Kesian si cilik tak dapat sekolah - Utusan Malaysia

Kesian si cilik tak dapat sekolah

SITI Nur Puteri Balqis Abdullah (kiri) menunjukkan pakaian seragam sekolah sumbangan orang ramai tetapi tidak boleh ke sekolah kerana dikatakan tidak memiliki dokumen diri yang lengkap.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

USIANYA baru lapan tahun, masih terlalu muda untuk faham isu sebenar yang berakar.

Maka terukirlah raut wajah penuh kebingungan murid tahun dua, Siti Nur Puteri Balqis Abdullah apabila dia gagal mendaftar dan disuruh pulang pada hari pertama sesi persekolahan, 1 Mac lalu.

Kisah Siti Nur Puteri Balqis yang hampa tidak dapat bersekolah sedangkan dia dibenarkan berbuat demikian ketika di tahun satu, tular sekali gus mengundang perhatian banyak pihak selepas didedahkan media baru-baru ini.

Menurut pengurusan sekolah, pendaftarannya ditolak berpunca daripada sijil kelahiran didapati tidak lengkap dan mencurigakan. Jika itu alasannya, adakah sebelum ini pihak sama terlepas pandang?

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pula memaklumkan sijil itu sah. Cuma Siti Nur Puteri Balqis bukan warganegara biarpun lahir di Kelantan dan bapa kandungnya orang tempatan.

“Siti Nur Puteri Balqis dibesarkan saya sejak dia berusia tiga hari. Bapa dia, iaitu abang sulung saya bersama ibu kandungnya, seorang warga Thailand pada mulanya memberitahu mahu pulang ke kampung wanita itu sekejap sahaja.

“Namun mereka berdua terus hilang tidak pulang-pulang,” kata Siti Nur Aimuni Mat Yunan, 29, ibu saudara kanak-kanak itu.

Akibat tiada dokumen sah terutama surat nikah ibu bapa, si kecil itu gagal didaftarkan sebagai warganegara. Sejak itu kata Siti Nur Aimuni, kesulitan demi kesulitan dihadapi apabila usia Siti Nur Puteri Balqis meningkat.

Selepas mengikuti rapat kisah ini, persoalan yang berlegar-legar di benak fikiran saya, punca masalah kanak-kanak ini sebenarnya dalam kategori apa?

Adakah boleh dianggap angkara ibu bapa yang alpa? Atau institusi yang tidak peka? Atau lebih sesuai gara-gara sistem yang gagal dan kerenah birokrasi terlalu tebal?

Hakikatnya, kegagalan seseorang kanak-kanak mendapat taraf warganegara berkait rapat dengan perkahwinan di luar negara yang tidak didaftarkan di Malaysia, selain kecuaian ibu bapa sendiri serta anak tidak sah taraf.

Menurut Ketua Pengarah JPN, Datuk Ruslin Jusoh, sebanyak 33,244 kes daftar lewat sijil kelahiran (DLSK) direkodkan di seluruh negara sejak 2018 hingga Februari lalu.

Di Kelantan, sebanyak 1,667 permohonan kes DLSK diterima JPN sejak 2018 hingga tahun lepas (2020).

Menurut Ruslin, JPN mempunyai 255 buah pejabat di seluruh negara yang sedia membantu golongan pasangan suami isteri yang ‘terlewat’ mendaftarkan anak-anak mereka.

Apa nasib si cilik, Siti Nur Puteri Balqis selepas ini?

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Kelantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN