Bom lama: Antara hidup dan mati - Utusan Malaysia

Bom lama: Antara hidup dan mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Bom lama bukan mainan. Jika tidak diuruskan dengan baik, termasuk ‘tangan-tangan gatal’ yang memegang tanpa ada pengetahuan mengenainya, kecelakaan boleh berlaku termasuk kehilangan nyawa.

Berbicara soal mati, itulah perkara yang sering kali berlegar dalam fikiran Ketua Penyelidik Muzium Tentera Darat, LEFTENAN KOLONEL MUHAMMAD ZURAIMAN ABD. GHANI.

Tidak hairanlah, beliau tidak banyak berbicara ketika ditanya perasaannya setiap kali mengendalikan penemuan bom-bom lama.

“Peluh jantan keluar,” katanya berseloroh.

Ikuti temu bual Muhammad Zuraiman bersama wartawan Utusan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN dan jurugambar FAUZI BAHARUDIN di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

UTUSAN: Banyak penemuan bom-bom lama dipercayai tinggalan Perang Dunia Kedua. Boleh ulas?
MUHAMMAD ZURAIMAN: Kawasan-kawasan terlibat suatu ketika dahulu adalah zon konflik di mana berlaku aktiviti-aktiviti ketenteraan seperti pertempuran atau pengeboman.

Kebanyakan bom lama ini digunakan semasa negara kita ketika itu Malaya antara 1941 hingga 1945. Ada juga semasa darurat antara 1948 hingga 1960, konfrontasi (1963-1966), insurgensi (1968-1989). Terbaru, Op Daulat (2013) melibatkan krisis pencerobohan pengganas dari Filipina di Lahad Datu, Sabah.

Kenapa ia ada di merata tempat?

Semasa Perang Dunia Kedua, apabila Jepun mendarat di Kota Bharu, Kelantan pada 8 Disember 1941, operasi pengeboman dilakukan oleh tentera laut Jepun melibatkan 17 pesawat di Singapura pada pukul 3.30 pagi di Keppel Harbour, iaitu pangkalan tentera laut British dan lapangan terbang di tengah-tengah Seletar, Singapura.

Di Alor Setar, Sungai Petani, Butterworth, Pulau Pinang, Kuala Terengganu dan Kuantan pula dibom pada waktu siang melibatkan lokaliti kepentingan British dan instalasi tentera. Ini merupakan penyumbang awal kepada keberadaan bom-bom lama yang digugurkan pada 8 Disember 1941 sahaja dan ia berkembang apabila Jepun meneruskan kemaraan ke selatan tanah air.

Bagaimana pula bandar-bandar besar?

Semasa operasi pengeboman tentera berikat di Malaya pada 18 Februari 1945, pesawat pengebom jarak jauh B-29 Superfortress turut menjalankan misi pengeboman di bandar-bandar utama seperti Pulau Pinang dan Kuala Lumpur melibatkan 49 buah pesawat.

Pada 10 Mac 1945, ia melibatkan 26 pesawat. Sasaran mereka ialah bengkel keretapi. Pada April 1949, pasukan kejuruteraan tentera berikat memusnahkan bom lama atau unexploded ordnance (UXO) yang dijumpai di kawasan Stesen Keretapi Kuala Lumpur dan menghasilkan kawah seluas 18 meter.

Tempat-tempat lain?

Ada juga bom-bom yang disimpan di instalasi tentera sama ada kem, pangkalan atau kubu bawah tanah di mana ada laporan penemuan bom dalam keadaan bersusun yang menggambarkan ia sebagai tempat penyimpanan. Ada juga bom yang sengaja diletakkan sebagai alat letupan termampat atau improvised explosive device (IED) menggunakan bom, bom gas atau jerangkap samar yang boleh mendatangkan kecederaan di kubu bawah tanah, terowong komunis atau terowong Jepun.

Pernah berdepan detik mencemaskan ketika mengendalikan bom lama?

Belum pernah lagi berlaku kejadian yang tidak diingini sepanjang saya mengendalikan bom-bom lama. Dari 1997 hingga 1998, saya terlibat dengan pasukan pemusnah bom (EOD) bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor sebagai barisan kedua memberi bantuan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pada 1995, terdapat kes penemuan UXO di Banting, Selangor di mana PDRM telah memohon bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Pasukan EOD diatur gerak bagi membantu memusnahkan UXO tersebut.

Penglibatan sebagai ketua penyelidik dalam melaksanakan penyelidikan arkeologi ketenteraan menjadikan kawasan konflik seperti tapak pertempuran, tapak nahas pesawat, saya dan pasukan pernah menjumpai penempatan komunis yang masih mempunyai jerangkap samar, penemuan bom Perang Dunia Kedua di penempatan tentera Jepun.

