Dari lima bintang ke tepi jalan - Utusan Malaysia

Dari lima bintang ke tepi jalan

YAP LIP SENG/ MINGGUAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH:
Pandemik Covid-19 bukan sahaja mengancam nyawa, malah memusnahkan ekonomi. Hampir semua sektor terkesan, namun yang memilukan adalah melihat nasib industri pelancongan dan perhotelan.
Industri yang dahulunya menyumbang 15.9 peratus iaitu RM240 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2019, kini hampir musnah. Hotel-hotel yang dahulu berdiri megah mencakar langit, kini terpaksa membuka gerai jualan di tepi jalan untuk meneruskan survival malah ada yang gulung tikar.
Mendepani isu membabitkan nasib rakyat ini, Mingguan Malaysia mendengar rintihan dan rayuan pemain utama industri, iaitu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng.
Ikuti wawancara eksklusif ini, yang disertai wartawan Fahmi Faiz, Roshihan Annuar Yub serta Aida Rizmariza Kamaruddin, yang turut disertai jurugambar Muhammad Fariz Rusadio.

MINGGUAN MALAYSIA: Tular baru-baru ini, hotel-hotel terpaksa menjual makanan dan minuman di tepi jalan. Kenapa ini berlaku?
YAP: Sehingga sekarang, industri perhotelan telah menanggung kerugian hampir setahun. Akibat larangan pergerakan yang berlanjutan serta sempadan negara yang masih belum dibuka, hotel telah kehilangan semua punca pendapatan. Penjualan makanan secara penghantaran atau pandu lalu hanya untuk mengekalkan pekerja dengan harapan sedikit sebanyak jualan untuk membayar gaji dan kos operasi.

Sejauh mana aktiviti berniaga sebegitu mampu menampung kos operasi hotel?
Aktiviti seperti ini dan lain-lain hanya menyumbang kadar yang amat rendah. Tujuan utama adalah memastikan pekerja masih ada tugas dan tidak diberhentikan.

Selain gerai tepi jalan, apa lagi kaedah yang digunakan hotel-hotel?
Sebelum ini, hotel juga telah menawarkan kawasan hotel seperti kafe, restoran atau bilik sebagai tempat kerja maya. Hotel juga ada menawarkan jualan produk-produk unik berkualiti hotel kepada orang ramai.

KESAN PANDEMIK
Apakah industri hiliran yang berkait dengan perhotelan?
Sebenarnya hotel menyumbang banyak kepada industri lain, bukan sahaja yang secara terus dalam industri pelancongan seperti agensi pelancongan, restoran dan lain-lain. Tetapi juga untuk pembekal bahan dan makanan mentah dan secara tidak langsung petani sayuran dan juga buah-buahan.

Maksudnya, hotel juga berkait dengan peniaga dan pembekal tempatan?
Tepat sekali. Kebanyakan perolehan untuk bekalan operasi hotel adalah dari sumber tempatan. Ini sekali gus terus menggalakkan sektor pembuatan dan perkilangan, seperti untuk ameniti dalam bilik.

Kalau begitu, sejauh mana pandemik beri kesan terhadap industri hiliran?
Seperti di atas, kelangsungan industri-industri ini terus terjejas kerana kejatuhan permintaan dari hotel.

DATA KEJATUHAN
Boleh kongsi data mengenai trend industri, susulan beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berbeza?
Pada Mac 2020 apabila PKP diumumkan, kadar penginapan hotel jatuh kepada lima hingga enam peratus dan berterusan di bawah 20 peratus sehingga Jun 2020. Apabila PKP lain bermula dengan pembukaan semula pelancongan domestik, kadar penginapan hotel pulih sehingga 42 peratus pada minggu Hari Kebangsaan. Tapi jatuh semula dengan peningkatan kes-kes dari Sabah pada akhir September 2020.

Bagaimana pula sejak pembukaan semula sektor pelancongan selepas itu?
Sejak pembukaan semula pelancongan domestik pada 7 Disember 2020, industri nampak peningkatan tempahan bilik khususnya untuk tempoh cuti Hari Krismas dan Tahun Baru. Kadar penginapan hotel meningkat sehingga lebih kurang 43 peratus, tetapi pada harga bilik yang lebih rendah, dengan anggaran diskaun antara 30 sehingga 70 peratus. Namun apabila PKP diumumkan semula, dan sekatan pergerakan antara negeri berkuat kuasa dari 13 Januari 2021 dan kini dilanjutkan sehingga 4 Mac, industri telah menerima pembatalan tempahan bilik di seluruh negara.

Apa kesan PKP baru-baru ini?
Kadar penginapan hotel jatuh antara 16 peratus, dan dijangka di bawah 20 peratus untuk setengah tahun pertama 2021.

GULUNG TIKAR
Berapa banyak hotel seluruh Malaysia yang gulung tikar akibat pandemik?
Sehingga kini lebih kurang 100 hotel tutup, ada yang ditutup sepenuhnya dan yang sementara.

Berapa ramai kakitangan industri perhotelan yang sudah dibuang kerja?
Menurut kaji selidik kami tahun lepas, lebih kurang 6 peratus kehilangan kerja, dengan anggaran lebih 20,000 pekerja. Hotel-hotel yang tutup pula secara langsung melibatkan lebih 7,000 pekerja manakala selainnya, pekerja sektor perhotelan diberi pemotongan gaji atau cuti tanpa gaji.

Berapa ramai pula dipotong gaji? Berapa peratus pemotongan paling tinggi direkodkan?
Kaji selidik kami merekodkan lebih 20 peratus diberi pemotongan gaji terus dan lebih 26 peratus cuti tanpa gaji.

EKONOMI NEGARA
Jika pandemik berterusan memusnahkan industri hotel, tidakkah ia secara langsung akan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi?
Sehingga kini pandemik hampir melumpuhkan industri pelancongan dan ini akan menyebabkan impak berterusan untuk sekurang-kurangnya tiga hingga empat tahun akan datang. Pada masa sama, Malaysia akan kehilangan daya saing dan juga daya tampung pelancongan berbanding negara-negara jiran. Malaysia akan kehilangan pendapatan pelancongan dan memerlukan masa lebih lama untuk pulih.

HARAPAN
Apa harapan MAH dalam isu pandemik ini?
Kami berharap kerajaan dapat memberi lebih perhatian sektor pelancongan yang terjejas lebih awal, lebih teruk dan dijangka industri yang terakhir pulih. Bantuan terus bersasar untuk pelancongan amat diperlukan. Kami ada cadangan yang dipanggil ‘19+2 Poin’ dan amat berharap kerajaan dapat membantu dari sudut itu.

Apa yang ada dalam cadangan itu?
Antaranya, agar kerajaan beri diskaun elektrik dan air, diskaun bagi caj telekomunikasi dan internet hotel, moratorium pinjaman automatik sehingga September 2021, subsidi bagi bayaran royalti muzik yang dimainkan di hotel untuk 2021 dan beberapa perkara lagi.

BANTUAN TAK CUKUP
Sejauh mana kerajaan membantu?
Walaupun pada permulaan pandemik ini kerajaan ada mengumumkan bantuan bersasar untuk sektor pelancongan, tetapi ia adalah rendah berbanding keperluan industri. Berdasarkan sasaran negara untuk pelancongan yang menganggarkan pendapatan sebanyak RM100 bilion, amaun bantuan yang diberi sehingga kini adalah jauh lebih rendah dan tidak mencukupi.

Jadi ia tak mampu memberi nafas lega?
Ia tidak mencukupi dan tidak mempertimbangkan keperluan industri yang jauh lebih terjejas berbanding industri lain.

NYAWA – VS – EKONOMI
Tidakkah faktor nyawa dan ekonomi yang menjurus kepada pelaksanaan PKP, saling berkontradiksi kepada industri hotel?
Industri tidak bantah pelaksanaan PKP dan faham keperluan untuk memastikan keselamatan orang ramai. Tapi kerajaan perlu mempertimbangkan impak PKP ke atas sektor pelancongan terutamanya. Kami harap kerajaan boleh buat perancangan awal untuk benarkan pergerakan rentas negeri, supaya membolehkan pelancongan domestik berjalan secara bersasar.

Nak rancang macam mana kalau ia membahayakan nyawa?
Secara keseluruhan, PKP telah menjejaskan keyakinan orang ramai untuk melancong dan keadaan semasa masih tidak menggalakkan. Pada masa sama ketidaktentuan pelaksanaan PKP juga menyusahkan sektor pelancongan untuk membuat perancangan jangka panjang.

NASIB NEGARA LUAR
Bagaimana keadaan industri perhotelan di luar negara, khususnya negara jiran?
Kami telah nampak pemulihan sektor pelancongan di negara jiran dengan bantuan kerajaan yang mencukupi serta perancangan awal untuk membolehkan industri pulih secara berperingkat. – Mingguan Malaysia – Mingguan Malaysia

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN