Jurnal pemangsa: Ahli akademik tak patut melatah - Utusan Malaysia

Jurnal pemangsa: Ahli akademik tak patut melatah

Masyarakat juga ingin tahu sejauh mana kesedaran ahli-ahli akademik kita dalam menerbitkan hasil penyelidikan dalam jurnal berkualiti. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Baru-baru ini, isu jurnal pemangsa (predatory journal) menjadi topik perbincangan hangat dalam kalangan netizen, khususnya apabila beberapa ahli akademik universiti di Malaysia dikatakan menjadi penyumbang utamanya. Pendedahan itu dibuat oleh dua ahli ekonomi dari Republik Czech, Vít Macháček dan Martin Srholec (2021), melalui analisis mereka terhadap beberapa penerbitan dalam jurnal pemangsa yang diterbitkan oleh Scopus berdasarkan senarai seorang penyelidik bernama Jeffrey Beall (Beall’s list) antara 2015 dan 2017. Sungguhpun penerbitan akademik Malaysia diindekskan oleh Scopus lebih tinggi, mereka mendapati negara ini berada pada kedudukan kelima dari 20 negara paling aktif menjadikan platform jurnal pemangsa sebagai penerbitan ilmiah. Pendedahan ini mencetuskan keresahan, rasa tidak puas hati dan kebimbangan terhadap kualiti ahli akademik di Malaysia, khususnya dalam bidang penerbitan.

Secara peribadi, saya ingin bertanya, apakah memang benar ahli akademik tempatan sengaja menerbitkan hasil penyelidikan dalam jurnal pemangsa ini? Sejauh mana ahli akademik kita benar-benar mahir dengan selok-belok penerbitan dalam jurnal berkualiti? Kita seharusnya sedar, berada dalam dunia digital yang kompleks sekarang turut mendedahkan ahli akademik kepada penipuan platform siber penerbitan jurnal. Lebih memburukkan lagi jika ada ahli akademik yang tidak faham atau gagal mengenal pasti pangkalan data bersesuaian untuk penerbitan jurnal berkualiti. Kecanggihan dunia digital hari ini membolehkan ‘penerbit pemangsa’ atau ‘jurnal pemangsa’ menyamar serta mengklonkan laman web jurnal-jurnal berkualiti melalui penggunaan nama jurnal yang hampir sama. Tanpa disedari tindakan ini menyebabkan ahli akademik sering terperangkap, khususnya mereka yang tidak arif dengan sesuatu pangkalan data jurnal.

BERMAIN

Sebahagian kecil ahli akademik hanya tahu mengkritik dan melontarkan pandangan peribadi tanpa memahami senario dan konteks isu jurnal pemangsa ini. Isu ini bukanlah perkara yang baru dibincangkan, malah ia adalah topik perbincangan sama yang sudah dibahaskan sejak beberapa tahun lalu.

Tindakan membesar-besarkan isu berkaitan jurnal pemangsa ini tidak menyumbang apa-apa kepada peningkatan kualiti ahli akademik. Sebagai seorang yang berintegriti dan memahami perkembangan semasa, ahli akademik tidak sepatutnya melatah atau melompat sembarangan. Malah, amat lebih tidak sesuai jika menuding jari sesama sendiri, semata-mata untuk menunjukkan kebenaran masing-masing.

Apa yang ingin kita ketahui ialah sejauh mana kesedaran ahli akademik dalam menerbitkan hasil penyelidikan dalam jurnal berkualiti. Berapa ramaikah antara mereka yang peka dengan pangkalan data jurnal-jurnal berkualiti? Jika ini pun masih dalam ketidakpastian, ia memberi isyarat mereka sebenarnya masih belum mampu menerbitkan hasil penyelidikan dalam jurnal berimpak tinggi.

Atau mungkinkah ahli akademik bersedia ‘bermain’ dengan jurnal-jurnal berkualiti tanpa mempunyai geran-geran penyelidikan? Ekoran itu, ahli akademik perlu bertanggungjawab dan memastikan setiap artikel tidak diterbitkan di jurnal pemangsa.

Untuk pengetahuan masyarakat, dunia akademia tidaklah seindah dan semudah yang disangka kerana ia sebenarnya turut menuntut pengorbanan masa, wang ringgit dan kebahagiaan peribadi.

Pada masa sama, perkembangan teknologi maklumat terkini dilihat mampu menggugat kesarjanaan seseorang ahli akademik. Hari ini, masyarakat boleh berkata atau mengkritik apa sahaja kerana mereka adalah ‘pelanggan’ kita. Justeru, ahli akademik perlu sentiasa berhati-hati dalam setiap percakapan, penulisan dan perbuatan.

PANGKAT

Kesarjanaan ahli akademik bukanlah bergantung kepada jumlah jurnal yang diterbitkan semata-mata. Malah, ia turut mengambil kira pelbagai aspek lain untuk dipertimbangkan bagi kenaikan pangkat. Walaupun mekanisme berbeza bagi setiap universiti di Malaysia, saya yakin kenaikan pangkat seseorang ahli akademik pasti akan melalui proses penilaian dan tahap kualiti yang sama.

Ada juga dalam kalangan ahli akademik yang mendakwa semua jurnal berbayar itu adalah jurnal pemangsa. Pendapat ini tidak tepat kerana kita perlu faham perbezaan proses jurnal berbayar dan tidak berbayar. Apa tujuan platform jurnal berbayar ini diwujudkan? Sebab itu, suka saya tegaskan, pangkalan data seperti Scopus-Elsevier dan Web of Science-Clarivate Analytics mempunyai piawaian kualiti yang telah ditetapkan. Siapalah kita untuk menafikan piawaian kualiti antarabangsa yang telah dibangunkan sejak sekian lama, malah institusi kita juga menggunakan dan melanggan pangkalan data tersebut. Kita kena sedar, kedua-dua pangkalan data tersebut mempunyai ribuan jurnal berbayar dengan faktor impak tinggi. Malah, pemilihan setiap jurnal untuk diindekskan juga harus melalui proses sangat ketat yang dinilai oleh badan antarabangsa dikenali sebagai Content Selection and Advisory Board (CSAB). Oleh itu, dakwaan mengatakan semua jurnal berbayar adalah tidak berkualiti dan terdiri daripada jurnal pemangsa adalah tidak benar.

Secara kesimpulan, mensensasikan suatu yang kita sendiri tidak mampu capai dan kita sendiri tidak faham tidak akan memberi apa-apa makna. Masih ramai ahli akademik yang berperanan sebagai pendidik dan penyelidik, terus melakukan tanggungjawab dengan dedikasi dan amanah. Apa yang lebih diutamakan adalah kesediaan dan keikhlasan kita sebagai ahli akademia untuk melahirkan masyarakat yang lebih terdidik dan berkualiti.

PROFESOR DATUK DR. ABDUL KHALIL SHAWKATALY ialah Tokoh Anugerah Akademik Negara Ke-13 dan Profesor Teknologi Biosumber di Universiti Sains Malaysia (USM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN