Bunuh diri adalah isu serius yang perlu diberi perhatian khusus bukan sahaja dalam kalangan masyarakat tetapi juga pemimpin. Ia adalah isu dunia di mana bunuh diri boleh berlaku pada sesiapa sahaja tidak kira jantina, bangsa, agama dan negara. Sudah beberapa kali kita dikejutkan dengan berita menyayat hati dari luar negara bila mana selebriti atau idola yang menjadi pujaan anak muda ditemui mati kerana membunuh diri. Melihat kepada kehidupan selebriti yang mewah, sering dipuja dan ingin dicontohi membuatkan kita tertanya-tanya, apakah faktor yang menyebabkan mereka mengambil tindakan untuk mengakhiri hidup dengan keadaan yang tragis dan menyayat hati? Apakah mereka tidak bahagia sedangkan mereka sering dipuja dan sentiasa tertawa?
Terbaru, kita dikejutkan dengan penemuan mayat seorang mahasiswa dipercayai membunuh diri. Hal ini bukan pertama kali berlaku dalam kalangan pelajar-pelajar universiti di Malaysia. Pada 2017, Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) mendapati 11.2 peratus remaja terfikir untuk membunuh diri, sembilan peratus merancang membunuh diri dan 10.1 peratus pernah mencuba membunuh diri. Apakah sebenarnya yang dihadapi oleh anak muda terutama mahasiswa di negara ini?
Pelbagai persoalan timbul dalam mencari punca dan solusi isu ini. Selain dikaitkan dengan penilaian negatif daripada segelintir masyarakat, ia juga merupakan isu sensitif untuk diperdebatkan.
Perspektif dan pandangan berbeza tidak salah untuk dirai tetapi sekiranya membawa pemahaman dan konklusi kurang tepat dan tidak adil, ia perlu dihentikan.
Hakikatnya, masih terdapat tanggapan negatif dan kurang tepat daripada segelintir pihak walaupun kesedaran tentang isu bunuh diri telah meningkat dan bertambah baik. Ada berpendapat, mereka yang mempunyai kecenderungan atau terlibat dengan perbuatan ini biasanya mempunyai pegangan agama yang lemah. Ada juga mengatakan, mereka ini terlalu mengikut perasaan dan tidak kuat untuk menghadapi dugaan dalam kehidupan.
Faktor-faktor penyebab berlaku gejala bunuh diri
Terdapat beberapa faktor yang menjadi penyumbang utama kepada perlakuan membunuh diri seperti biologi, sosioekonomi, budaya, persekitaran, masalah keluarga, hubungan dan persahabatan.
Faktor-faktor ini secara tidak langsung berkait rapat dengan masalah kesihatan mental melibatkan psikologi klinikal atau psikiatri seperti kemurungan, gangguan personaliti, skizofrenia, penyalahgunaan ubat-ubatan dan alkohol. Perlu diketahui, penyakit mental adalah realiti yang perlu diberi perhatian sewajarnya oleh setiap individu sekiranya ingin memperoleh kesejahteraan diri secara menyeluruh.
Penyakit Mental dan Bunuh Diri
Penyakit mental adalah salah satu faktor utama yang merupakan pembunuh senyap dalam kalangan anak muda dan remaja. Secara definisinya penyakit mental adalah penyakit yang melibatkan gangguan pada fungsi otak yang boleh mempengaruhi fungsi kehidupan seseorang dari sudut tingkah laku, pemikiran dan perasaan. Terdapat pelbagai jenis penyakit mental yang perlu diketahui umum dan ia terbahagi kepada tiga iaitu neurosis, psikosis dan gangguan personaliti. Untuk kategori pertama iaitu neurosis, ia merupakan keadaan di mana pesakit yang menghidap penyakit mental jenis ini biasanya menghadapi gangguan dari segi pemikiran, tingkah laku dan emosi.
Ia biasanya menyebabkan seseorang tidak dapat menjalani aktiviti harian dengan baik. Kemurungan dan kebimbangan yang melampau merupakan penyakit mental di bawah kategori ini dan ia merupakan penyakit yang paling biasa dialami umum termasuk pelajar universiti. Untuk kategori psikosis pula, mereka mengalami gangguan yang amat ketara dari segi tingkah laku, pemikiran dan emosi termasuk mengalami perubahan dari segi kewarasan. Pesakit biasanya mengalami gejala halusinasi dan delusi. Bagi kategori ketiga iaitu gangguan personaliti, ia biasanya membuatkan seseorang mempunyai perwatakan atau karakter yang tidak normal dan biasanya menjejaskan fungsi sosial pesakit itu sendiri.
Penyakit mental dalam kalangan mahasiswa bukanlah perkara asing dan biasanya berlaku akibat tekanan dan bebanan yang dihadapi dalam kehidupan sebagai seorang pelajar. Terdapat pelajar universiti mengalami masalah dalam hubungan atau persahabatan dan akhirnya menjejaskan prestasi pembelajaran. Akibat daripada situasi ini, pelajar mengalami tekanan tidak terkawal dan menyebabkan berlakunya gangguan psikologi lebih serius seperti kemurungan atau kebimbangan melampau.
Masalah ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang sepi dan dianggap remeh kerana hakikatnya penyakit mental perlu dirawat seperti mana kita merawat penyakit fizikal lain. Rawatan secara holistik melibatkan ubat-ubatan, psikoterapi, kaunseling dan rawatan spiritual dapat membantu pesakit untuk sembuh dan menjalani kehidupan dengan lebih baik sekali gus mengelakkan terjadinya gejala bunuh diri.
Semua pihak dalam masyarakat perlu memainkan peranan penting untuk memahami dan menangani isu ini. Di Malaysia, kesihatan mental diberi perhatian khusus oleh kerajaan sejak 2018.
Pelbagai usaha telah diambil untuk meningkatkan kesedaran dan menampung keperluan rawatan dan sokongan psikologi serta kaunseling dalam masyarakat.
Di universiti, pusat perkhidmatan kaunseling dan psikologi juga giat untuk menangani isu-isu berkaitan kesihatan mental dan bunuh diri khususnya. Perlu difahamkan, penyakit mental juga perlu dicegah dengan mengamalkan kehidupan sihat dan penjagaan diri yang baik dari sudut emosi dan pemikiran. Berada dalam lingkungan sosial dan persekitaran sihat juga dapat membantu seseorang individu untuk mendapatkan kesejahteraan diri yang seimbang dan positif.
PENULIS ialah Pegawai Psikologi Klinikal, Pusat Khidmat Kaunseling dan Kerjaya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










