Kapitalis cekik darah, eksploitasi pekerja - Utusan Malaysia

Kapitalis cekik darah, eksploitasi pekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANYAK yang saya tidak setuju dengan pandangan Karl Marx mengenai sistem ekonomi sosialisme. Tetapi setuju dengan kritikannya terhadap sistem kapitalisme, salah satunya mengenai hubungan antara golongan pekerja (proletariat) dengan kapitalis (majikan) penuh eksploitasi.

Walaupun tidak semua majikan berjiwa kapitalis yang memburu kekayaan dan eksploitasi pekerja, tetapi sebahagian daripadanya sentiasa mencari peluang untuk menindas demi kekayaan. Malah sistem kapitalisme itu sendiri mewujudkan persaingan dalam semua peringkat – pengurusan tertinggi, tinggi, pertengahan dan bawahan.

Malah lebih tragis apabila dalam banyak persaingan itu, hanya kapitalis yang mencapai keuntungan dan golongan pekerja kerap kalah dan mengalah. Hal yang demikian bukan sahaja berlaku zaman Karl Marx malah pada abad-abad selepasnya.

Ekonomi dunia sememangnya dikuasai oleh sistem kapitalisme yang matlamatnya mengaut kekayaan dalam pasaran bebas. Inilah yang mewujudkan persaingan dan perebutan sekali gus eksploitasi. Kapitalis tidak pernah puas dengan kekayaan, maka wujud eksploitasi untuk memastikan kekayaan itu tidak terhenti.

Saya teringat Karl Marx apabila ada kes majikan yang bertaraf konglomerat cuba mengaut untung melalui eksploitasi wabak Covid-19. Ada yang mengurangkan pekerja, memotong gaji dan memerah tenaga dengan beban kerja bertambah dan upah yang kurang.

Inilah kapitalis yang dikatakan oleh Karl Marx. Majikan yang kapitalis mampu membayar gaji Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) lebih RM50 juta setahun. Tetapi tiba-tiba baru setahun Covid-19 terus menjadi ‘miskin.’ Keadaan semasa telah membuka ruang kepada kapitalis untuk mengaut kekayaan.

Bayangkan, gaji CEO sahaja sudah lebih RM50 juta setahun, tentulah saiz empayar perniagaannya hampir seluas Lautan Hindi. Keuntungan tahunan yang diumumkan sebelum ini tidak memungkinkan kapitalis itu boleh muflis, walaupun setahun menutup tidak beroperasi.

Tetapi yang diperagakan ialah seolah-olah setaraf dengan syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) yang cukup-cukup makan sahaja. Inilah licik dan jijiknya majikan berjiwa kapitalis yang digambarkan oleh Karl Marx – pencekik darah.

Memang ada majikan benar-benar tidak mampu untuk membayar gaji pekerja seperti sebelum wabak Covid-19. Kalau tidak distruktur semula jumlah pekerja memang tidak nampak jalan kecuali menutup operasi. Maka dalam keadaan mendesak, tindakan mengurangkan pekerja adalah jalan terakhir yang terpaksa dilakukan. Kita semua faham keadaan yang sedemikian.

Tetapi ada majikan yang berperangai kapitalis mengambil kesempatan daripada keadaan kelam kabut ekonomi ini. Selain mengurangkan pekerja dan memotong gaji, sindrom mampu kerja di pelbagai bidang (multi tasking) juga memberi bala kepada pekerja.

MERUDUM

Ini satu eksploitasi. Tujuannya menggunakan jumlah tenaga manusia yang kecil bagi beban kerja yang banyak. Ini mendatangkan kerugian kepada pekerja, selain tenaga diperah, multi tasking menjadikan pekerja hilang kearifan pada bidang utamanya.

Dalam keadaan biasa, yakni sebelum tercetus wabak Covid-19, memberhentikan pekerja bukan suatu yang mudah. Tetapi dalam keadaan semua orang bercakap tentang ekonomi merudum akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kapitalis pun tumpang semangkuk – buang pekerja, potong gaji, hapuskan kerja lebih masa dan laksanakan multi tasking.

Apabila jumlah pekerja dikurangkan, beban kerja akan ditanggung oleh pekerja yang masih ada. Berganda daripada sebelumnya tanpa bayaran upah yang setimpal. Bayangkan dalam keadaan begitu gaji pula dipotong – kononnya untuk menyambung hayat syarikat.

Maka multi tasking pun dizikirkan sebagai satu normal baharu sistem penghambaan moden sempena kehadiran Covid-19. Dari peringkat atas hingga ketua unit pun berzikirlah, mengulang-ulang perihal multi tasking.

Tetapi kita wajar faham, tidak semua berkaitan multi tasking memberi kesan positif kepada pekerja. Kerana penekanan yang menjurus eksploitasi, pelaksanaan multi tasking menghakis kearifan pekerja dalam bidang utamanya. Pekerja sudah menjadi robot yang boleh membuat semua kerja yang diprogramkan oleh kapitalis.

Berdepan bidang yang sama sekali berbeza dengan kearifan utama akan menghabiskan banyak masa untuk menguasai bidang baharu yang mungkin dua atau tiga sekali gus. Misalnya pekerja yang kemahiran utamanya di bidang pemasaran, tetapi dipaksa menjadi pereka grafik di unit seni reka.

Kedua-dua bidang ini berbeza. Kerja sebagai pegawai pemasaran dan pereka grafik misalnya, memerlukan kearifan berbeza dan dipupuk sekian lama. Kemahiran dalam kedua-dua bidang sekali gus adalah suatu yang mustahil sekalipun mungkin ada yang melakukan.

Menggunakan alasan mutli tasking untuk menghubungkan kedua-dua bidang berkenaan adalah satu eksploitasi dan karut lagi mengarutkan. Ini sebenarnya cara kapitalis membuang pekerja.

Disebabkan tidak tahan dengan beban yang disengajakan, pekerja akan berhenti dengan sukarela. Kapitalis telah menyelamatkan sekian jumlah bayaran pampasan sekiranya memberhentikan pekerja berkenaan.

Ini hanya satu contoh kejelikan para kapitalis yang menjadikan hasil dan keuntungan sebagai matlamat utama. Banyak lagi pendekatan yang lebih hormat dilakukan untuk mewajarkan penindasan dan cekik darah terlepas daripada pandangan birokrat sumber manusia.

Berdentum guruh di langit, kapitalis pencekik darah pun menadahkan dengan tempayan keuntungan daripada kesengsaraan manusia lain. Berpuluh tahun menjalankan perniagaan dan mengaut untung setiap tahun, tiba-tiba boleh bersandiwara akan muflis selepas setahun dilanda Covid-19.

Sandiwara ini mesti difahami oleh birokrat sumber manusia. Mereka mesti menjadi lebih licik daripada kapitalis, manfaatkan segala sumber untuk memastikan majikan yang benar-benar berdepan tekanan kewangan akibat Covid-19. Jangan percaya kapitalis ini bulat-bulat, sesekali kena ingat juga pesanan Karl Marx – kapitalis dan proletariat adalah hubungan yang penuh eksploitasi.

PENULIS ialah Editor Kuseman.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN