Dah rawatan akupuntur pula! - Utusan Malaysia

Dah rawatan akupuntur pula!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Minggu lepas saya ceritakan tentang warga Australia yang suka datang ke Malaysia kerana rawatan gigi di negara ini dianggapnya sangat murah. Minggu ini pula saya nak ceritakan kisah dua penumpang dari Arab yang juga berada di Malaysia kerana urusan perubatan.
Waktu itu saya mengambil dua wanita Arab yang sudah berumur di pusat beli-belah D’Pulze, Cyberjaya. Mereka mahu ke Puchong.
Selepas seketika dua penumpang ini menyelesakan diri dalam kereta, saya pun mula ajak bersembang. Soalan pertama, sudah tentu bertanyakan dari mana?
Daripada satu soalan itu, maka meleret-leretlah kami bersembang. Rupa-rupanya mereka sudah ada di Malaysia sejak dua bulan kerana mendapatkan rawatan.
Saya mulanya pelik, hospital mana mereka kunjungi di Cyberjaya ini. Nak kata pergi Putrajaya, kata mereka bukan. Cyberjaya sahaja.
Puas juga saya bertanya, Oh, rupanya mereka kunjungi pusat akupuntur. Itu pun saya faham selepas aksi salah seorangnya mencucuk-cucuk jari ke tangan.
Kata dua wanita Arab berjubah hitam ini, mereka mendapatkan rawatan dengan kaedah akupuntur kerana mendengar cerita daripada saudara mara yang pernah ke Malaysia.
Apabila saya tanyakan kenapa tidak mendapatkan rawatan dari hospital dan berjumpa doktor sendiri, salah seorangnya menjawab sambil ketawa.
“Saya takut dengan doktor. Lagipun sakit saya ini tak lah teruk sangat. Ada kawan yang buat akupuntur di sini dan sembuh, sebab itu kami pula datang.
“Kalau doktor nanti, saya takut dengan jarum,” katanya.
Saya tergelak sambil berkata, kaedah akupuntur lagi banyak jarum dicucuk di badan.
Kedua-duanya ketawa terbahak-bahak. Namun salah seorangnya menjelaskan, jarum doktor itu lagi mengerikan daripada jarum akupuntur.
Saya yang mendengarnya sekadar ‘krik krik krik’ sahaja. Dalam hati berkata, apa- apa sajalah makcik oiii…
Setibanya di destinasi, saya perlu memasuki sebuah kawasan perumahan mewah dengan pintu gerbang besar yang lengkap dengan sistem keselamatan canggih.
Menuju jalan ke alamat rumah yang diberi, saya perhatikan keliling. Oh, ini bukan kawasan rumah sembarangan. Rumah orang have-have, kata orang sekarang.
Bila ditanya, rupa-rupanya mereka menyewa sebuah banglo di situ selama enam bulan. Sekiranya sakit masih belum sembuh, akan lajak sehingga setahun.
Apa pun, moral cerita ini adalah ramai orang luar yang percaya dengan kaedah rawatan di Malaysia. Tak kiralah sama ada kaedah moden atau alternatif, pokoknya di sini, kita punya kehebatan yang orang luar hargai. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN