Hayatilah Rukun Negara, kita tiada pilihan - Utusan Malaysia

Hayatilah Rukun Negara, kita tiada pilihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Rukun Negara yang merupakan falsafah hidup rakyat diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin.

Perdana Menteri, Tun Abdul Razak pada saat itu mengetuai Majlis Perundingan Nasional (NCC), iaitu sebuah badan yang bertanggungjawab menggubal Rukun Negara menegaskan, rahsia kejayaan Rukun Negara ialah pada keupayaan rakyat Malaysia menterjemahkannya dalam kehidupan seharian dengan penuh rasa jujur dan ikhlas.

Rukun Negara diperkenalkan berikutan peristiwa hitam 13 Mei 1969. Detik hitam yang secara tidak langsung merupakan satu manifestasi kerapuhanperpaduan antara kaum.

Perpaduan kaum merupakan aset utama negara dan menjadi prasyarat utama kerajaan British untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu pada 1957. Rukun Negara dibentuk dengan tujuan yang sangat harmoni. Prinsip-prinsip yang terkandung di dalamnya jelas merupakan kunci kepada keharmonian dan perpaduan kaum.

Bagaimanapun, selepas 63 tahun merdeka, Rukun Negara masih dilihat gagal untuk menjadi wahana perpaduan membentuk negara bangsa yang penuh dengan nilai kemesraan.

Dalam hal ini, kita perlu memahami keupayaan untuk menterjemahkannya dalam kehidupan setiap warganegara yang sememangnya perlu datang daripada kemahuan dan komitmen semua kaum.

Kefahaman jitu tentang kelima-lima prinsip yang mendasari Rukun Negara adalah perkara asas yang diperlukan demi memastikan prinsip atau rukun tersebut berjaya diterjemahkan dalam kehidupan setiap individu.

Seumpama kaki meja yang tugasnya menampung meja, begitu jugalah Rukun Negara yang berperanan memastikan kehidupan rakyat berada dalam keadaan aman dan sejahtera.

Andainya mana-mana kaki pada meja tersebut bermasalah, maka keadaan secara keseluruhan juga terancam.

Dengan kata mudah, lemah atau kuat, aman atau damai kehidupan dalam aspek perpaduan, semuanya bergantung kepada keupayaan mengamalkan setiap prinsip yang ada padanya.

Kegagalan untuk mengamalkannya dalam kehidupan seharian menjadikan Rukun Negara hanya tinggal sekadar dokumen ideologi kebangsaan. Rakyat seupama mereka yang kehilangan roh patriotik.

Rukun Negara bukan sekadar perlu diketahui tetapi lebih daripada itu, iaitu untuk diperah keluar nilai yang ada di dalamnya dan dicernakan dalam kehidupan seharian.

CINTA dan KASIH

Sejauh mana cinta dan kasih seorang warganegara terhadap tanah airnya bergantung kepada keupayaan mereka memastikan prinsip Rukun Negara berjaya dilaksanakan dengan terbaik.

Agama melalui prinsip Kepercayaan Kepada Tuhan menjadi asas utama dalam kehidupan rakyat. Inilah pasak utama yang seharusnya menjadi teras dalam kehidupan rakyat yang hampir kesemuannya memiliki agama. Agama mampu memberi panduan untuk menjadi seorang warganegara yang baik.

Melalui ajaran agama, aspek spiritual seseorang berjaya dihidupkan. Tidak kira apa agama dianuti, yang pasti ia menjurus kepada melakukan kebaikan dan menjauhi keburukan.

Dalam prinsip kedua, iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, dan ketiga, Keluhuran Perlembagaan, kelihatan seolah-olah prinsip ini sering kali dicabar.

Sebagai contoh, Perkara 153 adalah jaminan kedudukan istimewa orang Melayu dan anak-anak negeri, iaitu pribumi Sabah dan Sarawak, juga kepentingan sah kaum lain mula dipersoalkan sehingga membawa kepada peristiwa ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD).

Begitu juga Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahasa rasmi dalam urusan kerajaan ialah bahasa Melayu, tidak boleh bahasa lain. Namun, terdapat golongan mencabar perkara ini dengan menggunakan bahasa ibunda mereka, contohnya Mandarin.

HARAPAN BESAR

Kedua-dua prinsip tersebut masih belum berjaya diterjemahkan dengan baik. Justeru, menjadi harapan besar kepada semua kaum, andainya keamanan, kesejahteraan dan kedamaian menjadi perkara utama yang diinginkan, maka mereka tiada pilihan melainkan mengamalkannya dengan penuh kejujuran.

Namun, andainya kemahuan dan kepentingan sendiri atau golongan tertentu menjadi keutamaan, di sinilah punca kepada masalah dalam perpaduan kaum di Malaysia.

Untuk prinsip keempat, iaitu Kedaulatan Undang-Undang dan kelima, Kesopanan dan Kesusilaan, kedua-dua prinsip ini dilihat masih lagi menjadi amalan rakyat Malaysia meskipun penambahbaikan amatlah diperlukan. Sesungguhnya kesopanan dan kesusilaan sesuatu bangsa itu dapat dizahirkan dalam seluruh aspek kehidupan sosial mereka. Andainya kita masih lagi berdepan kes kemalangan jalan raya yang tidak pernah berkurangan, hal ini menunjukkan adab rakyat Malaysia sebagai pengguna jalan raya masih lagi perlu diperbaiki.

Sebagai rakyat yang inginkan kesejahteraan, keamanan dan kedamaian terus dapat dilestarikan mengenangkan Malaysia-lah satu-satunya tanah, bumi bertuah yang di atasnya kehidupan perlu dijalankan demi membina sebuah ketamadunan. Inilah rukun atau tiang yang perlu dipastikan berdirinya dengan tegak dan kukuh.

Andainya runtuh satu tiang, maka tempanglah keadaan. Sama juga andainya rukun lain berjaya diamalkan, namun ada rukun-rukun yang cuba dicabar, di sinilah bermula konflik sebenar.

Justeru, rakyat tiada pilihan lain melainkan perlu menghayati dan menterjemahkannya secara menyeluruh dengan penuh keikhlasan dan hati terbuka.

Bermula dengan apa yang terkandung dalam ajaran agama yang dipegang hinggalah kepada keindahan atau seni kehidupan melalui kesopanan dan kesusilaan, dan akhlak yang dizahirkan, sebagaimana terkandung dalam Rukun Negara kerana inilah falsafah hidup yang menjadi acuan dalam mencorakkan kehidupan rakyat pelbagai kaum ini.

PENULIS ialah Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN