Masyarakat pelbagai kaum di negara ini sudah biasa dengan peribahasa Melayu yang diajar sejak sekolah rendah. Sehingga mencapai usia warga emas, kita pasti akan tetap tahu dan hafal beberapa peribahasa Melayu.
Mengikut definisi perpustakaan, peribahasa disebut bidalan, simpulan bahasa dan pepatah, serta merujuk kepada sekelompok kata atau ayat dengan susunan yang tetap dan mempunyai maksud tertentu.
Di sekolah, pelajar diajar peribahasa Melayu dan maksudnya supaya boleh digunakan bagi meningkatkan kualiti karangan yang dihasilkan. Sesungguhnya, peribahasa yang diselitkan dalam karangan, perbualan dan penulisan cereka menjadikan hasil tulisan itu lebih menarik dan meninggalkan kesan mendalam pada jiwa dan minda pembaca atau pendengar.
Bagi murid sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) dan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), mereka turut mempelajari peribahasa dalam bahasa Tamil dan Cina (Mandarin). Dalam penulisan karangan bahasa Inggeris, proverb sering diselitkan untuk mencantikkan hasil tulisan.
Sesungguhnya, peribahasa terdapat dalam budaya pelbagai kaum dan etnik di seluruh dunia. Ia memuatkan pandangan dan pemikiran kritis generasi terdahulu yang berusaha mengungkapkan isi hati secara tersirat menerusi susunan kata yang indah dan mudah diingat.
Peribahasa air dicincang tidak akan putus, bagai anjing dengan kucing, dan seperti kerbau dicucuk hidung adalah antara peribahasa yang membantu kita membayangkan dan mevisualkan tindakan menetak air menggunakan parang, percakaran antara anjing dan kucing serta kerbau ditarik menggunakan tali yang diikat pada lubang hidung.
MENYINDIR
Pada masa sama, kita kagum pada daya pemikiran dan kreativiti masyarakat dahulu yang mampu menggunakan gambaran dari sekeliling untuk menyindir, menasihati dan menegur secara penuh berhemah.
Sepertimana dinyatakan tadi, peribahasa juga terdapat dalam budaya dan bahasa di seluruh dunia. Baru-baru ini, saya bertemu Tangaprabhu Murthy, pelajar sarjana di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas). Tesis sarjana dia bertajuk Imej haiwan dan akal budi dalam masyarakat India dengan mengkaji peribahasa Tamil.
Sebelum ini, pemuda yang berasal dari Taiping, Perak itu turut menulis beberapa artikel jurnal berkaitan imej tumbuhan dan haiwan dalam peribahasa Tamil. Walaupun Tangaprabhu bukan lepasan SJKT, dia tetap berminat mengkaji peribahasa Tamil dan menulis rencana dalam bahasa kebangsaan.
Memang ada banyak peribahasa dari seluruh dunia yang masih sesuai dalam konteks negara kita. Misalnya peribahasa, perjalanan sejauh seribu batu bermula dengan langkah pertama dari China dan sesiapa yang menggali lubang bagi saudaranya akan terjatuh sendiri ke dalamnya dalam bahasa Arab.
Peribahasa Rusia menyebut, jika takut akan serigala, jangan masuk ke dalam hutan. Tentu sahaja peribahasa ini mengingatkan kita kepada jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.
POLAND
Ada pula peribahasa Jepun, iaitu monyet juga jatuh dari pokok. Maksudnya sama sahaja seperti peribahasa, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.
Kita mungkin biasa mendengar frasa not my circus, not my monkeys. Sebenarnya, ia peribahasa dari Poland yang digunakan untuk menyatakan, sesuatu hal atau masalah yang berlaku bukan urusan kita. Peribahasa serampang dua mata pula diungkapkan oleh orang Belanda menerusi kata-kata, membunuh dua lalat dengan sekali pukul.
Dalam tradisi orang Filipina, suatu nasihat berguna disampaikan menerusi peribahasa Tagalog, iaitu udang yang tidur akan dibawa arus. Maknanya, jika kita leka, malas, atau tidak menumpukan perhatian, maka kita akan tersasar daripada niat mencapai destinasi dan kejayaan.
Orang Kikuyu di Kenya berkata, jika makanan sudah dimasak, tidak perlulah tunggu untuk dijamah. Sebaliknya pula dalam peribahasa Tamil, orang yang sabar menunggu makanan dimasak, takkan tak sabar menunggu makanan sejuk sedikit.
Apabila kita meneliti contoh peribahasa dari pelbagai negara dan pelbagai latar budaya ini, kita akan sedar betapa ada banyak persamaan dari sudut ketajaman fikiran masyarakat silam. Pada zaman dahulu, mereka tidak mempunyai akses komunikasi di luar kelompok sendiri. Namun begitu, Weltanschauung atau pandangan dunia yang dimiliki mempunyai banyak persamaan merentas batas budaya dan geografi.
Pada masa ini, dengan adanya internet dan akses mudah kepada maklumat dan ilmu pengetahuan, kita boleh berusaha mempelajari dan mendalami peribahasa dari seluruh dunia. Barulah kita akan menyedari hakikat bahawa masyarakat luar juga memiliki kekayaan budaya dan pemikiran tinggi yang berjaya pula diungkapkan secara halus menerusi peribahasa dalam bahasa masing-masing.
Jika penerokaan ini tidak dilakukan, kita akan terus menjadi seperti katak di bawah tempurung dan bersikap bodoh sombong.
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.










