Perpaduan antara kaum adalah sumber kekuatan utama negara ini. Ia menjadi tiang seri kejayaan yang kita lakar secara bersama sejak merdeka. Namun, perpaduan yang ada itu sering ditafsir sebagai terlalu subjektif, malah dilabel juga umpama senipis kulit bawang. Ini kerana terlalu banyak insiden dan peristiwa yang berlaku selama ini dilihat mula menggoncang jambatan perpaduan yang dibina atas dasar dan nilai pengorbanan serta tolak ansur generasi terdahulu. Justeru, usaha dan inisiatif untuk memperkukuh dan memperbaharui ikrar perpaduan nasional dalam kalangan rakyat perlu terus dilipat gandakan dan wajar menjadi proses berterusan.
Dalam konteks ini, kita menyokong penuh pelancaran Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.
Dasar dan rangka tindakan jangka panjang ini dilihat sangat signifikan dalam membolehkan kita melakar acuan baharu untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang agama dan bangsa. Hal ini kerana sudah tentu kita perlu menilai semula konsep perpaduan yang kita bentuk pada ketika negara menuntut dan mencapai kemerdekaan berbanding konsep perpaduan yang perlu ada pada hari ini setelah 64 tahun kita merdeka, di samping 10 atau 20 tahun akan datang.
Ironinya, pada hari ini kita sedang berhadapan dengan generasi pasca merdeka yang tidak terlibat secara langsung dalam detik kemerdekaan negara. Mereka ini lahir setelah negara merdeka dan hanya membaca dalam buku sejarah tentang bagaimana terbentuknya masyarakat majmuk di negara ini. Justeru, generasi ini perlu diberi pendedahan sewajarnya di samping diletakkan tanggungjawab untuk terus memelihara dan memacu perpaduan nasional yang kita ada. Ringkasnya, generasi hari ini perlu sedar keperluan untuk mereka memperbaharui ikrar perpaduan yang telah dimeterai oleh generasi sebelum mereka. Untuk itu, sudah semestinya kita memerlukan pembentukan formula baharu bagi melakar naratif perpaduan yang kita mahu bentuk dan wujudkan untuk masa depan rakyat dan negara yang dicintai ini.
Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 yang dilancarkan menetapkan aspirasi perpaduan yang ingin dicapai dalam tempoh 10 tahun akan datang. Tiga objektif utama yang memayungi dasar dan rangka tindakan ini ialah mengukuhkan perpaduan dan integriti nasional berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, membentuk identiti nasional dengan semangat jati diri, patriotik, prihatin, toleransi, saling menghormati dan bertanggung jawab. Satu lagi objektif, melahirkan rakyat yang menghargai dan mengamalkan perpaduan.
Secara prinsipnya, apa yang terkandung dalam dasar dan rangka tindakan ini dilihat cukup komprehensif. Namun, perkara yang perlu diberi perhatian ialah sejauh mana semua pelan tindakan yang ditetapkan ini dapat dilaksanakan dan bagaimana pula dengan penglibatan, peranan serta penerimaan anggota masyarakat dalam bersama-sama menjayakan misi nasional ini?
TERCICIR
Harus diingat, aspek perpaduan melibatkan seluruh rakyat yang terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa serta peringkat umur. Dalam hal ini, kita perlu memastikan agar dasar ini boleh membantu mengintegrasikan semangat dan sentimen perpaduan generasi lama dengan cita rasa generasi hari ini dan masa hadapan. Jika ini dapat dilakukan, kita boleh memperbaharui ikrar perpaduan dalam kalangan rakyat secara menyeluruh.
Oleh itu, jika kita mahu memperkukuhkan perpaduan nasional, ia mesti membabitkan semua kelompok tersebut. Ini bermaksud kita tidak boleh fokus kepada satu kelompok sahaja dan paling penting, tidak boleh ada yang ketinggalan atau tercicir. Misalnya, pastikan dasar dan objektif yang ditetapkan sampai kepada semua kelompok anggota masyarakat secara menyeluruh. Pada hakikatnya, 10 tahun bukanlah suatu tempoh masa yang panjang. Oleh itu, semua agensi kerajaan yang terlibat dalam menjayakan dasar dan rangka tindakan ini perlu terus bertindak dengan segera secara proaktif.
Langkah pertama, pastikan isi kandungan dasar ini sampai kepada semua golongan sasar secara lancar dan jelas. Sesi penerangan perlu lebih agresif dan menggunakan segala platform yang ada seperti sesi pertemuan secara bersemuka atau dalam talian, menggunakan media cetak dan elektronik serta media sosial. Kempen dan sesi penerangan ini perlu kerap, berterusan dan meluas.
Seterusnya laksanakan segera semua pelan tindakan yang telah dirancang. Pastikan ia mempunyai sasaran realistik dan boleh dicapai serta boleh diukur dalam tempoh 10 tahun yang ditetapkan.
Pelan tindakan perlu lebih berfokus dan mampu menutup segala kelemahan dan defisit perpaduan yang kita ada sekarang. Sudah tentu pada akhirnya, apa yang hendak dicapai ialah mewujudkan ekosistem perpaduan yang lebih berdaya tahan dan mampu memupuk semangat cintakan negara secara berterusan dalam diri setiap rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan umur.
Hakikatnya, kita perlu akui tahap perpaduan nasional yang ada pada hari ini agak mencemaskan. Sedikit sahaja provokasi sudah mula mencetuskan ketegangan antara kaum. Gejala ini sudah semestinya tidak sihat bagi sebuah masyarakat majmuk seperti kita. Justeru, sudah tiba masanya untuk setiap warganegara memperbaharui semula semangat dan nilai perpaduan yang ada dalam diri kita demi memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang kukuh teras perpaduannya.
PENULIS ialah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa.










