Tindakan kerajaan mewartakan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No. 2) 2021, berkuat kuasa 12 Mac lalu yang khusus untuk memerangi aktiviti penghasilan dan penyebaran berita tidak benar sepatutnya dibuat lebih awal lagi terutama apabila kita berhadapan dengan pandemik Covid-19 sejak Mac tahun lalu. Tempoh setahun ini agak mencabar apabila kita berhadapan dengan penularan berita palsu yang mencetuskan panik, kecurigaan dan ketakutan dalam kalangan rakyat menyebabkan berlaku panicking buying sehingga kehabisan pelitup muka dan pensanitasi.
Saban hari kita terpaksa berhadapan dengan berita palsu kerana tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memerlukan kita berada di rumah dan bekerja dari rumah yang mana penggunaan platform-platform media sosial agak tinggi dalam tempoh ini termasuk aplikasi WhatsApp. Penularan berita palsu seperti status hospital, zon sesuatu kawasan, perangkaan jangkitan dan laman-laman sesawang secondary atau fakta alternatif berleluasa termasuk remedy untuk jangkitan Covid-19. Semakin tinggi kita berhadapan dengan kes-kes Covid-19, berita palsu mengejar di belakang.
Setiap hari Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan dan laman sesawang Sebenarnya.my mencantas penularan berita palsu termasuk usaha aktif media-media arus perdana mengeluarkan pelbagai jenis informasi dan infografik dalam pelbagai jenis bahasa. Juga memaksimumkan penggunaan platform media perdana versi media sosial di dalam media cetak dan penyiaran. Masih kita terpaksa berhadapan dengan penularan berita palsu dari luar negara dan terdapat kes-kes tangkapan yang dibuat terhadap individu-individu yang menyebarkan berita palsu hasil laporan orang ramai.
Kita masih ketinggalan di belakang dari segi adaptasi literasi media dan budaya fact-checking yang mana kurang berikutan faktor penggunaan platform media sosial yang begitu tinggi dalam kalangan rakyat, juga tabiat over encouragement to share iaitu sifat keterlaluan kongsi maklumat. Kita masih tidak mempunyai sikap kesederhanaan dalam mendapatkan maklumat dan keterbukaan untuk mendapat banyak maklumat serta membuat perbandingan.
BENCANA ALAM
Populasi rakyat Malaysia hampir mencecah 33 juta manakala mengikut World Internet Stats, pengguna internet kita adalah 29.1 juta dan pengguna Facebook hampir 27 juta. Menurut pemerhatian saya, hampir dua ke tiga juta peningkatan berlaku dari segi akses internet dan aplikasi platform media sosial.
Jadi, secara dasarnya kita perlu ordinan seperti ini dikuatkuasakan untuk membendung penularan berita palsu. Apatah lagi apabila berhadapan dengan krisis pandemik seumpama ini atau bencana alam.
Daripada melihat sebagai satu instrumen yang menyekat kebebasan bersuara dan menyekat kebebasan media, ia harus dilihat dari perspektif lebih luas, bagaimana penyebaran maklumat-maklumat seumpama ini mampu membentuk masyarakat yang sihat dari segi penggunaan dan perkongsian maklumat.
Kita masih belum mencapai ke satu tahap yang boleh memilih instrumen Artificial Intelligent (AI) yang sesuai untuk diguna pakai bagi menangkis penularan berita palsu. Kita sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai etnik sudah tentunya sensitiviti kaum dan agama amat penting untuk menjaga keharmonian dan kesejahteraan rakyat. Walaupun kita sudah mempunyai 3R yang melarang kita menyentuh perkara-perkara melibatkan kaum (race), agama (religion) dan institusi raja (royalty), namun instrumen yang lebih tegas dari segi penalti diperlukan.
Maka, apa yang dicadangkan menurut Perkara 4(1) ordinan tersebut, sebarang proses penghasilan berita tidak benar sehingga menimbulkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam, jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau denda tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali adalah suatu yang dialu-alukan apabila kita sedang berhadapan dengan krisis pandemik dan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang memerlukan komitmen rakyat untuk mendaftar bagi mencegah penularan berita palsu.
MENCANTAS
Proses penghasilan itu termasuk mengadakan, menawarkan, menerbitkan, mencetak, mengedarkan, mengelilingkan atau menyebarkan berita tidak benar atau penerbitan yang mengandungi berita tidak benar. Kita tidak mahu berita palsu berhubung program imunisasi diputarbelitkan ditambah dengan pemberitaan asing yang agak lambat untuk kita mencantas berserta fahaman-fahaman ektremis yang melihat pengambilan vaksin ini bercanggah dengan ideologi-ideologi mereka.
Saya melihat usaha ini bukanlah yang baharu bagi Malaysia berikutan negara-negara jiran sudah pun melaksanakan ordinan sebegini. Banyak negara di Asia Tenggara menyedari peraturan untuk ruang siber adalah penting. Indonesia berada dalam fasa yang disebut access controlled – rangkaian mekanisme yang menekankan pelbagai jenis elemen kawalan yang membatasi akses berlebihan terhadap pengetahuan dan informasi.
Sementara itu, Singapura telah memperkenalkan undang-undang terhadap berita palsu yang dibantah oleh kumpulan hak asasi yang berpendapat menyekat kebebasan bersuara, manakala ahli politik pembangkang mengatakan dapat memberikan kerajaan terlalu banyak kekuatan ketika pilihan raya. Akta Perlindungan Daripada Berita Palsu dan Manipulasi Dalam Talian diluluskan pada Mei tahun lalu. Undang-undang menetapkan setiap menteri memiliki hak untuk memutuskan apa yang merupakan pernyataan fakta palsu.
Sudah pasti ordinan ini akan membantu media tempatan khususnya yang turut berkorban bersama barisan hadapan membuat liputan pemberitaan krisis Covid-19 tidak kira waktu dan masa bagi memberikan maklumat yang betul kepada rakyat dan pada masa sama berhadapan risiko jangkitan. Media Malaysia perlu diberikan penghargaan dalam pemberitaan krisis ini. Bukan itu sahaja, malah membantu Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengenal pasti sumber dan agenda berita palsu yang ditularkan di negara kita. SKMM ada menjalankan kempen Freedom of speech but not freedom to lie (kebebasan bersuara tapi bukan kebebasan menipu) dan Pasukan Respons Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia juga membuat pemakluman hampir setiap hari, namun penularan berita palsu masih berleluasa.
Selain warganegara, bukan warganegara Malaysia jika dituduh melakukan sebarang kesalahan di bawah ordinan itu turut berdepan hukuman sama. Menurut Perkara 5 ordinan berkenaan, individu yang dikesan menyalurkan bantuan kewangan sama ada secara langsung atau tidak langsung bagi membantu proses penghasilan berita tidak benar, juga boleh dikenakan pertuduhan.
Ketika ini, Program Imunisasi Covid-19 mesti berjaya kerana ia adalah penyelesaian kepada penularan virus Covid-19.
PROFESOR Madya Dr. Sara Chinnasamy ialah penganalisis politik & media sosial.










