Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), masjid adalah antara premis yang terbatas aktivitinya. Paling ketara, amalan solat fardu berjemaah kini terhad kepada bilangan tertentu sahaja. Demikian juga kuliah-kuliah atau ceramah agama juga hanya boleh berjalan secara dalam talian.
Semua langkah berhati-hati ini diambil dalam usaha mengekang dan memutuskan rantaian wabak Covid-19 yang sudah setahun menghantui kita. Kini masyarakat hidup dengan norma baharu.
Memakai pelitup muka, memeriksa suhu badan dan membasuh tangan atau menggunakan penyahkuman jadi amalan di mana-mana waima ketika datang ke masjid.
Bagi mengisi ‘kekosongan’ program masjid, ada baiknya ia diganti dengan pelbagai aktiviti berfaedah lain. Aktiviti yang bukan terhad kepada ibadat khusus seperti solat, mengaji al-Quran dan mengikuti kuliah-kuliah agama.
Secara tidak langsung, ini dapat mengembalikan semula fungsi masjid sebagaimana di zaman Nabi Muhammad SAW. Ketika baginda SAW membangunkan Masjid Nabawi di Madinah, ia menjadi pusat bagi semua kegiatan umat Islam. Bukan terbatas untuk solat, mengaji dan mendengar kuliah atau wahyu sahaja.
Rasulullah SAW menjadikan masjid sebagai tempat penyebaran ilmu dan tempat mengeratkan hubungan silaturrahim sesama insan. Dari masjidlah, Nabi SAW membina masyarakat baharu Madinah.
MASJID NABAWI
Ahli Suffah adalah antara golongan yang terbit daripada kesedaran fungsi masjid. Mereka banyak mengambil manfaat daripada ajaran Rasulullah ketika itu. Peluang yang mereka gunakan dengan tinggal di bahagian penjuru masjid, dijadikan sebagai kesempatan menghafal hadis-hadis baginda SAW.
Berdasarkan sirah, kita dapat melihat Nabi SAW bukan sahaja menjadikan Masjid Nabawi sebagai pusat ibadah, tetapi juga sebagai pusat pemerintahan dan pentadbiran negara Islam Madinah.
Masjid Nabawi menjadi nadi pergerakan Islam, penggerak aktiviti masyarakat, malah tempat rakyat menuntut hak dan keadilan.
Ia juga berperanan sebagai pusat kebajikan, gedung ilmu serta pusat hubungan dengan Allah dan manusia sesama manusia.
Dengan fungsi-fungsi tersebut, terbukti Rasulullah SAW berjaya menggambarkan kesempurnaan dan keindahan Islam sebagai al-Deen (cara hidup) melalui fungsi-fungsi komprehensif yang dijana oleh institusi masjid. Ringkas kata, kita perlu mengimarahkan ‘rumah Allah’ dengan semaksimumnya.
Inilah yang ditegaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Hanyalah yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat, dan tidak takut kepada siapapun selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang mendapat petunjuk. (al-Taubah: 18)
Untuk itu, wajar dipertimbangkan masjid-masjid dijadikan lokasi proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Ia bukanlah mustahil. Cuma perlukan sedikit pengubahsuaian tanpa berkompromi dengan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).
WIFI
Pihak pengurusan masjid terutama bagi yang belum ada wifi perlu segera melanggannya. Langganlah sekurang-kurangnya 100Mbps supaya ramai boleh menggunakannya dalam satu masa dan tidak jam apabila digunakan secara berjemaah.
Jika masjid tiada dana, program internet ini bolehlah ‘diswastakan’ kepada orang perseorangan sebagai sedekah jariah atau wakaf. Bayaran langganan bulanannya pun tidaklah mahal sangat, sekitar RM129 sebulan menggunakan Unifi. Bagi masjid yang berkemampuan, bolehlah melanggan 300Mbps sebulan dengan bayaran RM199.
Ini amat membantu para pelajar yang kurang berkemampuan sehingga menjejaskan proses PdPR. Dengan cara ini, dapatlah kita tangani kisah sukarnya mendapatkan liputan internet di sesetengah tempat terutama di pedalaman.
Sesuai dengan norma baharu, pandemik yang berlaku ini juga membuka peluang kepada masyarakat bersedekah atau berwakaf dengan norma baharu. Bagi yang berkemampuan, apa salahnya wakafkan beberapa telefon pintar yang basic berharga sekitar RM300 seunit di masjid-masjid. Ia untuk proses PdPR. Sediakan ruang khusus di pekarangan atau di beranda masjid.
Yang perlu adalah pengawasan ahli jawatankuasa masjid atau pun ibu bapa supaya ia tidak disalah guna selain mematuhi SOP terutama dalam penjarakan fizikal.
Jika inisiatif begini dapat diwujudkan, dapatlah kita mengatasi episod sedih seperti sembilan beradik berkongsi dua telefon pintar untuk mengikuti PdPR di Alor Setar, Kedah yang disiarkan Utusan Malaysia, Rabu lalu.
Banyak pahala dan ganjaran yang bakal diterima oleh para pewakaf, lebih-lebih lagi jika melabur dalam bab mencari ilmu.
Pendidikan adalah kunci utama membangunkan masyarakat dan negara. Masyarakat yang terdidik secara menyeluruh dan seimbang seterusnya dapat menyumbang kepada pembangunan negara adalah hasil produk pendidikan berkualiti selaras dengan tuntutan Islam.
Tidak dinafikan, sudah ada masjid-masjid di bandar-bandar besar yang menawarkan kemudahan wifi untuk kegunaan para jemaah dan anak kariahnya. Cuma ia perlu diperluaskan agar sesuai dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi semasa.
Wahyu pertama yang disampaikan oleh Jibril kepada Rasulullah SAW mempunyai konteks pendidikan iaitu membaca. Tujuan pendidikan adalah membentuk watak manusia sebagai khalifah di muka bumi yang bertanggungjawab membangunkan diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah kesejahteraan hidup.
Hayatilah pesan Imam Al-Shafie tentang ilmu. Kata beliau: “Sesiapa yang inginkan dunia, hendaklah dia mempunyai ilmu, sesiapa yang inginkan akhirat, hendaklah dia mempunyai ilmu, sesiapa yang inginkan kedua-duanya, maka hendaklah dia mempunyai ilmu.”
PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.










