Dana politik vs rasuah - Utusan Malaysia

Dana politik vs rasuah

Pada Pilihan Raya Singapura 2011, calon dari Parti Perpaduan Nasional (NSP) meminta derma melalui media sosial dengan menyediakan akaun bank peribadi. – Gambar hiasan/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apabila kelmarin Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki mengingatkan keperluan diperpecatkan pelaksanaan undang-undang membenarkan pembiayaan dana politik, saya percaya kepada satu hal ini – iaitu jalan terbaik untuk SPRM memantau secara telus dan terperinci penyalurannya.

Hakikatnya, politik tetap memerlukan dana. Kata-kata Tun Dr. Mahathir Mohamad masih tergiang-giang di telinga saya. Semasa mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Kuala Lumpur, lima bulan selepas Barisan Nasional tumbang 9 Mei 2018, kata Perdana Menteri ketujuh itu: “Parti politik memerlukan duit. Beli nasi lemak pun perlukan duit.”

Selami coretan berikut:

1. Budaya meminta
Bukan setakat ketua bahagian/cabang sahaja yang perlukan duit dan kontrak untuk mengekalkan survival politik, menteri pun serupa.

Mesyuarat demi mesyuarat, ucapan demi ucapan mesti disempurnakan. Orang kawasan mesti dijaga. Penyokong tidak boleh dihampa. Majlis-majlis kenduri kahwin dan upacara rasmi perlu dihadiri sebagai wakil rakyat. Kalau ke kenduri kahwin, hadiah atau sampul daripada menteri atau ketua bahagian menjadi perhatian tuan rumah.

Tuntutan parti mesti disempurnakan. Sampul-sampul surat yang disampaikan mengandungi permintaan – biasanya peruntukan pelbagai jenis kehendak dan projek. Budaya meminta-minta masih tebal. Derma perlu diisi. Orang datang ke pejabat, ke rumah malah semasa main golf pun ada ‘kutu’ yang berkehendakkan sesuatu.

2. Dunia pembangkang berbeza
Dunia pembangkang bukan mudah di Malaysia. Ramai yang tak tahan, lalu berpatah balik termasuklah lompat parti.
Ada yang bergolok-gadai untuk survive melalui gadaian dan jualan aset seperti tanah, kereta dan saham. Himpitan cukai pendapatan, fasiliti perbankan yang ditarik balik, cukai hartanah yang tiba-

tiba ditaksir semula, pelanggan korporat yang tiba-tiba menarik diri atau enggan menempah firma guaman bekas wakil rakyat – ini semua sedia mendatang tanpa henti.
Menjadi pembangkang dalam era Malaysia Baharu, jika jiwa tidak teguh, lekas alami patah hati. Peruntukan daripada kerajaan kepada ahli Parlimen pembangkang ada kala tidak setimpal untuk menjaga pusat khidmat dan menyedia bantuan kecil kepada rakyat di kawasan.

3. Majlis makan malam?
Inisiatif menganjurkan majlis makan malam bagi mengutip dana parti biasa dilakukan oleh Pakatan Rakyat dan PH semasa menjadi pembangkang.

Pernah ada sebuah syarikat hendak menderma RM100 juta kepada Tabung Harapan tapi ditolak. Sepatutnya didedahkan penderma yang menyumbang dengan jumlah banyak demi ketelusan supaya tiada rasa curiga mengenai tujuan sumbangan.

4. Akta Kesalahan Pilihan Raya terhad
Akta Kesalahan Pilihan Raya (1954) hanya menggariskan had jumlah perbelanjaan semasa pilihan raya iaitu masing-masing sebanyak RM100,000 dan RM200,000 bagi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen. Akta itu langsung tidak menyentuh had perbelanjaan atau sumbangan yang boleh diterima parti politik.

Beberapa negara serantau sebenarnya sudah menaikkan had perbelanjaan berkempen calon ketika pilihan raya di negara masing-masing sejak 2011 lagi. Di Singapura, sejak 2011, calon hanya boleh membelanjakan S$3.50 (RM10.15) bagi setiap pengundi dalam kawasan Parlimen ditandingi.

Di India, mulai Februari 2011, kerajaan Pusat menaikkan had belanja kempen, iaitu Rs4 juta (RM246,605) untuk kerusi Parlimen berbanding Rs2.5 juta (RM154,085) sebelum itu.

5. Pemilihan Presiden AS termahal di dunia
Anggaran jumlah wang yang telah dibelanjakan oleh calon dan parti menjangkau sehingga AS$5 bilion dan AS$10 bilion. Ini membuatkan pilihan raya Amerika Syarikat (AS) termahal dalam sejarah dunia. Kos perbelanjaan yang agak melampau ini banyak digunakan untuk menyiarkan iklan kempen dalam media televisyen, radio dan akhbar.

Tetapi tidak memeranjatkan kerana kebanyakan calon terutama sekali daripada parti Demokrat dan Republikan dikatakan mampu meraih dana berkempen yang lumayan. Antaranya sumbangan lebih AS$1 bilion.

6. derma guna FB dibenarkan
Singapura mempunyai perundangan mengawal selia derma yang diterima oleh parti politik sejak 2001 lagi. Antara matlamat utama Akta Derma Politik Singapura ialah untuk mencegah warga asing mencampuri perjalanan politik Singapura melalui pengaruh dana yang didermakan kepada parti politik.

Akta tersebut bukan sahaja bertujuan mengekang campur tangan warga asing tetapi juga berniat mengehadkan pengaruh wang yang dihulurkan individu atau institusi Singapura. Had sumbangan S$5,000 sahaja untuk setiap tahun laporan.

Pada Pilihan Raya 2011, calon dari Parti Perpaduan Nasional (NSP) meminta derma melalui media sosial dengan menyediakan akaun bank peribadi. Ia tidak menyalahi perundangan Singapura.

7. Model Jerman terbaik
Jerman disebut-sebut antara model yang parti-parti politik negara itu dibiayai kerajaan.

Tapi perundangan Jerman tidak membezakan sama ada parti politik dari pihak kerajaan atau pembangkang kerana semua layak menerimanya. Opss! boleh diterima parti pemerintah kah?

Tidak syak lagi Malaysia memerlukan segera satu bentuk perundangan untuk mengawal selia pembiayaan parti politik.

Ini bukan sahaja untuk mengekang fenomena rasuah dan campur tangan asing tetapi juga untuk berlaku adil kepada semua parti politik sama ada besar atau kecil.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN