Bukan lagi sekadar mengopi - Utusan Malaysia

Bukan lagi sekadar mengopi

Kafe boleh dijadikan lokasi untuk berbincang, bertukar pendapat, melontar idea dan membahaskan ilmu. –UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dewasa ini, kafe semakin rancak tumbuh di Terengganu. Bermula daripada pembinaan kafe-kafe generasi awal seperti Qawa dan Star Anise, sehinggalah munculnya kafe-kafe generasi baharu.

Antaranya Hidden Café, Nusuk Café, Octagon, Mek Awang, Kofi.trg, Cantek Sekali, Bonne Bouche, Goodman Coffee, Kopimesin, HOMS, Ikon Café dan ZS Coffee. Di samping berlumba-lumba menapakkan premis masing-masing serta merebut perhatian dan selera masyarakat tempatan, kewujudan kafe-kafe tersebut secara tidak langsung menambahkan third place atau tempat ketiga di negeri itu.

Frasa third place ini berasal daripada teori sosial oleh ilmuwan Ray Oldenburg dalam tulisannya bertajuk The Great Good Place. Tempat ketiga merujuk kepada ruang dalam bandar yang diperlukan masyarakat untuk mempelbagaikan interaksi harian mereka selain daripada hanya melazimi rumah mereka (tempat pertama) dan tempat kerja (tempat kedua).

Kepelbagaian tempat ketiga adalah penting bagi meresapkan nilai dan identiti dalam diri masyarakat kerana di sini boleh tercipta idea-idea kreatif yang mungkin tidak dapat difikirkan atau diterjah oleh minda yang hanya terkurung di rumah dan di tempat kerja. Secara mudahnya, rantaian kafe-kafe tempatan ini bertindak mempelbagaikan jenis-jenis tempat ketiga yang terdapat di Terengganu. Sebab itu, kafe-kafe ini berpotensi menanamkan suatu budaya baharu dalam kalangan masyarakat Terengganu.

Mungkin sahaja bertapaknya kafe-kafe ini akan menghangatkan budaya diskusi ilmu, sains, sastera dan politik, lalu menabalkan kembali fungsi premis tersebut sebagai tempat persinggahan dan pertukaran ilmu seperti yang telah tercatat dalam sejarah Islam dan Eropah terdahulu?

Bayangkan, di suatu pelosok bandar Kuala Terengganu, seorang anak muda sedang duduk belajar dengan khusyuk di sebuah kafe demi meningkatkan pencapaian akademik. Di sebuah kafe di ceruk lain, anak-anak muda Terengganu sedang menanggap suatu idea kemasyarakatan yang bakal mengubah nasib seluruh penduduk tempatan.

Tempat sudah ada, capaian ilmu melalui internet pun sudah ada. Yang dinantikan adalah dorongan dan galakan daripada pengurusan kafe-kafe ini dengan metode kreatif masing-masing untuk menanam imej kafe sebagai titik pertemuan, mulakat atau rendezvous baharu orang Terengganu bagi berbincang, bertukar-tukar pendapat, melontar idea dan membahaskan ilmu pengetahuan.

TERMOS

Bertitik tolak daripada fungsi sebagai mulakat atau rendezvous tadi, kafe-kafe juga berupaya mengepalai anjakan ke arah melestarikan, sekali gus memajukan paradigma sektor perniagaan di Terengganu.

Kafe-kafe mampu mengasuh rakyat tempatan mengurangkan atau menidakkan penggunaan plastik sekali guna secara berperingkat dengan memberikan insentif harga murah kepada pelanggan yang membawa termos atau botol masing-masing. Selain itu, kafe-kafe juga boleh mengutamakan pilihan biji kopi daripada pengeluar yang menjamin sustainablity atau kelestarian dalam rantaian bekalan mereka.

Hampas kopi yang telah digunakan juga boleh diberikan nafas baharu dengan dikitar semula menjadi bahan kompos, atau pelbagai produk yang boleh dihasilkan dengan kerjasama daripada pihak industri. Pengitaran semula hampas kopi di serata dunia telah menghasilkan pelbagai produk termasuklah bahan cetakan 3D, perabot, sabun, pakaian, biogas dan biofuel, tepung kopi.

Malahan, syarikat pengeluar kereta Ford di Amerika Syarikat bekerjasama dengan McDonald’s dalam mengitar semula hampas kopi terguna McCafe bagi menghasilkan plastik bio yang dijadikan bahagian-bahagian luaran dan dalaman kereta.

Amalan lestari yang memberikan impak positif terhadap alam sekitar ini mampu menyuntik suasana natural dan homey serta perasaan grounded ke dalam imej kafe-kafe di Terengganu. Kafe-kafe di Terengganu mampu memupuk budaya ini sehingga meresapnya amalan-amalan lestari dalam sektor-sektor perniagaan lain. Mungkin kafe-kafe baharu inilah menjadi barisan hadapan dalam mengubah cara pandang sektor perniagaan di Terengganu dengan lebih mempopularkan gerak kerja serta kaedah perniagaan berilmu dan lestari.

Segmen pasaran kopi ini dikuasai golongan berjiwa muda, terbuka dan mempunyai cara pandang berbeza berbanding orang-orang lama.Peluang pembudayaan yang besar ini perlu dirampas oleh pengurus kafe-kafe Terengganu demi meledakkan suatu perubahan positif di samping menjadi garis panduan dan contoh kepada sektor-sektor perniagaan lain.

PENULIS ialah pensyarah di Universiti Malaysia Terengganu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN