“Tidak mudah sebenarnya tetapi saya percaya, kejayaan tidak datang bergolek sebaliknya perlu berusaha walaupun terpaksa bersaing dengan golongan lelaki yang memiliki kelebihan dari segi fizikal dan tenaga.
“Pun begitu, jangan sesekali memandang wanita sebagai lemah kerana mereka juga mampu menjadi pesaing yang hebat.”
Itulah kata-kata seorang gadis hebat yang memilih sukan permotoran yang didominasi oleh kaum lelaki sebagai kerjaya, walaupun menyedari bidang pilihannya itu sering dikritik masyarakat.
Pun begitu, kata-kata kecaman tersebut tidak menghalang Nur Atikah Azwar, 26, untuk kekal positif dan menganggap kata-kata yang dilemparkan sebagai nasihat walaupun diterima dalam nada sangat sinis.
Ini kerana katanya, minatnya dalam sukan lasak tersebut tidak mengubah penampilan atau perwatakannya sebagai seorang wanita. Dia menceburi bidang tersebut kerana minat yang mendalam sejak kecil lagi.
Kerana minat, lepasan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia itu tidak teragak-agak untuk berhabisan wang ringgit daripada tabung simpanan sendiri semata-mata mahu menyertai perlumbaan Cub Prix di setiap negeri.
Walaupun baharu setahun menceburi sukan ini, namanya mula menyinar apatah lagi hanya dua orang pelumba wanita dalam kategori yang disertainya iaitu Pro-Am.
Sehingga kini, Nur Atikah telah menyertai lapan pusingan sebelum terlibat dengan kemalangan di litar pada September lalu dan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang menyaksikan perlumbaan terpaksa diberhentikan buat sementara.
Ajak kawan sertai perlumbaan
Anak sulung daripada lima beradik ini mengakui dia sememangnya rasa tercabar kerana dikelilingi pelumba lelaki. Namun, itu bukanlah alasan untuk patah semangat kerana sukan tersebut secara tidak langsung berjaya membentuk dirinya agar lebih berani dan yakin.
Nur Atikah yang lebih dikenali sebagai Youtuber menerusi saluran Rider Helmet Pink memberitahu, ramai wanita sebenarnya berminat untuk menceburi perlumbaan motosikal, cuma mereka tidak mengetahui ‘lubang’ dan cara untuk melibatkan diri. Ia bukannya sukar kerana sukan ini mempunyai banyak kategori.
Kategori paling sesuai dan disarankan bagi mereka yang baru berjinak-jinak adalah Pro-am kerana hanya memerlukan motosikal. Spesifikasi motosikal pula adalah standard menyerupai kilang tanpa perlu ubah suai.
Pun begitu, sifat wanita yang suka berteman menjadi penyebab mereka tidak menyertai sukan ini. Oleh itu, sekiranya ada rakan yang turut sama minat, ajaklah mereka sekali menyertai perlumbaan bersama-sama kerana ia secara tidak langsung dapat mencetuskan semangat.
Ego lelaki
Bercerita mengenai pengalaman ketika berlumba, Nur Atikah menceritakan, ketika di dalam litar, para pelumba tidak mahu tahu siapa di sekeliling. Mereka hanya mahu menang. Ini bermakna selagi ada ruang, mereka akan ‘hentam.’
Apatah lagi kalau dicabar pelumba wanita, dia dianggap seperti musuh ketat. Namun apabila di luar litar, mereka sangat menyokong dan menggalakkan wanita menyertai perlumbaan lasak sedemikian kerana penyertaan kaum hawa mewarnai sukan permotoran.
Sekali pun bukan sebagai pelumba, kerjaya wanita dalam bidang ini juga luas seperti menjadi jurutera mekanikal atau pegawai kecergasan.
Potensi besar
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif TuneBoss, Farhan Ali, syarikatnya menaja Nur Atikah kerana melihatkan potensinya yang semakin menyerlah.
Nur Atikah setakat ini tidak pernah gagal untuk mengekalkan prestasinya di setiap perlumbaan.
Malah, gadis genit berperwatakan bersahaja itu memiliki kelebihan untuk meningkatkan pasaran TuneBoss dengan menjadikan jenama itu makin dikenali seterusnya membawa pulangan kepada syarikat.
Baginya, usaha sama itu akan diteruskan dengan beberapa kejutan lain pada tahun ini.










