi kebaikan rakyat tidak dapat diterima apabila tindakan tersebut bukan sahaja menafikan pilihan rakyat bahkan menjejaskan kestabilan sesebuah kerajaan yang memerintah baik di peringkat negeri mahupun Persekutuan.

Selain itu, tindakan melompat parti meskipun dalam gabungan parti yang sama juga tidak sewajarnya diterima. Jika tiada akta khusus dibentuk maka suara rakyat untuk memilih perwakilan akan menjadi sia-sia.

Elit politik akan sentiasa mengambil kesempatan tersebut untuk terus melaksanakan hagemoni dan menanam kesedaran palsunya kepada rakyat. Rakyat tidak sedar bahawa satu kesedaran palsu telah dibentuk oleh elit politik dan rakyat juga telah dihagemonikan dengan kesedaran palsu ini. Lebih mendukacitakan apabila tindakan tersebut dianggap oleh rakyat sebagai corak praktik demokrasi yang sewajarnya berlaku.

DR. Ilyas Abdullah ialah Pensyarah Kanan Sains Politik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang, Kampus Raub.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN