Pemasyhuran proklamasi darurat oleh Yang di-Pertuan Agong bermula 12 Januari sehingga 1 Ogos ini bukan sahaja tepat malah membolehkan pihak berwajib merancang, merangka dan melaksanakan pelbagai tindakan kawalan dalam memerangi pandemik Covid-19 dengan lebih menyeluruh dan bersepadu. Bagaimanapun, masih wujud pihak berkepentingan khususnya pembangkang mempersoal dan mempertikaikannya. Golongan ini dilihat lebih mementingkan survival politik daripada kesejahteraan rakyat yang sedang dilanda krisis kesihatan semakin serius.
Terdapat juga pihak yang menuntut Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan dalam tempoh darurat ini. Lebih parah, ada juga pihak yang mahu mencabar proklamasi darurat di mahkamah.
GUSAR
Sebagai peringatan ‘mesra,’ jangan jadi ‘penderhaka’ kerana Perkara 150 (8) (b) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan tiada mahkamah boleh mempunyai kuasa untuk melayan atau memutuskan apa-apa permohonan, soal atau prosiding dalam apa-apa jua bentuk, atas apa-apa alasan, mengenai kesahan proklamasi darurat. Situasi ini menambah lagi keresahan dalam kalangan rakyat. Bukankah lebih baik jika semua pihak bergabung tenaga membantu kerajaan menangani ancaman Covid-19?
Dari sudut lain, kesan proklamasi darurat membolehkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengambil alih teraju dalam hal berkaitan keselamatan sekiranya keadaan memerlukan.
Rakyat tidak perlu gusar, bimbang dan takut kerana ATM tidak ‘gila kuasa’ malah sentiasa memartabatkan Rule of Law dengan mengutamakan aspek keselamatan dan kedaulatan negara daripada sebarang ancaman musuh.
Dalam situasi darurat ini, ATM membantu PDRM melaksanakan sekatan jalan raya dalam mengawal pergerakan rentas sempadan melalui Op Penawar.
TEKONG
Selain itu, melalui Op Benteng, memperketatkan kawalan sempadan daratan dan maritim negara daripada sebarang pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta pelbagai aktiviti jenayah rentas sempadan.
Kesimpulannya, jangan ada lagi ‘penderhaka’ yang cuba mencabar institusi raja-raja Melayu dan pengkhianat negara dengan menjadi tekong serta bersekongkol dengan PATI. Ayuh kita sama-sama sepakat memerangi ancaman Covid-19 dengan mematuhi amalan norma baharu dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Yakinlah, kerajaan sentiasa berusaha sebaik mungkin untuk membendung ancaman Covid-19 dan amat prihatin mengenai kelangsungan hidup demi kesejahteraan rakyat, insya-Allah.
PENULIS pernah berkhidmat dengan pasukan keselamatan dan berpengalaman luas secara khusus dalam Military Operations Other Than War (MOOTW), gerak saraf dan perang saraf termasuk operasi media dan operasi informasi.










