Vaksin: Kita mesti bersikap terbuka - Utusan Malaysia

Vaksin: Kita mesti bersikap terbuka

Mohamad Zikri Ahmad Tarmidi (duduk) kini menjalani latihan di Hospital Cerrahpasa, Istanbul, Turki.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Turki merupakan antara 10 negara paling serius menerima kesan jangkitan Covid-19. Menurut angka yang dikeluarkan laman sesawang Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Turki berada di kedudukan kesembilan dengan jumlah jangkitan kira-kira 2.5 juta kes manakala angka kematian melebihi 25,000 orang.

Saya berhubung dengan seorang rakyat Malaysia yang menetap di Turki bagi mendapatkan gambaran sebenar apa yang berlaku di sana. Mohamad Zikri Ahmad Tarmidi, 28, merupakan seorang doktor pelatih di Hospital Cerrahpasa, Istanbul. Dia tidak dapat pulang ke tanah air sejak penularan Covid-19 di seluruh dunia. Mohamad Zikri menyambung pengajian dalam bidang perubatan selama lima tahun dan kini menjalani latihan (housemanship) di bahagian kecemasan hospital itu.

“Semua doktor pelatih di seluruh Turki diberikan cuti selama tiga bulan bermula Mac 2020 hingga ke penghujung Mei bagi mengurangkan risiko jangkitan sebelum disambung semula perkhidmatan pada awal Jun,” katanya.

Menurutnya, kawalan pergerakan oleh kerajaan Turki tidak seketat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini sekalipun kes harian pandemik di sana jauh lebih tinggi.

Kawalan pergerakan di Turki terdapat dalam pelbagai peringkat seperti sekatan pergerakan sepenuhnya (total lockdown) yang pernah dijalankan sekali pada April 2020. Namun kali ini, kawalan pergerakan di Turki hanya sekadar perintah berkurung untuk hari minggu dari pukul 9 malam hingga 5 pagi.

Pada hujung minggu pula, perintah berkurung secara menyeluruh kecuali pasar raya yang dibenarkan beroperasi bagi pembelian barangan dapur juga beberapa sektor perkhidmatan penting sementara sekolah sama sekali tidak dibuka.

“Selain itu, kewajipan pemakaian pelitup muka, penjarakan sosial dan kerap basuh tangan merupakan antara perkara yang sangat penting untuk dipraktikkan.

“Saya amat kagum dengan kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) masyarakat Turki kerana mereka amat mementingkan pemakaian pelitup muka.

“Ada terpapar di luar kedai dan pengangkutan awam tentang larangan kepada mereka yang tidak memakai pelitup muka sehinggakan rakyatnya sendiri menegur mereka yang melanggar SOP.

Inilah bagi saya definisi sebenar #kitajagakita,” ujar Mohamad Zikri.

ORANG PERTAMA

Turki merupakan antara negara terawal yang mendapatkan vaksin untuk rakyatnya bermula 13 Januari lalu. Orang pertama yang mendapatkan suntikan vaksin ialah Menteri Kesihatannya, Fahrettin Koca diikuti Presiden, Recep Tayyip Erdogan. Turki membeli 50 juta dos vaksin coronavac daripada syarikat Sinovach Biotech Ltd. dari China.

Paling menarik, Mohamad Zikri dikatakan rakyat Malaysia pertama divaksinkan di Turki. Dia menerima suntikan tersebut pada 15 Januari lalu. Dia bakal menerima suntikan kedua selang 28 hari kemudian.

“Alhamdulillah, selepas seminggu setengah mendapat vaksin, masih tiada apa-apa kesan sampingan.

 

“Cuma rasa lenguh di tempat suntikan, bahagian bahu sebelah kiri. Itu pun dalam masa sehari sahaja,” katanya.

Selepas menerima suntikan, dia kini rasa lebih berkeyakinan untuk bekerja. Namun, pada masa sama, dia tetap sentiasa memakai pelitup muka.

“Harapan saya, rakyat Malaysia lebih terbuka untuk mengambil vaksin ini. Saya percaya ramai dalam kalangan rakyat Malaysia masih tidak yakin dengan pengambilan vaksin.

“Bagi saya ini merupakan satu-satunya jalan terbaik yang ada buat masa sekarang,” katanya lagi.

BARISAN HADAPAN
Buat masa ini, suntikan vaksin Covid-19 belum dibuka kepada orang awam lagi memandangkan Turki memberi keutamaan kepada barisan hadapan (frontliner) dan individu berisiko tinggi seperti warga emas berumur 65 tahun ke atas.
Cara untuk mendapatkan suntikan vaksin di Turki juga begitu sistematik dan teratur. Temu janji boleh dibuat melalui laman sesawang E-Devlet iaitu sebuah sistem dicipta oleh kerajaan Turki yang mencatatkan segala maklumat diri seperti pendidikan, keluarga dan insurans.
Sistem itu turut berhubung dengan dengan sistem E-Nabiz yang menyimpan data mengenai kesihatan diri. Menerusi sistem tersebut juga, setiap individu boleh membuat temu janji bagi mendapatkan suntikan vaksin.
Terdapat empat peringkat sistem pemberian vaksin yang dijadualkan oleh Kementerian Kesihatan Turki. Peringkat pertama tertumpu kepada barisan hadapan yang bekerja dalam sektor kesihatan dan mereka yang berumur 65 tahun ke atas. Peringkat kedua mengkhususkan kepada anggota pasukan beruniform seperti polis dan askar, kakitangan sektor pendidikan seperti guru dan mereka yang terlibat dalam industri pemakanan seperti pembuat roti. Peringkat ketiga pula dikhususkan kepada mereka yang mempunyai penyakit kronik berumur antara 18 hingga 49 tahun. Seterusnya peringkat keempat terbuka kepada orang awam yang tidak termasuk dalam peringkat satu, dua dan tiga seperti dinyatakan.
Sehingga kini, kira-kira dua juta rakyat Turki telah menerima vaksin Covid-19 dan masih lagi tiada laporan kesan sampingan. Sebanyak tiga juta vaksin coronavac tiba di Turki pada 30 Disember lalu dan selebihnya secara berperingkat. Vaksin coronavac telah dikaji dan dianalisis tahap keselamatannya oleh Kementerian Kesihatan Turki sebelum aktiviti pemvaksinan secara besar-besaran dijalankan. Apa yang penting, ia melepasi garis piawaian (standard) yang ditetapkan oleh kerajaan Turki.

PENULIS ialah pengkaji hubungan Malaysia dan dunia luar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN