Wujudkah rogol dalam perkahwinan? - Utusan Malaysia

Wujudkah rogol dalam perkahwinan?

Sebelum ini tidak ada peruntukan spesifik di bawah undang-undang untuk menghukum suami yang melakukan penganiayaan seksual terhadap isterinya. – Gambar hiasan/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 7 September 2007, aktivis-aktivis wanita di seluruh negara meraikan kemenangan besar apabila Kanun Keseksaan dipinda untuk memasukkan Seksyen 375A yang menyatakan: “Mana-mana lelaki dalam suatu perkahwinan yang sah menyebabkan kecederaan atau ketakutan kematian atau kecederaan isterinya atau mana-mana orang lain untuk melakukan persetubuhan dengan isterinya hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai lima tahun.”

Sebelum ini, tidak ada peruntukan spesifik di bawah undang-undang untuk menghukum suami yang melakukan penganiayaan seksual terhadap isterinya. Bahkan Kanun Keseksaan India, yang menjadi tunjang kepada Kanun Keseksaan Malaysia juga belum pernah memasukkan pindaan tersebut.

Di negara ini, terdapat peruntukan khas bagi menangani jenayah rogol sepertimana yang diperjelaskan di bawah Seksyen 375 dan Seksyen 376. Undang-undang yang menyentuh perlakuan yang menyumbang kepada pelbagai klasifikasi kecederaan pula terdapat di bahagian ‘Cedera’ meliputi Seksyen 319 hingga 338. Realitinya, kemasukan Seksyen 375A adalah langkah bagi membasmi sebarang perilaku ganas dalam hubungan intim antara pasangan yang berkahwin dengan meletakkan peruntukan khas melangkaui hukuman di bahagian ‘Cedera’.

Kendatipun begitu, masih ada pihak yang menghujahkan terdapat ketidakseimbangan pada hukuman yang dibenarkan di bawah Seksyen 375A bagi tindakan seorang suami terhadap isterinya berbanding dengan lelaki lain yang merogol, sepertimana diperuntukkan di bawah Seksyen 375 dan 376 Kanun Keseksaan. Seksyen 376 memaktubkan sesiapa yang melakukan pemerkosaan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, dan juga dikenakan hukuman sebat. Sedangkan di bawah Seksyen 375A, seorang lelaki yang menyebabkan kecederaan untuk melakukan hubungan intim dengan isterinya hanya dihukum penjara selama maksimum lima tahun.

Untuk memahami perbezaan ini, kita harus perhatikan Seksyen 375 Kanun Keseksaan menggariskan dua keadaan bagi mentakrifkan sesuatu hubungan seksual sebagai rogol: pertama, apabila tiada persetujuan pasangan dan kedua, apabila tindakan itu bertentangan dengan kehendak wanita tersebut. Jelas, Seksyen 375A secara khusus membahaskan hubungan seksual yang bertentangan dengan kehendak isteri dan menyebabkan kecederaan.

MENGASARI ISTERI

Namun, saya ingin menekankan, mana-mana pihak yang menyebabkan kecederaan kepada orang lain juga boleh didakwa di bawah Seksyen 319 yang dibaca secara bersama dengan Seksyen 323.

Hukuman bagi peruntukan tersebut adalah penjara maksimum satu tahun atau denda maksimum RM2,000.00 atau kedua-duanya. Tambahan lagi, Kanun Keseksaan di bawah Seksyen 326A melipatgandakan hukuman bagi pasangan berkahwin yang menyebabkan kecederaan kepada pasangannya, di mana hukuman penjara boleh dilanjutkan sehingga dua tahun. Melihat peruntukan ini, boleh dikatakan hukuman untuk kelakuan yang menyebabkan kecederaan adalah jauh lebih ringan daripada hukuman dijelaskan dalam Seksyen 375A. Maka dapat disimpulkan, Seksyen 375A tidaklah memberikan kelonggaran kepada para suami untuk mengasari isteri mereka secara seksual dengan hukuman yang lebih ringan berbanding Seksyen 376.

LONGGAR

Saya berpendapat, hujah kononnya wujud hukuman ringan bagi jenayah serangan seksual terhadap isteri perlu dibahaskan dengan memahami asas Seksyen 319, 323, 326A, 375, 375A dan 376 Kanun Keseksaan. Setelah mengambil peruntukan ini secara keseluruhan, boleh kita faham undang-undang itu tidak semestinya dilihat ‘longgar’ bagi menghukum kesalahan yang dilakukan oleh seseorang lelaki, hanya semata-mata kerana statusnya sebagai suami.

RUMIT

Kesalahan di bawah Seksyen 375A Kanun Keseksaan adalah isu rumit yang telah lama cuba ditangani. Peruntukan ini adalah untuk menghukum si pelaku, sementara memberi ruang untuk melindungi mereka daripada unsur ketidakadilan. Ingatlah, penjenayah yang dimaksudkan di sini bukanlah orang asing yang datang dari lorong-lorong gelap. Sebaliknya, ‘penjenayah’ itu ialah suami yang masuk ke tempat tidur pengadu setiap malam yang mungkin telah melahirkan zuriat dan membina kehidupan bersama dengannya.

Para penggubal undang-undang sedar, terdapat juga kemungkinan kesalahan Seksyen 375A terpakai kepada seorang suami yang isterinya tidak bekerja, yang mana si isteri mungkin rasa terhalang untuk melaporkan serangan seksual oleh suami jika dia menganggap ketua keluarga itu sebagai satu-satunya punca rezeki. Seksyen 375A diadakan bagi mendorong para isteri memperjuangkan hak mereka dan tidak terhalang daripada melaporkan serangan seksual hanya kerana mereka takutkan hukuman berat yang akan ditanggung si suami.

Hikmah di sebalik hukuman undang-undang adalah juga sebagai satu bentuk pemulihan ke atas orang yang dihukum. Hukuman penjara maksimum lima tahun bertujuan mendidik suami mengenai akibat perbuatannya tetapi pada masa yang sama, tidak menjadikannya seorang penjenayah tegar dengan membiarnya meringkuk di dalam penjara untuk jangka masa panjang. Bagi mengangkat nilai keadilan dan kesejahteraan institusi keluarga, pertimbangan-pertimbangan ini haruslah dijadikan roh dan semangat undang-undang yang utama ketika kita membincangkan peruntukan ini.

PENULIS ialah pengamal undang-undang, Ketua Biro Media WAFIQ, aktivis hak asasi manusia dan Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN