'Kerana kau aku jadi begini ...'' - Utusan Malaysia

‘Kerana kau aku jadi begini …”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pengalaman menyeramkan ini berlaku kepada seorang rakan yang bekerja sebagai kelindan lori balak di salah sebuah negeri di Pantai Timur. Kisah ini berlaku pada 2012 ketika dia dan rakannya, Safian melalui jalan Muadzam Shah ke Segamat. Begini ceritanya.
Hamid memeriksa susunan kayu balak yang sudah diikat kemas di belakang kenderaannya. Setelah berpuas hati dia memberi isyarat kepada rakannya, Pian supaya bersedia untuk memulakan perjalanan. “Bismillahhirahmanirrahim…” ucap Pian perlahan sambil tangannya menolak gear dan memusing stereng menuju ke arah jalan besar.
Kenderaan yang mereka naiki perlahan-lahan meredah pekat malam. Hamid lihat jam di tangan. Sudah hampir 10 malam.
Memang menjadi rutin mereka bertolak malam kerana jalan raya lengang tanpa kesesakan. Kalau bertolak siang pasti akan menyusahkan pengguna lain.
Perjalanan menuju ke Segamat biasanya mengambil masa lebih kurang lima jam. Maklumlah muatan berat begini memang tidak boleh bawa laju. Perlu sentiasa berhati-hati, lagi pun memandu malam sedikit sebanyak mengehadkan pandangan di hadapan.
Cuaca di luar gelap pekat. Sesekali kelihatan pancaran kilat dan dentuman guruh memecah kesunyian malam. Mungkin petanda hujan sebentar lagi. Hampir dua jam memandu mereka akhirnya melewati sebuah kampung. Dan ketika itulah mereka terlihat ada sebuah kedai makan yang masih beroperasi di seberang jalan.
“Fuhhh… nasib baiklah ada kedai makan yang masih buka. Kalau tidak kena masuk ke pekanlah kita,” katanya mengeliat sambil memicit-micit lengannya.
Suasana ketika itu cukup sunyi. Sekali-sekala kedengaran enjin motosikal lalu lalang di situ. Warung yang mereka singgah pula hanyalah warung kecil yang menggunakan lampu gasolin. Kelihatan seorang lelaki separuh umur sedang sibuk menyusun kerusi seakan ingin menutup warung itu.
“Masih buka lagi ke warung ini bang?” tanya Hamid inginkan kepastian.
“Ha’ah memang nak tutup dah. Tapi tak apalah kasihan pula kamu berdua ini. Nanti kalau nak ke pekan jauh lagi,” jawab lelaki tersebut sambil mempersilakan mereka duduk dan mengambil pesanan.
Setelah pergi ke belakang menghantar pesanan lelaki tersebut datang dan duduk bersama mereka.
“Kamu bawa lori malam-malam ini tak pernah ‘terjumpa’ apa-apa ke? Mesti banyak pengalaman yang kamu berdua sudah lalui kan?” tanyanya sambil mengeluarkan sebatang rokok.
“Eh, tak pernah lagi bang. Alhamdullillah, setakat ini tiada lagi kejadian buruk yang menimpa kami, ” kata Pian sambil menyalakan rokok di bibirnya.
Mereka berborak rancak sambil menikmati hidangan.
“Burbb… Alhamdullillah, terima kasih pak cik kerana sudi tunggu kami,” kata Pian sambil mengusap perutnya kekenyangan.
Ketika membayar harga makanan, lelaki tersebut menasihati mereka agar berhati-hati memandu.
Katanya, jalan Muadzam dan Segamat ini agak ‘keras’ dan banyak kejadian aneh menimpa pemandu terutamanya ketika lewat malam.
Mereka berdua mengangguk sambil mengucapkan terima kasih. Sebaik sahaja melangkah meninggalkan gerai, tiba-tiba hujan lebat. Berlari mereka masuk ke dalam kenderaan.
Cuaca gelap dan hujan lebat menyukarkan pandangan mereka. Sudah beberapa kali mereka terlepas simpang dan akhirnya tersesat untuk mencari jalan keluar. Mereka akhirnya berpatah balik ke gerai tadi untuk mendapatkan bantuan.
Malangnya, sebaik sahaja sampai gerai tersebut sudah tutup. Kenderaan lain pula langsung tidak kelihatan. Pian mengomel sendirian. Sesekali Hamid tertawa melihat telatah rakannya itu.
Sambil memandu mata Pian melilau memerhati di kiri kanan jalan. Tiba-tiba dia terpandang seorang wanita yang sedang berteduh di sebuah perhentian bas seberang jalan. Dia lantas memperlahankan kenderaannya.
“Eh, cuba kau tengok perempuan itu. Apa jadahnya pula malam-malam dia di sini. Orang ke hantu?” kata Pian sambil memuncungkan mulutnya.
Mereka memerhati dengan penuh teliti. Jelas kelihatan seorang wanita berusia lewat 20-an sedang duduk sambil matanya melilau memandang sekeliling. Lagaknya seakan menunggu hujan reda.
“Confirmlah orang tu. Mid, kau pergi tanya dia. Simpang mana nak keluar pergi ke Segamat,” kata Pian.
Sebaik Pian memberhentikan kenderaannya di bahu jalan, Hamid lantas keluar dan menuju ke arah wanita tersebut.
“Kak, tumpang tanya. Kami tersesat tak jumpa jalan keluar. Simpang mana satu untuk pergi ke Segamat ye?” tanya Hamid sambil mengelap air hujan yang bercucuran di dahinya.
Wanita tersebut tidak menjawab. Dia hanya menundukkan muka. Hamid pelik. Dia bertanya lagi, namun tidak diendahkan. Pian yang berada dalam kenderaan mula menyinga. Sangkanya Pian sengaja melengahkan waktu berbual dengan wanita tersebut.
Pian turun dari kenderaannya. Sebaik sahaja dia sampai dan belum pun membuka mulut tiba-tiba wanita tersebut menangis teresak-esak. Mereka berpandangan.
Wanita tersebut mengangkat mukanya ke arah mereka. Ketika itulah jantung Hamid dan Pian seperti disentap keluar dari tubuh. Mereka berdua terlopong. Wajah wanita tersebut cukup menakutkan. Matanya kosong tanpa bebola, mukanya pula dipenuhi luka yang berlumuran darah.
“Kerana kau aku jadi begini… Kerana kau aku jadi begini…” katanya sambil mengilai panjang. Hamid dan Pian menggigil ketakutan. Wanita tersebut mengilai tanpa henti. Akhirnya mereka berdua jatuh pengsan di situ.
Sebaik tersedar, kelihatan beberapa pemuda ada di sisi mereka. Seorang darinya memberikan mereka air untuk membasuh muka. Mereka bertanya tentang apa yang berlaku. Hamid dan Pian lantas menceritakan kejadian menimpa mereka.
Semua yang berada di situ terlopong mendengar cerita mereka. Tiba-tiba salah seorang membuka mulut.
“Apa yang terjadi pada kamu berdua ini bukanlah kejadian pertama,” katanya
Dia menghela nafas panjang sebelum meneruskan kata-kata.
“Sebelum ini ada juga pemandu yang alami kejadian macam kamu berdua ni. Diganggu wanita di perhentian bas ini,” katanya perlahan.
Kata lelaki tersebut apa yang berlaku mungkin ada kaitan dengan kejadian kemalangan jalan raya yang berlaku di kawasan tersebut.
Menurutnya, enam bulan lalu sebuah kereta yang dinaiki seorang wanita bertembung dengan sebuah lori yang membawa muatan balak di situ.
Keretanya remuk teruk. Wanita tersebut meninggal dunia di tempat kejadian. Sejak itulah kawasan tersebut agak ‘keras’.
Seringkali juga pemandu yang melalui kawasan tersebut di waktu malam diganggu pelbagai kejadian aneh.
Setelah keadaan tenang mereka berdua meneruskan perjalanan. Dalam kenderaan mereka lebih banyak mendiamkan diri. Fikiran masing-masing melayang memikirkan peristiwa yang berlaku malam tadi. Memang ia cukup menyeramkan sehingga menghantui mereka sepanjang perjalanan. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN