Penyakit ‘hantui’ pesawah - Utusan Malaysia

Penyakit ‘hantui’ pesawah

Pesawah, Zamzuri Ishak melihat hasil padi yang dituai di kawasan sawah di Guar Sanji, Arau, Perlis, baru-baru ini. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BOLEH dikatakan setiap musim, khususnya sejak 2018 apabila mula ditugaskan di Perlis yang merupakan negeri kelahiran saya, banyak liputan terhadap masalah pesawah di sekitar negeri itu dilaporkan.

Daripada masalah kelewatan, kualiti, penyakit, masalah pengairan dan banyak lagi pasal benih padi sering menghiasi dada akhbar ini.

Saya yang pada awalnya tidak berapa tahu mengenai selok-belok tanaman padi, kini sudah mula menguasainya selepas banyak bersama golongan ini khususnya apabila mereka berada dalam masalah. Saya akan berperanan menyampaikan masalah mereka.

Selalunya masalah yang diutarakan para pesawah ini mendapat perhatian pihak yang bertanggungjawab. Selesai tidak selesai, tanya pihak terbabit.

Lazimnya, dalam banyak-banyak masalah ini, isu penyakit seperti bena perang dan padi angin antara yang menghantui pesawah.

MEROSOT

Saban tahun, pesawah menanggung kerugian berikutan masalah tersebut dengan kelewatan serta benih padi yang tidak berkualiti dikatakan menjadi antara puncanya.

Untuk rekod, dianggarkan 30,000 tan metrik hasil padi merosot dengan pesawah di negeri ini mengalami kerugian mencecah RM36 juta setahun berikutan pelbagai jenis penyakit khususnya padi angin dan bena perang.

Masalah yang dikesan berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu itu juga menyebabkan hasil padi merosot dalam tempoh tersebut sehingga 300,000 tan metrik dengan anggaran kerugian mencecah RM360 juta.

KANSER

Malah, musim ini juga, ramai pesawah mengadu hasil mereka merosot sehingga 50 peratus berikutan masalah tersebut.

Secara purata, pesawah yang sebelum ini mampu menghasilkan antara enam hingga tujuh tan metrik padi bagi kawasan seluas satu hektar, kini hanya tinggal sekitar lima tan metrik iaitu kemerosotan sehingga 15 peratus berikutan masalah penyakit berkenaan.

Mengambil analogi penyakit kanser, jika kita mampu mengesan lebih awal, mungkin kita mampu mencegah dan menyelamatkanya.

Begitu juga padi, kalau kita boleh mengesan sesuatu penyakit itu lebih awal, kita mampu mencegah dan menyelamatkan tanaman.

Jadi, antara ‘ubat’ paling berkesan dalam mencegah masalah tersebut turut bergantung kepada pesawah itu sendiri khususnya dari aspek pengamalan sawah.

Seperti yang dikongsikan Pengarah Eksekutif Dibuk Sdn. Bhd., Ezreen Muhaizie Marzukhi kepada Utusan Malaysia berkaitan masalah tersebut baru-baru ini, pengawalan serta pemantauan lebih awal perlu dilakukan oleh para pesawah bagi mengelak masalah tersebut menjadi lebih buruk.

Nasihatnya, para pesawah perlu memainkan peranan dengan melakukan pemantauan tanaman sejak dari awal termasuk jadual racun dan sebagainya.

DRON

Umur padi dalam tempoh 35 ke 55 hari sepatutnya sudah perlu melalui proses meracun dan jangan tunggu padi sudah berumur 70 hingga 90 hari baru mula meracun. Sesuatu penyakit perlu dicegah lebih awal sebelum mula merebak.

Lazimnya, umur padi 30 hari bena perang sudah mula berumah pada tanaman dan kita perlu mencegah lebih awal dengan meracun.

Kongsi Ezreen Muhaizie lagi, sifat pemusnah bena perang akan mula nampak apabila padi berumur 60 hari ke atas dan pada masa itu, sudah tidak boleh berbuat apa-apa lagi.

Jadi, selepas menabur, pesawah perlulah rajin-rajin turun ke bendang untuk melakukan pemantauan secara berterusan khususnya dalam mengesan serangan penyakit ini.

Tidak dinafikan teknologi seperti dron dan sebagainya boleh membantu khususnya untuk proses meracun dan membaja, namun kita juga perlu sentiasa memantau lebih dekat perkembangan hasil tanaman itu.

Kesan kemerosotan hasil berikutan masalah penyakit dan sebagainya bukan sahaja memberi kesan kepada para pesawah sebaliknya turut menjejaskan keluaran beras negara yang setakat ini, difahamkan kita terpaksa mengimport lebih 1.2 juta tan metrik beras atau 30 hingga 35 peratus setahun bagi menampung keperluan penduduk di negara ini iaitu sekitar 3.6 hingga 3.8 juta tan metrik.

Sesuatu mesti dilakukan supaya Malaysia sekurang-kurangnya dapat bersaing dengan negara-negara Asia lain yang sudah jauh meninggalkan kita khususnya daripada hasil pengeluaran beras setiap tahun.

Diakui proses menanam padi bukannya mudah kerana pesawah perlu menanggung pelbagai risiko dan dalam soal ini, kerajaan juga perlu memainkan peranan untuk memperkasakan golongan tersebut.

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perlis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN