
NEGARA Serbia jarang diperkatakan di tanah air kita. Kalau ada pun, pasti cerita yang kurang enak disebabkan sejarah perang Yugoslavia dahulu terutama konflik di Bosnia-Herzegovina pada 1990-an.
Apa pun ceritanya, faktanya pada hari ini, konflik antara kedua-dua negara itu sudah pun berakhir dan sepatutnya keamanan yang mereka kecap secara tidak langsung dapat mempengaruhi hubungan Malaysia dan Serbia ke arah lebih baik serta mampu menjalankan kegiatan ekonomi lebih aktif.
Kali ini, saya ingin membawa pembaca menyelusur bumi Serbia secara lebih dekat lagi. Bertambah menarik apabila anda dapat mengetahui lebih lanjut negara Slav ini daripada tokoh terkemuka mereka, Viktor Lazic, 36. Viktor merupakan seorang pengembara, penulis dan peguam, juga Presiden Pertubuhan Kebudayaan, Kesenian dan Kerjasama Antarabangsa (Adligat) yang pernah saya catatkan tentangnya dalam artikel sebelum ini.
“Kebanyakan orang Serbia tidak mengetahui tentang Malaysia, bahkan mereka langsung tidak mempunyai apa-apa pandangan tentang negara ini. Hampir tidak pernah ada berita atau catatan berkenaan Malaysia di Serbia,” katanya yang juga Presiden Kelab Persahabatan Serbia-Malaysia.
Saya kagum melihat usaha keras Serbia yang banyak menjalankan aktiviti bermanfaat dalam merapatkan hubungan antara kedua-dua negara.
Kelab Persahabatan Serbia-Malaysia dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia di Belgrade menerbitkan banyak artikel dan catatan yang positif tentang Malaysia di Serbia. Jiwa lebih tersentuh apabila mereka membuka Sudut Malaysia di Muzium Buku dan Pelancongan serta Muzium Sastera Serbia.
MUSUH
“Tidak ada apa-apa yang buruk akan berlaku sekiranya warga Malaysia melawat Serbia dan begitu jugalah bagi orang Serbia yang ingin melawat Malaysia yang aman-damai dan selamat. Saya yakin, pelancong dari kedua-dua negara ini pasti terhibur dan gembira sewaktu pengembaraan mereka,” jelas Viktor.
Menurut Lazic, generasi lama Serbia masih mengingati peristiwa perang yang tercetus pada 1990-an dan mereka sedar, Malaysia tidak berpihak kepada mereka atau dalam erti kata lain, Malaysia menyokong musuh Serbia.Jadi, sudah tentulah warga Serbia berasa kurang senang tentangnya.
Bagi saya, tidak ada apa yang mengejutkan pun memandangkan situasi di Malaysia juga sama. Kebanyakan generasi lama tidak menyukai Serbia disebabkan Perang Balkan kemudian dipanaskan lagi oleh mereka yang mengutamakan sentimen dan emosi melebihi toleransi dan fakta. Namun, sekiranya kita bertanyakan kepada anak-anak muda tentang Serbia pada hari ini, saya yakin kebanyakan mereka tidak mempunyai apa-apa pandangan bahkan akan bertanya pula, “di manakah letaknya Serbia?”
PREJUDIS
Apabila saya meminta Viktor menceritakan sedikit tentang keindahan Serbia buat pembaca Utusan Malaysia, ini katanya, “Serbia merupakan sebuah negara yang indah dengan hutan-hutannya dihiasi istana-istana purba, kubu dan biara-biara Kristian. Negara kami penuh dengan muzium yang menceritakan abad-abad yang berbeza khususnya tentang sumbangan Serbia kepada dunia seperti muzium Nikola Tesla di Belgrade.”
Hubungan Malaysia dan Serbia sentiasa dicemari dengan prejudis dan sentimen peperangan yang sudah lama berlalu.
“Bangsa Serbia dan Malaysia sebenarnya tidak pernah mempunyai apa-apa hubungan atau sejarah yang buruk. Bahkan, kita mempunyai banyak persamaan yang menghubungkan kita secara tidak langsung,” jelas Viktor lagi.
Antara fakta menarik tentang Serbia ialah majoriti rakyatnya beragama Kristian Ortodoks (84.6 peratus) diikuti Kristian Katholik (5 peratus) dan Islam (3.1 peratus). Umat Islam merupakan majoriti di tiga buah kota iaitu Novi Pazar, Tutin dan Sjenica. Namun, kebanyakan warga Muslim Serbia adalah daripada etnik Bosniak, Albania dan beberapa etnik minoriti lain.
Jika ke Serbia, kita boleh melihat banyak peninggalan Uthmaniyah seperti kewujudan sebuah masjid di Belgrade yang dibina pada 1575 dan ia merupakan satu-satunya masjid di bandar berkenaan. Masjid yang berusia 446 tahun itu diberi nama Bajrakli yang membawa maksud bendera dalam bahasa Turki.
Namun, kekangan utama untuk melawat Serbia ialah keperluan visa. Salah seorang rakan, Ziyad, 25, boleh dikatakan beruntung kerana berpeluang melawat Serbia pada 2017 sewaktu negara itu melaksanakan tempoh percubaan bagi pemegang pasport Malaysia masuk tanpa visa. Menurut Ziyad, layanan yang diterimanya di sana adalah baik.
Kini, saya pasti anda pasti teruja apabila mendapat tahu di Serbia juga terdapat sejarah-sejarah peninggalan Islam. Maka, lakukanlah kajian lebih terperinci dan pastikan Serbia termasuk ke dalam senarai negara-negara yang anda bakal lawati nanti!
PENULIS ialah pengkaji hubungan Malaysia dan dunia luar.










