Pencapaian ini tak semudah ABC - Utusan Malaysia

Pencapaian ini tak semudah ABC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Slogan Kepimpinan melalui teladan inilah yang cuba ditonjolkan oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) dan bukan sekadar bercakap kosong. Ungkapan ini terbukti apabila IIM mendapat dua penganugerahan pensijilan.

Dua anugerah itu ialah MS ISO 37001: 2016 Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) dan MS ISO 9001: 2015 Sistem Pengurusan Kualiti (QMS) yang diterima serentak pada 10 Januari lalu daripada badan pensijilan utama negara dan global iaitu SIRIM QAS International Sdn. Bhd. serta The International Certification Network IQNet, badan peneraju utama di Malaysia dan antarabangsa yang menawarkan perkhidmatan pensijilan, pemeriksaan dan pengujian. Skop pensijilan yang dilaksanakan mencakupi Sistem Pengurusan Antirasuah & Sistem Pengurusan Kualiti merangkumi latihan dan konsultasi berkaitan integriti, governans dan antirasuah.

Bukan itu sahaja, seiring dua pensijilan ini, IIM menyempurnakan pembangunan dan penggubalan Pelan Antirasuah IIM pada Disember lalu. Tiga pencapaian yang sangat signifikan ini jelas mengambarkan IIM sentiasa optimis memberikan contoh terbaik kepada agensi-agensi kerajaan mahupun swasta di luar sana. Pencapaian ini sudah pasti akan memperkukuhkan lagi tahap kredibiliti dan reputasi IIM sebagai badan operasi yang bertanggungjawab membangunkan kapasiti dan kompetensi untuk sektor awam dan swasta dalam aspek governans, integriti dan antirasuah.

Pensijilan ini juga mencerminkan IIM adalah role model kepada penyedia perkhidmatan konsultasi dan latihan yang benar-benar mempraktikkan dan mengaplikasikan standard sistem pengurusan dalaman seperti mana disyorkan kepada pelanggan.

Ironinya, pencapaian ini adalah satu permulaan dan bukanlah satu tiket untuk IIM berasa selesa dan mendabik dada. Apa yang lebih penting adalah pelaksanaan polisi dan prosedur operasi standard (SOP) berterusan akan melahirkan sebuah organisasi utuh dari segi pengurusan tadbir urus dalamannya dalam usaha menutup ruang dan peluang berlakunya penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan jenayah rasuah.

SKEPTIKAL

Tidak dinafikan masih ada segelintir pihak yang menyuarakan rasa skeptikal mengenai tahap keberkesanan pelaksanaan ABMS, namun ia sedikit pun tidak menggugat keyakinan IIM mengenai sistem ini, malahan ia telah pun dilaksanakan. Jangan dipersoalkan keberkesanannya jikalau sistem ini masih belum dilaksanakan di agensi masing-masing, bak kata pepatah, belum cuba belum tahu.

Dari segi persediaan pelaksanaan bagi pensijilan ABMS, ia mempunyai lima fasa ketat yang harus dilalui. Fasa pertama, analisis keperluan: mengenal pasti struktur perniagaan dan jurang analisa. Fasa kedua, interpretasi: memperkenalkan dan melihat keseluruhan tentang ABMS dan perancangan polisi organisasi. Fasa ketiga, reka bentuk sistem: melaksanakan penilaian risiko dan pembangunan dokumentasi ABMS. Fasa keempat, pelaksanaan sistem: semakan dan pemurnian dokumentasi ABMS dan fasa kelima, verifikasi sistem: latihan audit dalaman dan pelaksanaan audit lapangan serta kajian semua pengurusan.

Pensijilan ini diiktiraf di peringkat antarabangsa dan semestinya menuntut komitmen dan kesungguhan daripada semua pihak. Ia bukanlah sesuatu yang diperoleh dalam masa sehari dua dan boleh dibeli dengan wang ringgit. Bagi IIM sendiri, gerak kerja pensijilan ini mengambil masa kira-kira enam bulan, bermula Julai tahun lalu melibatkan kerjasama seluruh warga IIM. Tidak dinafikan pensijilan ini bukanlah suatu proses semudah ABC. Pelbagai cabaran dan kekangan perlu diharungi tetapi keberhasilan yang disasarkan amatlah berbaloi dan signifikan. Pun begitu, tempoh masa dicadangkan ini bukanlah satu tempoh yang tetap, masih ada ruang untuk fleksibiliti pelaksanaan mengikut kesesuaian.

BERBALOI

Ada juga yang mengatakan, kos pelaksanaan bagi mendapatkan pensijilan ABMS ini tinggi, namun hakikatnya ia tidaklah semahal yang disangka kalau hendak dibandingkan dengan nilai (value) yang diperoleh. Dengan adanya ABMS, potensi-potensi berlakunya rasuah dapat dikurangkan atau terus ditutup. Ini secara tidak langsung dapat membendung ketirisan sekali gus memberi kesan positif kepada sistem tadbir urus dan kewangan syarikat. Bagi syarikat-syarikat perniagaan pula, pensijilan ini akan memberikan nilai tambah dan meningkatkan keyakinan pelanggan dan pelabur sedia ada serta menarik minat pelanggan atau pelabur yang baharu.

Boleh dikatakan setiap hari, pelbagai paparan berita berkaitan jenayah rasuah di negara kita terpampang di dada akhbar dan media sosial melibatkan pelbagai pihak dan agensi. Lihat sahaja statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Sebanyak 43,699 aduan diterima dari 2015 sehingga 2020 dan apabila diteliti, tiada sebarang penurunan signifikan direkodkan sepanjang tempoh tersebut. 1,001 cadangan, pandangan dan kenyataan diberikan oleh pelbagai pihak berkaitan cara-cara menangani rasuah dan salah guna kuasa, namun persoalannya, adakah kenyataan, artikel serta kempen kesedaran bebas rasuah ini benar-benar memberi impak yang besar?

Kini tiba masanya semua agensi kerajaan dan swasta mengambil pendekatan lebih strategik, sistematik dan holistik dalam usaha membanteras jenayah rasuah di organisasi masing-masing. Apa yang lebih penting, pelan tindakan. Semua yang diperlukan telah tersedia dalam Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) sebagai rujukan, tetapi jika tiada tindakan diambil, maka tiada apa yang akan berubah.

Agensi kerajaan dan swasta buat masa sekarang sudah boleh mengorak langkah dalam proses pembangunan dan penggubalan OACP, seterusnya mencadangkan pelaksanaan ABMS.

Jadikan OACP dan pensijilan ABMS sebagai salah satu daripada sasaran prestasi petunjuk utama (KPI) organisasi bagi tahun ini. Rasuah bukan lagi isu individu yang boleh diselesaikan dengan mudah tetapi perlu ditangani secara kolektif dan sistematik.

Memang benar 2021 bermula dengan pelbagai cabaran dan dugaan tetapi jangan jadikan ia alasan untuk kita mengalah dan tak mahu berubah.

Jangan sesekali berputus asa, teruskan mengorak langkah ke hadapan demi mencapai lebih banyak kejayaan dan kecemerlangan. Masih banyak yang perlu diselesaikan. Seperti yang telah dinyatakan, IIM telah pun menyempurnakan OACP dan melaksanakan ABMS. Sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab membangunkan kompetensi dan kapasiti di kedua-dua sektor awam dan swasta dalam aspek governans, integriti dan antirasuah, IIM bertanggungjawab mempamerkan prinsip kepimpinan melalui teladan dan tidak mahu dilabel sebagai cakap tak serupa bikin!

TAN Sri Mohd. Zuki Ali ialah Pengerusi Institut Integriti Malaysia (IIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN