Dieksploitasi sebagai king maker - Utusan Malaysia

Dieksploitasi sebagai king maker

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hendak mencari pemimpin berkualiti bukan seperti memilih budu. Kalau tersalah pilih budu, boleh campak sahaja dalam bakul sampah. Tetapi kalau salah memilih pemimpin – dapat hampas, di mana pula mahu dicampaknya?

Paling tidak pun menunggu lima tahun untuk campak ke luar. Itu pun belum tentu kerana pemain politik ini sekali bertenggek terus berakar. Tidak semudah menukar tayar basikal kerana sekali bertenggek, pandailah mereka ‘buat duit’ untuk perkukuhkan akar.

Sekali silap, kesannya akan bawa rakyat merana tujuh keturunan. Ini lebih teruk daripada terlajak perahu yang boleh diundur, tergopoh memangkah dan termakan ‘gula-gula’ semasa memilih, kesannya panjang. Sesetengah pemain politik menjadikan kempen pilihan raya tidak ubah pasar menjual ‘gula-gula’ dan ‘belon’ atau janji kosong.

Pengundi dewasa yang arif tipu dengan muslihat sesetengah pemain politik musim pilihan raya pun terkena dengan ‘gula-gula’ dan janji kosong, inikan pula remaja yang baru lepas sekolah. Tidak dinafikan ada yang pintar dalam akademik tetapi tidak semua matang menilai kehidupan.

Usul menurunkan usia pengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun satu manipulasi terhormat dan licik. Hanya pihak tertentu yang akan menangguk keuntungan, selebihnya sekadar tunggangan untuk mencapai matlamat politik.

Oleh sebab itu, kearifan dan ketajaman pemikiran pengundi menjadi faktor petunjuk pada pemimpin yang dipilih. Misalnya kalau pengundi kluster ekzos bunyi bising, atau pengagum seks bebas, pemimpin yang dipilih tentulah mempunyai ciri-ciri yang sedemikian. Pengundi jenis ini tidak akan memilih pemimpin yang bertentangan dengan kehendak mereka.

Ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir kerajaan, mereka mengusulkan had umur pengundi diturunkan pada 18 tahun. Hujah mereka, ini meluaskan hak demokrasi kepada golongan remaja. Seolah-olah makna demokrasi hanya hak mengundi.

PH melihat dan yakin remaja boleh dieksploitasi sebagai king maker atau faktor penentu dalam pilihan raya. Ini terbukti secara konsisten sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada 2008 hingga PRU-14 pada 2018. Kecenderungan remaja atau pengundi muda mengambil bahagian dalam pilihan raya dilihat boleh memberikan keuntungan politik.

Usul PH ini tidak mengambil kira kualiti pengundi muda yang menjadi faktor penentu pemimpin yang dipilih. Usul ini tidak lebih untuk memastikan kejayaan membentuk kerajaan, sekalipun selepas itu akan penuh dengan pemimpin hampas dan sampah.

Golongan remaja khususnya yang berusia 18 tahun dan ke atas paling mudah termakan pujukan. Walaupun hebat dalam akademik tetapi mentah dalam seni kehidupan. Apabila ada pemimpin yang menjaja kebebasan dan kemewahan material dalam manifesto, mereka yang paling awal masuk dalam bubu.

Dua perkara yang kerap dijadikan ‘gula-gula’ untuk memancing golongan pengundi muda – pertama kebebasan sosial tanpa batas dan kedua, meniup semangat anti establishment. Mereka diasuh oleh pemain politik melihat semua perkara yang di depan mata dengan marah dan serba tidak kena.

Pada usia begini, mereka mudah tersihir dengan mentera anarkis yang menyeru kebangkitan dengan penuh marah terhadap establishment. Malah, perasan seolah-olah angry young men dalam gerakan kesusasteraan yang dimulai dramawan John Osbone dalam naskhah Look Back In Anger (1956).

Sebenarnya tidak secebis pun bertepatan dengan angry young men yang tercetus selepas Look Back in Anger. Sebesar jari kelingking pun tidak. Gerakan orang muda dalam kelas buruh dan pertengahan zaman John Osbone bermatlamat, tetapi marah-marah pengundi muda kita hanya kerana terasuk mentera anarkis.

Kalau begini rupa peribadi dan pemikiran pengundi muda, apakah kita masih lagi mengharapkan hasil yang dipilih memenuhi kriteria pemimpin berkualiti untuk kepentingan rakyat? Jangan mimpilah. Yang terapung daripada pengundi begini tidak lain pemimpin yang tunasusila, anarkis yang mengajak rakyat ke jalan raya, dan perjuang hak kebebasan yang tidak bersempadan.

Matlamat pilihan raya ialah memilih pemimpin yang terbaik daripada pelbagai sudut. Akhlak, pemikiran dan laras perjuangan yang selari dengan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Pilihan raya bukan sekadar memenuhi hak rakyat sebagai pengundi, tetapi rupa wajah hasil yang dipilih.

Malah, usia pengundi bukan menjadi masalah dalam dunia politik kita. Masalah kita ialah banyak pemain politik yang rosak akhlak. Mereka menjadi penyonglap dan pemangkin kerosakan moral dan sosial. Selebihnya pemimpin yang mahu menulis semula Perlembagaan Persekutuan untuk kepentingan kaum sendiri.

Sepatutnya PH mengusulkan usia minimum pengundi dinaikkan daripada 21 tahun pada 25 tahun. Usul pengundi 18 tahun suatu yang mengarut dalam realiti semasa, sebahagian daripada kelompok tidak matang berfikir tentang hidup, jauh sekali memahami pemikiran politik. Sebahagian besarnya sekadar pencacai parti di media sosial.

Jangan hendak disamakan dengan remaja 18 tahun zaman sebelum dan pasca merdeka. Jangan samakan dengan nasionalis Rosli Dhobi berusia 17 tahun pada 1950 tetapi sudah berkorban demi negara apabila membunuh pegawai penjajah di Sarawak. Sebahagian besar remaja sekarang tidak mencapai pun tahap kelingking Rosli Dhobi.

Remaja dulu jauh lebih matang dalam kearifan hidup berbanding usia.

Mereka dimatangkan oleh persekitaran yang penuh cabaran. Ilmu dan seni kehidupan diturunkan oleh generasi dewasa. Sebab itu tidak hairan remaja dulu berkahwin dan membina keluarga pada usia yang muda, malah bawah 18 tahun.

Kemandirian hidup remaja sekarang sangat rendah. Sebahagian besar menjadi pencandu budaya popular. Inilah khalayak terbanyak program-program sengal di televisyen yang mencatat penarafan (rating) tertinggi. Kalau pemikiran mereka sekitar hedonisme, janganlah mengharapkan mereka menjadi pemilih pemimpin yang baik untuk negara.

 

PENULIS ialah Editor Kuseman.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN