MENINGGALKAN kerja-kerja kebajikan dan kemanusiaan menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sudah sebati dalam dirinya selama 35 tahun untuk menceburi bidang politik semestinya satu keputusan yang sukar dibuat.
Pastinya ada sesuatu ‘tarikan’ yang mendorong DATIN CHE ASMAH IBRAHIM berbuat demikian.
Namun, Ketua Pejuanita ini nekad kerana merasakan kepimpinan negara kini berada pada tahap yang kritikal dan perlu diterajui oleh mereka yang berwibawa dan berintegriti.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, ZABRY MOHAMAD MADZLAN, beliau berkongsi matlamat perjuangannya bersama Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) dan harapannya dalam politik, baru-baru ini.
Kerjaya sebelum ini?
Saya pernah berkhidmat sebagai penjawat awam selama 28 tahun. Saya bersara awal, seterusnya menyertai syarikat korporat berteraskan alam sekitar dan teknologi hijau.
Saya pernah memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara selama lebih setahun.
Rasa prihatin terhadap isu-isu masyarakat khususnya melibatkan wanita, keluarga, kanak-kanak dan golongan terpinggir terbentuk dalam diri saya sejak dari zaman universiti lagi, 35 tahun lalu. Selain berkerjaya, saya bergiat aktif dalam beberapa NGO termasuk Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM). Jawatan terakhir saya di IKRAM ialah Naib Presiden. Sebelum itu sebagai Ketua Wanita IKRAM Pusat selama empat tahun (2014-2018). Saya juga terlibat dalam misi-misi kemanusiaan di Gaza, Palestin dan di sempadan Jordan.
Sebagai aktivis sosial yang juga menggerakkan advokasi isu-isu masyarakat, saya sering dirujuk untuk memberi pandangan terhadap isu-isu pembelaan dan kepimpinan wanita, pengukuhan institusi keluarga, isu kanak-kanak dan pengurusan alam sekitar.
Kenapa sertai Pejuang?
Saya terpanggil untuk keluar dari kedudukan agak selesa dalam NGO dan korporat untuk memberi khidmat melalui sebuah parti politik yang sudah tentunya lebih mencabar.
Saya nampak asas perjuangan yang nak dibawa oleh Pejuang sesuai dengan jiwa ini. Apa yang diinginkan untuk negara ini adalah dipimpin oleh barisan ahli politik yang lebih bertanggungjawab, berwibawa dan berprinsip.
Pejuang bukan tempat ahli politik yang hanya ingin mencari kedudukan dan kekayaan. Pejuang mahu dibarisi pemimpin yang mengutamakan rakyat daripada kepentingan peribadi.
Secara peribadi, saya merasakan ramai profesional terutama yang ada latar belakang aktivis ingin melihat berlaku perubahan dalam kepimpinan politik negara. Namun, tidak ramai yang bersedia untuk menyertai parti kerana politik di negara ini pada masa ini sangat menjijikan. Lompat parti berlaku di sana sini tanpa menghiraukan mandat rakyat.
Perancangan untuk mengukuhkan Pejuanita?
Pejuanita adalah sayap wanita Pejuang. Matlamat perjuangan adalah untuk memartabatkan kedudukan wanita berlandaskan prinsip kesamarataan dan kesaksamaan antara lelaki dan wanita yang saling melengkapi, bukannya bersaing atau mengambil alih tugas kaum lelaki.
Saya mahu melahirkan lebih ramai pemimpin wanita yang boleh menerajui parti dan kepimpinan negara pada masa hadapan. ‘Pemimpin membina lebih ramai pemimpin’, tapi, apa yang saya perhatikan dalam politik, sering kali berlaku ‘pemimpin membina pengikut.’
Justeru, Pejuanita mahu menetapkan had tempoh memimpin parti agar berlaku peralihan kepimpinan daripada yang baik kepada yang lebih baik sesuai dengan keperluan semasa. Ini juga akan memberi peluang kepada yang muda menerajui kepimpinan.
Bagi menjayakan hasrat ini, kita akan bekerja rapat dengan Pejuanita Muda, iaitu satu lagi sayap dalam Pejuang yang dianggotai anak-anak muda di bawah umur 40 tahun agar ada kesinambungan memimpin. Saya merasakan gabungan pemimpin senior dan berpengalaman yang mempunyai kebijaksanaan dengan pemimpin muda yang memiliki semangat kental akan melahirkan barisan kepimpinan yang mantap dan mampu memacu negara menuju kecemerlangan.
Cabaran terpaksa ditempuhi?
Nak bawa sesuatu yang baharu, mesti ada yang tidak bersetuju sebab ada budaya tersendiri. Itulah cabarannya.
Kita kena bina budaya baharu, semua bekerja sebagai sebuah pasukan. Mungkin ada yang tak puas hati, namun adalah mustahil untuk kita memuaskan hati semua pihak tapi biarlah majoriti yang berpuas hati.
Apa keutamaan Pejuang?
Politik sebenarnya untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara. Walaupun Pejuang bukan kerajaan yang memerintah, tapi tidak bermakna kita tidak boleh memberikan khidmat kepada rakyat.
Pejuang akan berusaha memperkukuh ekonomi rakyat khususnya orang Melayu supaya mereka tidak terjebak dengan rasuah.
Selain ekonomi, Pejuang juga akan mengerakkan bantuan kebajikan bersasar dan berimpak positif kepada rakyat memerlukan. Kita ingin memperkasakan masyarakat agar boleh berdikari dan tidak bergantung kepada orang lain secara berterusan kerana pergantungan itu dengan tekanan hidup juga akan membuka ruang berlakunya rasuah.
Peluang Pejuang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)?
Kita ada peluang untuk menang tapi bukan sebagai parti besar. Kita mempunyai kualiti kepimpinan di samping kita berusaha menambah bilangan sokongan akar umbi.
Saya lihat masyarakat hari ini lebih kritikal dalam memilih calon-calon yang bertanding. Mereka sudah serik dengan sindrom lompat parti yang hangat berlaku sekarang. Saya menjangkakan PRU-15 nanti, kualiti pemimpin menjadi keutamaan pengundi.
Pendaftaran Pejuang masih belum diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia. Komen?
Saya tak nampak apa sebab masih tidak boleh diluluskan. Semua keperluan sudah dipenuhi. Dalam perundangan, kalau tidak boleh lulus, kena nyatakan sebab-sebabnya. Kelulusan ini penting selaras dengan hak yang telah diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan kepada rakyat untuk berpersatuan.