Terdapat satu kes, lima bom aerial bombing seberat 500 kilogram (kg) milik tentera Jepun yang disusun sebagai bom perangkap di sebuah kubu bawah tanah. Begitu juga semasa melakukan kerja-kerja ekskavasi di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Dusun Tua, ditemui bom mortar dan roket projektil.

Apa perasaan semasa mengendalikan proses pemusnahan bom lama?

Tentunya saya berasa gerun dan khuatir sampai ‘peluh jantan’ pun mengalir. Tetapi, perasaan itu mesti disingkirkan kerana ia adalah tugas yang harus dilakukan secara profesional.

Meletakkan diri dalam keadaan bahaya di antara hidup dan mati, tidak takutkah?

Sebagai manusia memang akan berfikir ke arah itu. Tentera juga manusia biasa ya. Punya perasaan takut dan bimbang. Namun, itulah ‘harga’ yang perlu dibayar demi sebuah amanah dan tanggungjawab. Kalau bukan kita, siapa lagi yang akan menguruskannya?

Apa yang paling mencabar?

Sudah pasti proses mengenal pasti jenis setiap bom lama. Ada sesetengah bom lama yang ditemui bukan lagi dalam bentuk asal. Hanya pecahannya seperti bahagian ekor. Jadi, bila berlaku seperti ini menyukarkan pihak berkuasa menganalisa dan merekodkan semua maklumat bom tersebut.

Adakah kita perlu menubuhkan sebuah jawatan kuasa terdiri daripada pengkaji sejarah, arkeologi, pihak berkuasa dalam misi mencari bom-bom lama?

Pada masa ini, kerajaan sudah mempunyai mekanisme dalam mengendalikan penemuan UXO melibatkan PDRM dan ATM.

Cuma, masyarakat perlu dididik supaya mereka tahu apa langkah yang perlu diambil sekiranya menjumpai objek UXO dengan tidak mengusiknya dan melaporkan kepada PDRM untuk tindakan pemusnahan.

Sebaiknya dalam kajian biodiversiti selain laporan arkeologi, laporan oleh pakar EOD atau arkeologi tentera boleh dilakukan. Contohnya, penemuan bom lama di tapak IKBN Dusun Tua semasa kerja-kerja pembangunan dan penyelidikan arkeologi sendiri.

Begitu juga kes bom meletup di tapak projek Transit Aliran Massa (MRT) di Bandar Malaysia dalam Pangkalan Udara Sungai Besi pada 2017. Ini menggambarkan zon konflik mempunyai risiko ancaman dan kewujudan UXO perlu ditangani sebaiknya.

Adakah penemuan bom-bom lama menjadi identiti bahawa negara mempunyai nilai sejarah perang tersendiri?

Benar, ia memberi gambaran Malaysia kaya dengan sejarah ketenteraannya yang perlu diterokai kepentingannya demi kelestarian dan memartabatkan sejarah serta warisan ketenteraan negara.

Namun, dari satu sudut lain, ada yang melihat ini sebagai gambaran negatif kepada Malaysia seolah-olah tidak aman dan sentiasa berkonflik dan tidak perlu diketengahkan.

Perlukah lokasi penemuan bom lama dikategorikan sebagai kawasan yang perlu dijaga dan dikawal?

Ini tertakluk kepada lokaliti penemuan bom. Jika ia melibatkan penemuan kawasan simpanan, kemungkinan terdapat banyak lagi bom yang tertanam.

Selain itu, penyelidikan susulan dapat dalam mengenal pasti tapak tersebut sama ada mempunyai kepentingan sejarah ketenteraan atau tidak. Misalnya penemuan bom 500 kg di Dabong, Kelantan. Penyelidikan susulan mendapati ia adalah tapak kubu bawah tanah rahsia tentera Jepun.

Bagaimana untuk meyakinkan orang ramai yang mereka tidak perlu bimbang jika ada penemuan bom-bom lama?

PDRM dan ATM mempunyai keupayaan, kepakaran dan jalinan kerjasama yang baik dalam mengendalikan UXO. Dalam keadaan aman, PDRM sebagai barisan pertama mengendalikan kes penemuan UXO dan ATM akan membantu sebagai barisan kedua jika diminta. Namun, bagi kawasan instalasi ketenteraan dan kawasan operasi tentera, ATM akan mengendali sebarang penemuan UXO secara mandiri.

Nasihat kepada orang awam?

Ada sesetengah kes, pencari besi buruk yang mengumpul barang besi lama termasuk bom sama ada mereka sedar atau tidak. Justeru, kesedaran tindakan perlu ada dalam kalangan masyarakat iaitu melaporkan kepada PDRM jika menjumpai sebarang objek mencurigakan yang dipercayai bom lama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN