Tarikh 26 Februari 1992 pasti diingati dengan tangisan oleh rakyat Azerbaijan apabila mengenangkan saudara mara sebangsa mereka yang disembelih tanpa perikemanusiaan oleh tentera penceroboh Armenia di Khojaly. Peristiwa itu sangat penting untuk diketahui oleh kita kerana ia merupakan satu jenayah yang sangat berat, melampaui batasan dan norma manusia.
Khojaly merupakan sebuah daerah terletak di pergunungan Karabakh, Azerbaijan. Pada 1988, Armenia dengan agresif melancarkan serangan bertali arus dengan harapan untuk menguasai seluruh wilayah Nagorno-Karabakh lalu dimasukkan ke dalam wilayah negara mereka. Sebelum konflik berlaku, Khojaly didiami kira-kira 7,000 penduduk yang majoriti besarnya warga Azerbaijan. Detik hitam bermula pada Oktober 1991 apabila seluruh daerah tersebut dikepung oleh penceroboh Armenia.
Pada tanggal 30 Oktober 1991, Armenia bertindak memotong bekalan elektrik sekali gus melumpuhkan segala aktiviti di daerah tersebut sehinggakan hanya helikopter menjadi satu-satunya pengangkutan awam. Sebuah helikopter awam yang tiba untuk membantu penduduk ditembak jatuh di bandar Shusha dan membunuh 40 orang.
Pada Januari 1992, seluruh daerah Khojaly bergelap sepenuhnya tanpa bekalan elektrik. Armenia bercita-cita besar untuk menakluki Khojaly kerana ia merupakan kawasan strategik bagi melancarkan serangan ke wilayah Azerbaijan.
BOM
Setelah Armenia menghujani Khojaly dengan hentaman demi hentaman bom, pada malam 25 dan 26 Februari, tentera-tentera penceroboh mengepung Khojaly. Tindakan tersebut menyebabkan 2,500 penduduk melarikan diri ke perkampungan yang berdekatan. Malangnya sewaktu perjalanan ke sana, mereka diserang hendap oleh tentera Armenia dan sebahagian lain pula ditangkap.
Golongan wanita dan kanak-kanak mati akibat kesejukan di kawasan pergunungan dan hanya segelintir daripada mereka berjaya tiba ke perkampungan Aghdam di bawah kawalan Azerbaijan.
Pada 28 Februari, dua buah helikopter yang membawa sekumpulan wartawan berjaya tiba di kawasan tragedi. Mereka sangat terkejut melihat kawasan tersebut dipenuhi ratusan mayat. Mayat-mayat malang itu diambil dengan helikopter namun dalam operasi kali kedua, mereka hanya sekadar berjaya membawa keluar empat mayat disebabkan Armenia berterusan menghujani mereka dengan peluru.
Pada 1 Mac, wartawan-wartawan asing dan tempatan dikejutkan sekali lagi dengan penemuan banyak mayat sadis yang telah dipotong-potong.
MENYIAT KULIT
Salah seorang wartawan, Chingiz Mustafaev menceritakan, antara mangsa tragedi termasuklah puluhan kanak-kanak berumur antara dua hingga 15 tahun serta wanita dan warga emas.
Kebanyakannya mati kerana ditembak di bahagian kepala. Pelbagai cara pembunuhan dijalankan oleh Armenia seperti memotong telinga, menyiat kulit wajah, penyembelihan dan segala bentuk penyeksaan yang kejam. Peristiwa yang berlaku di Khojaly disifatkan sebagai pembunuhan beramai-ramai (massacre). Seramai 613 orang menjadi mangsa termasuklah 106 wanita, 63 kanak-kanak dan 70 warga emas. Selain itu, seramai 1,275 ditahan sementara 150 orang lagi tidak diketahui nasib mereka. Seluruh kota musnah sama sekali.
Peristiwa sewaktu serangan waktu malam itu pula menyaksikan 487 orang cedera termasuk 76 kanak-kanak, lapan buah keluarga pupus, 130 kanak-kanak menjadi yatim dan 25 kanak-kanak menjadi yatim piatu. Kira-kira 56 mangsa dibunuh dengan cara yang begitu kejam seperti dibakar hidup-hidup, dipancung kepala dan dikorek mata. Wanita-wanita yang mengandung pula ditikam di perut.
Tragedi di Khojaly disifatkan dan diperingati sebagai genocide oleh kebanyakan Parlimen di seluruh dunia seperti Bosnia-Herzegovina, Colombia, Republik Czech, Honduras, Jordan, Mexico, Pakistan, Panama, Peru, Romania, Sudan, Djibouti, Guatemala, Scotland dan 19 buah negeri dalam Amerika Syarikat.
Keadilan untuk Khojaly merupakan sebuah kempen kesedaran antarabangsa yang dilancarkan pada 8 Mei 2008 di bawah inisiatif Penyelaras Umum Forum Belia Persidangan Islam untuk Dialog dan Kerjasama, Leyla Aliyeva. Kempen itu bertujuan memberi kesedaran dan maklumat kepada masyarakat antarabangsa tentang peristiwa pembunuhan beramai-ramai Khojaly termasuklah punca utama kekejaman tersebut berlaku dan akibat daripada peperangan Armenia-Azerbaijan serta keperluan untuk Armenia meninggalkan Nagorno-Karabakh dengan serta-merta tanpa sebarang syarat.
GENERASI MUDA
Kempen berkenaan turut dibuat sempena menghormati mangsa-mangsa Khojaly dengan menceritakan kepada generasi muda, membantu mangsa-mangsa yang terselamat dan mencari jalan keluar bagi memudahkan urusan mereka yang terkesan dengan tragedi berdarah tersebut. Sehingga hari ini, lebih 120,000 orang dan 115 organisasi menyertai kempen tersebut dalam pelbagai bentuk.
Kata Duta Besar Republik Azerbaijan di Malaysia, Qaley Allahverdiyev, sekiranya masyarakat Armenia tidak membawa pelaku pembunuhan beramai-ramai Khojaly ke muka pengadilan, maka Armenia bukan sahaja akan terus memikul beban berat jenayah ini terhadap kemanusiaan tetapi juga akan mencabut status mereka sebagai sebuah negara jiran yang dihormati.
“Pada hari ini, konflik Armenia-Azerbaijan Nagorno-Karabakh tercatat dalam sejarah. Lembaran baharu telah dibuka dan ia menjanjikan potensi kerjasama antara wilayah kita.
“Saya fikir, masyarakat Armenia seharusnya segera menghapuskan segala kesalahan mereka pada masa lalu seperti yang berlaku di Khojaly sekiranya mereka ingin kembali kepada proses perdamaian dan kerjasama yang baharu,” katanya.
PENULIS ialah pengkaji hubungan Malaysia dan dunia luar.










