Cabaran setahun pentadbiran Johor - Utusan Malaysia

Cabaran setahun pentadbiran Johor

Hasni Mohammad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPERTIMANA Perak, Melaka dan Kedah yang berlaku peralihan pentadbiran tanpa pilihan raya, Johor tidak terlepas dengan situasi sama menyaksikan Datuk Ir. Hasni Mohammad dilantik Menteri Besar Johor ke-18.

Selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu mengangkat sumpah pada 28 Februari 2020, giliran 10 ADUN lagi berbuat demikian lima hari kemudian sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Kini, kerajaan negeri hasil campuran beberapa parti di bawah Perikatan Nasional (PN) sudah melepasi usia satu tahun yang sudah tentu berdepan pelbagai cabaran apatah lagi berdepan penularan Covid-19.

Meskipun perubahan kerajaan di celah-celah suasana politik yang tidak stabil, ditambah ancaman Covid-19, ramai melihat hubungan sesama parti di bawah PN Johor lebih tenang, matang dan cekap mentadbir.

Lebih unik dan mesra pembangkang apabila Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Suhaizan Kaiat dikekalkan sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) sejak Pakatan Harapan (PH) memerintah Mei 2018.

Untuk bangkit daripada kesan Covid-19 bukan mudah, namun dengan tibanya bekalan vaksin di Malaysia minggu lalu, ia umpama memberi sinar untuk dijadikan titik permulaan memulihkan semula negara termasuk Johor.

Belanjawan Johor 2021 yang dibentangkan November lalu pun menggariskan ikhtiar bagi menghadapi fasa pemulihan ekonomi susulan Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor 2020 yang diluluskan pada September.

Tujuh Ikhtiar Makmur Johor yang diumumkan pada Jun tahun lalu juga menjadi panduan merancak dan memulihkan semula ekonomi pasca Covid-19 supaya lebih berdaya tahan.

TOK KETUA

Belanjawan bertema Berdaya Tahan Demi Kemakmuran merangkumi tiga asas utama iaitu inisiatif meningkatkan kesejahteraan rakyat, memulihkan ekonomi dan membina daya tahan fiskal serta ekonomi negeri.

Selain itu, berkuat kuasa tahun ini, jumlah peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang dinaikkan tiga kali ganda kepada RM150,000.

Namun, ngam-ngam setahun pentadbiran diketuai UMNO itu, timbul cerita tidak sedap didengar, iaitu ketidakpuasan hati beberapa pihak mengenai pelantikan ketua-ketua kampung yang didakwa dimonopoli satu pihak.

Mereka mendakwa tok-tok ketua yang menjalani saringan dan temu duga sehingga diberi surat lantikan kebetulan orang parti-parti tertentu.

Bagaimanapun, mengikut semakan, proses permohonan dilakukan secara terbuka melalui borang dikeluarkan kerajaan negeri di semua pejabat daerah. Kemudian, proses temu duga dilakukan oleh pejabat daerah melibatkan semua penghulu mukim.

Setelah selesai temu duga dan pemarkahan, pejabat daerah mencadangkan nama-nama calon yang layak kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri untuk dibawa dan diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK).

Apabila senarai nama itu dipersetujui MMK, barulah mereka ditawarkan jawatan ketua kampung seterusnya mengangkat sumpah.

Semoga isu tersebut juga tidak berpanjangan agar kesemua pemimpin kembali fokus kepada tujuan utama yang dilaung masing-masing iaitu meletakkan kepentingan rakyat di tempat pertama berbanding perkara-perkara lain.

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN