KL dari kaca mata perantau - Utusan Malaysia

KL dari kaca mata perantau

RAKYAT perlu bersatu padu mengurangkan kes jangkitan Covid-19 supaya ekonomi negara boleh terus pulih. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pada 12 Januari lalu, sehari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua, saya mengambil peluang menyusuri jalan dan lorong yang menjadi urat nadi Kuala Lumpur. Ini sebahagian daripada cara saya meraikan tarikh 2 Januari sebagai ulang tahun ke-37 perantauan ke Kuala Lumpur. Apabila menapak di jalan-jalan sekitar Bukit Bintang, rasa seperti berada di Hong Kong. Ini Kuala Lumpur atau Hong Kong? Terlupa, ini kawasan Parlimen yang didominasi kaum Cina sejak lama. Ini wilayah kosmopolitan Cina dan Melayu hanya berlegar-legar sebagai pelanggan.

Bergerak pula ke Brickfields yang tidak jauh dengan stesen Kuala Lumpur Sentral. Di kiri kanan jalan ada deretan bangunan kedai lama dan tidak jauh dari situ ada kawasan yang disebut Little India. Memang betul-betul macam di India. Susah hendak mencari orang Melayu di situ kecuali yang hendak ke Kuala Lumpur Sentral.

Menyusuri Jalan Petaling tetapi lebih dikenali sebagai Petaling Street dan jalan-jalan sekitarnya adalah penempatan Cina. Pasar malam Jalan Petaling hampir tidak ada peniaga Melayu, semuanya Cina. Daripada jual buah-buahan hingga barangan jenama palsu, tidak ada penjual daripada kaum lain.

Kawasan majoriti Melayu tertumpu di Jalan Masjid India dan di Chow Kit. Malah, pasar basah Chow Kit lebih terasa kewujudan Melayu berbanding pasar basah Jalan Pudu. Inilah sebenarnya Kuala Lumpur di sebalik jendela kaca yang selalu dibuka kepada kita.

Wajah sebenar Kuala Lumpur terlindung di sebalik percikan cahaya yang amat mempesona. Di sebalik bangunan-bangunan tinggi, moden dan mewah tersembunyi wajah sosial Kuala Lumpur yang sebenar. Kemajuan pesat Kuala Lumpur sebagai pusat ekonomi tidak dinikmati secara bersama. Banyak yang mampu melihat daripada memiliki. Apakah tindakan pentadbir Kuala Lumpur?

POLARISASI

Polarisasi kaum terus menjadi persoalan teras di Kuala Lumpur. Kawasan- kawasan yang beridentiti dan dominasi kaum tertentu terus wujud dan tidak menjanjikan perubahan walaupun dalam jangka masa 30 tahun akan datang.

Pembangunan penempatan dan kediaman baharu juga kelihatan gagal merentas garis kaum apabila di kawasan yang majoriti Cina terus menjadi tumpuan Cina dan kawasan Melayu menjadi tumpuan Melayu.

Orang Melayu sebenarnya tertumpu di kawasan asal Melayu seperti Keramat, Kampung Baru, Kampung Pandan dan Lembah Pantai. Sementara orang Cina di kawasan-kawasan bandar yang komersial seperti Bukit Bintang, Cheras, Sungai Besi, Jalan Kelang Lama dan Seputeh.

Orang India di Brickfield, Sentul dan Segambut. Walaupun di kawasan-kawasan lain juga dihuni oleh orang India tetapi kawasan yang disebutkan majoritinya didiami oleh kaum berkenaan.

Saya melihat segmentasi penempatan kaum di Kuala Lumpur sebagai suatu yang tidak baik pada pembangunan sosiobudaya dan politik wilayah ini. Kita perlu maklum, Kuala Lumpur bukan ibu negeri tetapi sebuah wilayah yang berada dalam tadbir urus Kerajaan Persekutuan.

Barangkali pentadbir Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempunyai perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang terhadap sosialisasi warga Kuala Lumpur.

Bagaimanapun sejak saya merantau ke Kuala Lumpur, segmentasi itu terus berlaku dari dulu hingga sekarang.

SEGI TIGA EMAS

Apalah ertinya Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan kalau kawasan segi tiga emas di tengah-tengah Kuala Lumpur hanya didominasi oleh satu kaum sahaja? Pentadbir Kuala Lumpur mesti memainkan peranan untuk menjadikan pusat bandar Kuala Lumpur milik semua.

Hal-hal seperti ini mesti dirancang. Jangan membiarkan populasi sesebuah kawasan berlaku secara semula jadi atau organik. Memanglah pemilikan hartanah adalah perlumbaan terbuka, siapa mampu dialah yang punya.

Saya fikir pentadbir Kuala Lumpur perlu menghayati dan memahami matlamat di sebalik pengurniaan tanah seluas 223 ekar (90 hektar) di Kampung Baru kepada orang Melayu pada 1899 oleh Sultan Selangor, Sultan Alaudin Sulaiman Syah. Bayangkan kalau tidak ada Kampung Baru hari ini, kawasan metropolitan Kuala Lumpur tidak ada orang Melayu.

Kuala Lumpur bermula dengan kawasan lombong bijih timah oleh buruh yang dibawa dari China. Tetapi pada 1860 hingga 1880, berlaku peningkatan mendadak migrasi orang Cina di Kuala Lumpur, sekali gus bertambah ancaman kongsi gelap.

Penganugerahan tanah di Kampung Baru menghalang pergerakan keluar orang Melayu di Kuala Lumpur walaupun kemaraan pelombong-pelombong dari China sudah tidak terkawal. Kerana penguasaan Cina juga, sejarah pengasas Kuala Lumpur diberikan kepada Yap Ah Loy sedangkan sebenarnya Sultan Puasa daripada keturunan Mandailing.

Saya pernah tinggal di rumah setinggan di Kampung Kerinchi. Majoriti masyarakat setinggan pada 1980-an adalah Melayu. Mereka bukan golongan berada tetapi bekerja kais pagi makan pagi.

Walaupun sudah ada flat tetapi tidak sesuai untuk keluarga yang besar. Tetapi apakah yang berlaku pada kawasan Melayu di Kampung Kerinchi?

Memang baguslah memajukan kampung setinggan, tetapi yang berlaku ialah Kampung Kerinchi bukan lagi kawasan Melayu. Berapa orang yang mampu menyewa atau membeli hartanah di Kampung Kerinchi sekarang ini?

Saya fikir kalau bercakap mengenai pembangunan dan kemajuan Kuala Lumpur, jangan tertumpu pada infrastruktur sahaja. Memang benar bangunan pencakar awan tumbuh macam cendawan.

Ketika saya mula bekerja dulu, bangunan tertinggi ialah Tabung Haji, kemudian menyusul bangunan Daya Bumi dan seterusnya Menara Maybank pada 1987.

Bangunan tinggi ini bukan tanda aras sebenar kemajuan dan pembangunan sosial, apa lagi jurang ekonomi antara kaum terus melebar. Jurang pemilikan hartanah Melayu dan Cina tetap macam langit dengan bumi.

Inilah persoalan yang lebih mendasar daripada berbangga melulu dengan infrastruktur Kuala Lumpur.

PENULIS ialah Editor Kuseman.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN