Hilangnya seruan penyatuan Onn - Utusan Malaysia

Hilangnya seruan penyatuan Onn

Akhbar Utusan Melayu berjaya menyatupadukan orang Melayu untuk menentang penubuhan Malayan Union oleh British, 75 tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Marilah kita sama-sama menoleh, menjungkir balik lipatan sejarah yang pernah tercipta, dan kembali mengenal diri serta peribadi. Jarak jauh pada garis masa memutuskan kita dengan titik mula suatu sejarah besar.

Membaca kembali sejarah silam juga boleh mengingatkan supaya perjalanan menuju masa depan tidak terbabas. Ini kerana sejarah adalah iktibar masa lalu dan menjadi petunjuk masa depan.

Saya teringat sebuah rencana Lidah Pengarang akhbar Utusan Melayu, 75 tahun lalu, secara tepatnya 5 Mac 1946. Rencana itu sebagai reaksi sekali gus membentuk laras pemikiran orang Melayu ketika itu terhadap ketetapan yang dibuat dalam Kongres Melayu dari 1 hingga 4 Mac 1946 di Kuala Lumpur.

Ia tentang penyatuan Melayu. Pecahan dalam kalangan Melayu memang menjadi masalah utama sejak dahulu. Setidak-tidaknya pada berlangsungnya kongres ini. Susah rupanya untuk menyatukan Melayu, dan itu juga memudahkan mereka ditunduk dan dijajah.

Syarikat Utusan Melayu dibiayai sepenuhnya oleh orang Melayu, bukan darah keturunan Arab yang berpengaruh di Malaya. Ia ditubuhkan pada 1938. Setahun kemudian mengeluarkan akhbar Melayu pertama, Utusan Melayu. Kongres itu juga salah satu usaha Utusan Melayu menyatukan orang Melayu.

“Marilah kita umat Melayu semuanya menyambutnya dengan sukacita dan menaruh harapan agar wujudnya bukan sahaja berkekalan, tetapi ialah juga berhasilan sebagaimana yang dicita-cita, iaitu menyatupadukan semangat perkauman atau kebangsaan dan kerjasama dalam segala perkara yang berhubung dengan masalah bangsa dan tanah air.

“Sebagaimana yang telah kita terangkan dahulu bahawa kejayaan kongres itu yang terbesar adalah bergantung di tangan umat bangsa Melayu umumnya. Maka sekarang tiap-tiap orang yang berdarah bangsa Melayu walau setitik pun akan teruji dengan maju mundurnya atau hidup matinya, ataupun hasil-hasil yang akan terbit dan pandangan adalah terpulang kepada usaha tenaga semangat persatuan tiap-tiap diri umat bangsa Melayu.” ( petikan Utusan Melayu 5 Mac 1946).

Kata-kata keramat itu diangkat, disusun dan ditiupkan semangatnya supaya orang Melayu bersatu. Maka eloklah kita menghayati semula suara Utusan Melayu yang mengalu-alukan kelahiran sebuah parti Melayu. Harapannya supaya parti itu menjadi alat menyatukan Melayu.

Malah elok juga difahami bahawa yang ditekankan dalam kongres dipengerusikan oleh Datuk Onn Jaafar dan Utusan Melayu adalah sebuah pemikiran politik Melayu. Ini bukan politik kepartian.

Maka penyatuan orang Melayu dalam persatuan-persatuan Melayu adalah kata kunci kekuatan untuk berdepan penjajah dan cabaran zaman seterusnya.

Ketika menjadi satu-satunya wadah membentuk pemikiran rakyat, Utusan Melayu berperanan menyampaikan citra kebersatuan kepada sekalian orang Melayu di Malaya. Usaha ini berjaya, orang Melayu bersatu dan hasil terbesar tentulah mematahkan percubaan British mewujudkan Malayan Union.

LIDAH PENGARANG

Maka yang ditegaskan dalam Lidah Pengarang Utusan Melayu ialah kebersatuan orang Melayu – tidak kira bawah pertubuhan atau parti politik yang mana selepas itu. Perkara penting ialah Melayu mesti bersatu walaupun bawah parti politik Melayu yang berbagai-bagai.

Zaman itu sama-sama menikmati susah. Tumpuan utama adalah untuk menuntut kemerdekaan. Walaupun Melayu anglophile memperkecil dan memperendah kemampuan yang sebangsa dengannya, akhirnya Malaya memperoleh kemerdekaan. Tetapi ayahanda-ayahanda kita dalam pelbagai persatuan Melayu terus berjuang dengan agenda utama menyatukan orang Melayu.

Ketika itu, menyertai pergerakan politik bukan untuk mengaut kekayaan tetapi merebut peluang untuk berjuang. Maka benar sangatlah kata pepatah Melayu, hati kuman sama dicicah, kalau ada hati gajah bolehlah sama-sama melapah. Hakikatnya, hati kuman sahaja yang ada.

Minta maaf banyak-banyaklah kerana menjungkir balik peristiwa lama perihal Lidah Pengarang Utusan Melayu dan kongres yang bertujuan menyatukan orang Melayu. Perkara ini mungkin sudah tidak relevan lagi dalam keadaan pemimpin Melayu bukan sahaja kenal politik tetapi mengambil manfaat daripadanya.

Pemikiran ayahanda-ayahanda kita dahulu itu mungkin sangat ‘kolot’ berbanding pemikiran pemain-pemain Melayu hari ini yang ‘hebat-hebat’ belaka. Tetapi tidak salah dijadikan renungan tentang sebutir dua pemikiran besar yang mereka wariskan mengenai bangsa.

Memang benar pejuang dan pemikir bangsa dahulu tidak kaya raya seperti pemain politik hari ini. Mereka tidak pandai membuat kekayaan untuk diri sendiri, tidak tahu dalam politik ada lombong emas.

Itu cerita dulu-dulu. Kisah lama 75 tahun dahulu. Sudah lama sangat hingga terputus dengan generasi kepimpinan politik Melayu zaman ini. Ketika itu banyak yang menolak untuk diangkat sebagai pemimpin waima bukan jawatan yang tinggi-tinggi. Mereka tahu bahawa menjadi pemimpin adalah memikul tanggungjawab.

Ini juga cerita dulu-dulu, ketika pemimpin politik Melayu tidak kenal erti tender, projek, cuci duit untuk menjadikan mereka kaya raya selama tujuh keturunan. Mereka hanya tahu capal yang senget tumitnya belum berganti.

Tetapi kemiskinan harta benda bukanlah miskin keberanian dan kesanggupan untuk bersatu melawan penjajah. Pertubuhan-pertubuhan Melayu kiri dan kanan berganding bahu meruntuhkan Malayan Union. Teladan ini tentunya tidak dibaca lagi oleh sesetengah pemain politik Melayu kini kerana penjajah sudah tidak ada lagi. Lalu musuh mereka adalah sesama Melayu.

Hari ini jangan kata melawan penjajah, hendak membuang ‘kepala ikan’ yang busuk pun tidak berani. Sudah wujud ketakutan melampau dalam kalangan orang Melayu kepada ketua yang terbabas landasan. Tetapi kerap pula menyalah guna nama akar umbi ketika membuat keputusan yang memberikan keuntungan peribadi.

Maka 75 tahun kemudian, seruan penyatuan Melayu oleh Datuk Onn sudah ditelan zaman. Tanpa rasa bersalah, sesetengah pemain politik Melayu meruntuhkan kebersatuan yang mulai bertunas. Kepentingan peribadi menjadi lebih penting daripada penyatuan Melayu.

Cuma ungkapan ‘demi agama, bangsa dan negara’ yang terus meniti di bibir. Tetapi malang ungkapan itu telah basi dengan sendirinya apabila tidak dimaknakan dengan tindakan.

PENULIS ialah Editor Kuseman.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN