Dalam budaya menuntut ilmu, seseorang perlulah bersikap merendah diri dan menghormati individu (guru) yang menyampaikan ilmu. Perumpamaan yang sering digunakan adalah sebiji gelas.
Sekiranya gelas sudah penuh, maka sukar untuk diisi air (ilmu) baharu. Sekiranya guru tidak dihormati, ilmu dikatakan tidak berkat.
Buat masa ini, saya terlibat dalam projek penceritaan semula teks Bhagavad Gita dalam Bahasa Malaysia. Teks ini asalnya dalam bentuk seloka (puisi) Sanskrit dan saya menulis dalam bentuk prosa (cerita) menggunakan bahasa mudah. Apa yang menarik, terdapat pelbagai ilmu yang bersifat umum (universal) dan wajar dikongsi.
Misalnya dalam Bab 13 teks berkenaan, dihuraikan 20 sikap yang perlu ada pada seseorang yang secara ikhlas mahu menimba ilmu dan menghapuskan kejahilan dalam diri. Apabila diteliti, kita akan sedar bahawa cadangan yang dikemukakan sekitar 2,500 tahun dahulu masih cukup relevan pada hari ini.
Misalnya, kita perlulah sentiasa merendah diri walaupun memiliki kelebihan dari segi fizikal dan pengetahuan. Hal ini sama seperti kisah gelas yang dinyatakan tadi. Guru kita mungkin seorang tua yang lemah secara fizikal tetapi ilmu yang dimilikinya wajib dihormati.
Kita wajar membebaskan diri daripada sikap berpura-pura dan munafik. Menuntut ilmu perlu dilakukan secara ikhlas. Sekiranya hanya berpura-pura, tentu kita tidak mampu mempelajari apa-apa.
Lebih teruk jika kita bersikap munafik, misalnya menimba ilmu semata-mata untuk menyembunyikan kejahatan dalam diri.
Sumber ilmu adalah pelbagai, bukan hanya daripada buku, sekolah, universiti dan ceramah. Alam semula jadi sentiasa menjadi guru dan sumber ilmu kepada manusia. Peribahasa dan pantun menjadi contoh paling mudah untuk memahami bagaimana tumbuhan dan binatang turut ‘mengajar’ kita. Maka, kesemua hidupan di semesta alam perlu dihormati.
Seorang yang berilmu dikatakan sudah mendapat ‘cahaya’ dan ‘pencerahan.’ Sifat negatif seperti pendendam akan terhakis sedikit demi sedikit. Maka, dalam usaha menimba ilmu, kita perlu bersedia memaafkan sesiapa yang pernah berbuat salah kepada kita. Fikiran yang bersih dan tenang membantu memudahkan proses menimba ilmu.
Turut berkait adalah sikap berterus terang tanpa berselindung. Kita perlu mengelakkan budaya mengata dan menyembunyikan maklumat. Sekiranya suatu topik perlu dibahaskan, maka lakukan secara berhemah. Sentiasa ingat bahawa tujuannya bukan untuk membinasa tetapi membina.
Sikap keenam yang diketengahkan dalam Bhagavad Gita adalah menghormati guru. Hal ini tidak hanya terpakai di peringkat sekolah, kolej dan universiti. Malah, jika kita belajar daripada seorang rakan atau adik-beradik, mereka juga seorang guru dan wajar dihormati kerana sudi mencurah ilmu.
Pada masa sama, kebersihan diri secara fizikal dan mental perlu dijaga dan dipelihara. Kebersihan adalah ajaran semua agama. Kebersihan juga memberi kesan psikologi dan memudahkan proses pembelajaran.
NAFSU
Seterusnya, bersikap tabah dan tidak mudah menyerah. Tambahan pula, ilmu bukan perkara yang boleh dikuasai dengan mudah. Pasti ada cabaran yang perlu diatasi. Perlu ada disiplin dan kemampuan mengawal pancaindera, minda dan intelek supaya ditumpukan kepada usaha menimba ilmu.
Memanglah akan ada pelbagai cabaran yang boleh menggugat nafsu. Misalnya, sewaktu menggunakan peranti untuk belajar secara dalam talian, mata dan minda memujuk hati melayari laman sesawang yang melekakan. Kita perlu bersikap tegas dan menolak segala tarikan itu.
Berbalik kepada contoh gelas penuh tadi, egoisme dalam diri perlu diatasi. Kalau kita merasakan diri sudah hebat, maka apa-apa ilmu yang dipelajari tidak akan melekat pada otak. Minda kita secara automatik turut bersikap ego dan menolak ilmu itu.
Perkara nombor 12 yang menarik perhatian saya adalah hakikat kelahiran, penyakit, usia tua dan kematian dalam kitaran hidup manusia. Kita perlu menerima realiti ini. Maka, kita tidak akan melengah-lengahkan usaha menimba ilmu. Kita juga wajar mengamalkan budaya pembelajaran sepanjang hayat.
Sikap materialistik boleh menghalang usaha menimba ilmu. Kita perlu menuntut ilmu semata-mata kerana cintakan ilmu, bukan kerana memikirkan habuan materialistik yang bakal dimiliki menerusi ilmu itu.
Dalam kesibukan menimba ilmu, jangan abaikan tugas dan tanggung jawab kepada keluarga, tempat kerja dan sebagainya. Akan tetapi, jangan terlalu terikat dengan semua itu sehingga usaha menimba ilmu terganggu. Perlu ada keseimbangan.
Pada masa sama, kita perlu memiliki kekuatan mental dan spiritual untuk menerima apa-apa kejadian dengan tenang. Sama ada suka atau duka, kejayaan atau kegagalan, semuanya diterima tanpa mengganggu emosi dan semangat menimba ilmu.
Perkara ke-16 yang diketengahkan juga amat penting. Kita perlu melatih pancaindera, minda dan intelek supaya sentiasa mengingati Tuhan. Kita sedar bahawa segala ilmu datang daripada-Nya.
Suatu perkara mudah yang pasti diakui semua adalah keperluan menghindari tempat yang sesak, bising dan dipenuhi unsur negatif. Individu yang mahu belajar, lebih suka mencari tempat yang tenang, walaupun ia terpencil dan tidak menjadi pilihan orang ramai.
Selain itu, jauhilah kelompok manusia yang gemar berbual hal-hal negatif dan tidak membina. Aura negatif yang mereka bawa bukan hanya membazir masa, malah mengganggu tumpuan kita.
Apabila sesuatu ilmu dipelajari secara teori, maka perlu pula diamalkan dan dipraktikkan dalam hidup. Maknanya, kita bukan hanya mengejar sijil dan ijazah (paper qualification), sebaliknya mahu menggunakan ilmu itu dalam kehidupan seharian untuk meningkatkan kualiti hidup.
Ilmu juga bertambah berkat dan bermanfaat apabila daya fikir dan kreativiti digunakan untuk mencari makna hidup. Maknanya, tidak sekadar mementingkan diri. Sebaliknya, memikirkan sumbangan kepada orang ramai dan juga persediaan bekalan untuk akhirat apabila kita kembali bertemu Pencipta.
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.










